Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Sabtu, 22 November 2008

PERKARA-PERKARA SUNAT KORBAN

Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya:1 - Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban.
Sabda Rasulullah S.a.w.:“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya”. [Hadits Riwayat Imam Muslim, Hadits dari Ummu Salamah]“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. [Hadits Riwayat Imam Muslim]
Menurut Imam Nawawi rahimahullah:“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)
Berkata Ibnu Qudamah Rahimahullah:“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)

MENYELUSURI SUNNAH RASULULLAH BALAM IBADAH KORBAN

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T... Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah.
Kaedah amal ibadat tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.
Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal.
Maksud firman Allah S.W.T:"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." [Surah al-Mulk, 67:2]
Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” [Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258]
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Maksud Firman Allah S.w.t.“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” [Surah al-Ahzaab, 33:21]
Begitu juga menurut suatu hadits riwayat Imam Muslim, maksudnya:“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” [Sahih Muslim, Hadits 1718]
Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

Jumaat, 21 November 2008

Kuliah Tafsir Ayat 97-100 Surah Al-Maidah

Kuliah Tafsir ayat 97-100 surah al-Maidah
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Thu Nov 20, 08 9:41:47 am MYT

Islam iktiraf bulan yang amat dihormati di zaman jahiliyah
Allah Ta'ala menjadikan Ka'abah sebagai tempat berdiri bagi manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Sebagai tempat berdiri bagi manusia." (Surah al-Maidah: 97) Manusia berdiri untuk beribadat dan melakukan perkara berbentuk duniawi dengan cara yang diberkati oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: "...bulan yang diharamkan berperang padanya." (Surah al-Maidah: 97) iaitulah bulan Zul Qaedah, Zul Hijjah, Muharram dan Rejab.

Bulan-bulan ini dihormati sejak zaman jahiliyyah lagi dan diiktiraf oleh Islam kerana Islam mengiktiraf perdamaian. Perkara ini akan dibincang secara panjang lebar dalam Surah Baraah.

Seterusnya Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: "... dan binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Baitillahil Haram oleh orang haji)." (Surah al-Maidah: 97)

Hadiah ini berlaku dengan penyembelihan qurban atau membayar dam ketika mereka melakukan haji.

Firman Allah yang bermaksud:
"...dan kalong-kalong yang diletakkan pada binatang (ditentukan untuk menyembelih dam)." (Surah al-Maidah: 97).

Binatang itu diikat dengan tali dan seumpamanya untuk dijadikan penanda bagi tujuan tersebut.
Firman Allah yang bermaksud:
"...yang demikian supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Maidah: 97)

Allah sememangnya Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu dan kamu hendaklah beriman betapa mengetahui-Nya Allah SWT lebih dari makhluk-Nya, kamu tidak boleh menyembunyikan sedikit pun dari ilmu Allah Yang Maha Luas itu.

Firman Allah yang bermaksud:
"Ketahuilah sesungguhnya Allah itu sangat keras balasan-Nya (hukuman-Nya) dan Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." (Surah al-Maidah: 98).

Oleh itu kamu hendaklah takut kepada-Nya dan mengharapkan keampunan dan rahmat daripada-Nya dengan memohon maaf dan bertaubat di atas kesalahan yang dilakukan mudah-mudahan Allah Mengampunkan dosa kamu.

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali memungkiri janji, ketika Dia berjanji. Kita mesti yakin dengan janji-janji Allah, keampunan dan rahmat-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:
"Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan perintah-perintah Allah sahaja dan Allah sentiasa Mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan." (Surah al-Maidah: 99)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mengumumkan kepada kita bahawa tugas Rasulullah s.a.w. ialah menyampaikan ajaran Allah.

Adapun sama ada manusia menerimanya ataupun tidak, itu terpulang kepada masing-masing. Apabila manusia tidak menerima ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan mereka tidak beramal dengannya, Allah tidak menyalahkan Rasulullah s.a.w. Yang salah ialah manusia sendiri.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"...tidaklah diperintah kepada Rasul itu (Nabi Muhammad s.a.w.) melainkan menyampaikan ajaran Allah." (Surah al-Maidah: 99)

Adapun taufiq dan hidayah serta pahala yang diperolehi, terpulang kepada amalan masing-masing.

Firman Allah yang bermaksud:
"...Allah Mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan." (Surah al-Maidah: 99)

Apa yang kamu lahirkan dengan perangai kamu yang dapat dilihat, semuanya diketahui oleh Allah termasuk apa yang kamu sembunyikan di dalam hati kamu daripada perasaan kufur dan munafiq.

Allah Ta'ala Maha Mengetahuinya walaupun kamu bercakap dengan lidah bahawa kamu juga seorang Islam pada hal hati kamu tidak percaya kepada Islam. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan Dia juga Maha Mengetahui segala-galanya.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud:
"Tidak sama sesuatu yang buruk dengan yang baik walaupun mengkagumkan engkau banyaknya yang buruk, maka bertaqwalah kepada Allah, wahai orang yang mempunyai akal fikiran supaya kamu mencapai kejayaan." (Surah al-Maidah : 100)

Al-Hassan berkata yang dimaksudkan dengan buruk dan baik di sini ialah halal dan haram. As-Suddi pula berkata, ia adalah orang beriman dan orang yang kafir.

Setengah ulama lain berkata, maksudnya ialah yang taat dan yang derhaka. Setengah ulama berkata dimaksudkan kedua-dua kalimah itu ialah yang buruk dan yang baik.
Al-Qurtubi berkata (di dalam tafsirnya) ia mengandungi semua perkara tersebut. _

Ibadah Korban 1429

Saya menyeru kepada teman-teman untuk kembali merenungkan kambali kisah dan ketaatan yang dipamerkan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. yang patuh terhadap setiap inci perintah Allah kepada mereka walaupun terpaksa mengorbankan nyawa.
Bersempena dengan peristiwa Nabi Ibrahi a.s. diperintah untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. itu dan mengenang kembali pengorbanan yang jitu mereka berdua marilah kita mengambil kesempatan untuk melaksanakan ibadah korban pada 08 Dis 2008 akan datang dengan menyertai program Ibadah Korban walaupun sekurang-kurangnya satu bahagian dari iabadah tersebut.
Insyallah pada tahun ini saya bersama ahli kariah Surau Al-Muttaqin akan melaksanakan Program Ibadah Korban seperti tahun-tahun lalu dan Al-Hamdulillah sehingga kini pihak kami telah berjaya mengumpulkan penyertaan 6 ekor lembu iaitu dengan 5 ekor untuk porgram Korban dan seekor untuk tujuan aqiqah, walau bagaimanapun pihak kami masih membuka penyertaan kepada umum untuk melaksanakan ibadah korban mereka pada tahun ini.

Syuhada Terkini

Mereka adalah lambang kemenangan kepada perjuangan menentang regim Yahudi dan Amerika. Moga Allah merahmati mereka dan meletakkan mereka bersama Syuhada dan Solehin . Al-Fatihah. Amin

Isnin, 27 Oktober 2008

JANGAN MENYIKSA DIRI

Allah s.w.t. menciptakan dunia seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia memanfaatkannya. Sahabat Anas menceritakan bahawa satu hari Rasulullah s.a.w melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya menunaikan haji dengan berjalan kaki. Apabila melihat keadan itu maka Baginda s.a.w. bertanya, "Mengapa dengan orang ini?" Dua anak itu berkata, "Dia bernazar hendak menunaikan hai dengan berjalan kaki." Rasulullah s.a.w berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan orang yang menyiksakan dirinya." Ketika itu juga Rasulullah memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.
Dalam satu peristiwa lain, seseorang menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan apa?" Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki." Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya itu dia berkata : "Dia telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar kamu mengenderainya."

KUBUR BERKATA-KATA


Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :- 1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a) 2. Hasan (anak Fatima r.a) 3. Husin (anak Faimah r.a) 4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a
Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w." Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."
Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-
1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.
Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-
1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.
Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.