Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Sabtu, 22 November 2008

MENYELUSURI SUNNAH RASULULLAH BALAM IBADAH KORBAN

Ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadat kita diterima atau ditolak oleh Allah S.W.T... Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah.
Kaedah amal ibadat tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w.
Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadat tersebut dianggap terbatal.
Maksud firman Allah S.W.T:"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." [Surah al-Mulk, 67:2]
Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h:"Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” [Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258]
Tambahan pula Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Maksud Firman Allah S.w.t.“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” [Surah al-Ahzaab, 33:21]
Begitu juga menurut suatu hadits riwayat Imam Muslim, maksudnya:“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan menurut cara kami (yang tsabit) maka ia adalah tertolak.” [Sahih Muslim, Hadits 1718]
Oleh itu sewajarnya dalam melaksanakan ibadat korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

Tiada ulasan: