5.4 QAZAF
Qazaf bermaksud tuduhan zina. Tuduhan selain zina tidak termasuk dalam Hudud, tetapi termasuk dalam Ta’zir.
Tuduhan zina sangat besar dosanya.
Qazaf hendaklah dengan perkataan yang terang dan jelas iaitu dengan
menggunakan perkataan zina atau menafikan anak yang dilahirkan isterinya
atau yang sedang dikandung isterinya, atau menggunakan perkataan yang
serupa dengan zina dalam bahasa lain.
Menurut beberapa pendapat ulama’,
tuduhan mestilah secara terbuka, tuduhan secara tertutup tidak termasuk
dalam qazaf. Namun dalam Al-Quran dan As-Sunnah menyebut tentang qazaf
secara umum, jadi qazaf secara terbuka, tertutup, bertulis dan
sebagainya dikira sebagai qazaf menurut pandangan sebilangan besar
Jumhur ulama’
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN
Qazaf menjadi sabit apabila memenuhi syarat-syarat yang berikut:
1. Orang yang menuduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Tuduhan dilakukan secara terang-terangan dan sengaja, bukan dipaksa.
Tidak disyaratkan penuduh mesti orang Islam. Orang kafir yang menuduh orang Islam akan dikenakan hukuman had juga.
2. Orang yang dituduh:
Berfikiran waras
Dewasa
Kebanyakan dari pendapat ulama’
membataskan umur lelaki yang dituduh ialah 10 tahun dan perempuan yang
dituduh ialah 7 atau 9 tahun.
3. Orang Islam
4. Merdeka
Menuduh hamba tidak dikenakan had,
demikian pendapat jumhur ulama’, antaranya ialah Abu Hanifah,
Asy-Syafie, Maliki, Al-Auzai’, Sufian Ath-Thauri, dan lain-lain.
5. Orang yang dituduh tidak membuat zina sebelum dan sesudah dituduh.
SABIT KESALAHAN QAZAF
Kesalahan qazaf menjadi sabit melalui salah satu dari dua cara:
Kerana pengakuan penuduh sendiri, dan ia gagal mendatangkan empat orang saksi, atau
Kerana persaksian dua orang lelaki yang adil
UQUBAH KE ATAS KESALAHAN QAZAF
Uqubah yang dikenakan ke atas penuduh ialah:
Lapan puluh pukulan cemeti
Hilang hak persaksian kerana ia sudah tergolong dalan golongan orang-orang fasiq.
Haknya akan pulih apabila ia bertaubat dan beramal soleh.
Pelaksanaan hukuman ini dilakukan oleh hakim atas tuntutan yang tertuduh sendiri atau walinya.
Dari Ibnu Abbas,
"Hendaklah engkau bawakan empat orang saksi dalam menuduh zina terhadap
seseorang, atau hukuman sebat ke atas belakangmu"
(Hadis riwayat Bukhari)
GUGURNYA HUKUMAN
Penuduh akan terlepas dari hukuman
had apabila ia dapat mengemukakan empat orang saksi seperti saksi-saksi
dalam bab zina, ataupun apabila tertuduh sendiri membuat pengakuan
berzina yang dituduhkan ke atasnya.
Jika penuduh berjaya mengemukakan
empat orang saksi, maka gugurlah hukuman had ke atasnya, sebaliknya
tertuduh dikenakan hukuman had penzina.
LI’AN
Kadang-kadang qazaf ini
dilakukan oleh suami terhadap isterinya padahal ia tidak mempunyai empat
orang saksi dan si isteri tidak mengaku bersalah.
Dalam hal ini, apabila suami menuduh
isterinya berzina atau menafikan anaknya dan ia tidak mempunyai empat
orang saksi, maka ia dibebaskan dari hukuman had qazaf, dan diberi
kesempatan untuk bersumpah sebanyak empat kali bahawa isterinya
benar-benar berzina, dan pada kali kelima ia bersumpah: Jika aku
berbohong, maka aku akan mendapat laknat dari Allah.
Dan si isteri pula diberi hak untuk
membela dirinya dengan bersumpah empat kali bahawa suaminya berbohong
dan untuk kali kelima ia bersumpah: Jika suamiku benar dengan
tuduhannya, maka aku akan mendapat kemurkaan dari Allah s.w.t.. Inilah
yang dinamakan Li’an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan