Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Isnin, 27 Oktober 2008

JANGAN MENYIKSA DIRI

Allah s.w.t. menciptakan dunia seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia memanfaatkannya. Sahabat Anas menceritakan bahawa satu hari Rasulullah s.a.w melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya menunaikan haji dengan berjalan kaki. Apabila melihat keadan itu maka Baginda s.a.w. bertanya, "Mengapa dengan orang ini?" Dua anak itu berkata, "Dia bernazar hendak menunaikan hai dengan berjalan kaki." Rasulullah s.a.w berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan orang yang menyiksakan dirinya." Ketika itu juga Rasulullah memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.
Dalam satu peristiwa lain, seseorang menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan apa?" Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki." Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya itu dia berkata : "Dia telah menciptakan kuda, baghal dan keldai agar kamu mengenderainya."

KUBUR BERKATA-KATA


Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antara :- 1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a) 2. Hasan (anak Fatima r.a) 3. Husin (anak Faimah r.a) 4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a
Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w." Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."
Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-
1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.
Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-
1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.
Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

CARILAH KETENANGAN DI MASJID DAN SURAU


Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.
Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.
Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."
Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.
Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.
Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.
Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.
Di mana remaja dalam hal ini?
Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.
Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.
Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.
Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."
Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.
Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).
Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam. - lanh _

ANTARA SUASANA DIPADANG MAHSYAR

Digambarkan juga suasana yang hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "dibumi al-mahsyar " yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Ada yang berjalan seperti biasa dan ada yang berjalan dalam keadaan terbalik dengan kepala di bawah dan kaki ke atas, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan masing-masing.
Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Ammar Radiallahuanhuma bahwa Rasul Allah S.A.W memberitahu yang manusia akan dibangkitkan kembali antuk bertemu dengan Allah pada hari kiamat sebagaimana keadaan mereka ketika dilahirkan dari perut ibunya telanjang bulat. Siti Aisyah Radiallahuanha bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama ya Rasul Allah?. Jawab Rasul Allah S.A.W: Ya!. Siti Aisyah berkata: Alangkah malunya, kemaluanku dapat dilihat setengah daripada setengah yang lain. Rasul Allah S.A.W menepuk bahu Aisyah dengan bersabda: Kesibukkan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakkan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri para malaikat mengelilingi Arash lalu Allah menyuruh menyeru NAMA fulan bin fulan. Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah S.W.T dan apabila ia sudah mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiaya dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak. Semua orang yang pernah dianiaya dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiaya dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya. Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan Allah kembalilah ketempatmu ke Neraka HAWIYAH kerana pada hari ini tidak ada penganiayaan. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya. "

TAKUTI PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM

Setiap Muslim yang waras cara berfikirnya, akan sentiasa bertindak bersesuaian dengan ajaran yang ada dalam al-Quran dan apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Ini kerana kedua-dua sumber itu merupakan rujukan paling tepat dan benar untuk mendapatkan keredaan Allah SWT sekali gus melonjakkannya menjadi Muslim hakiki.

Kerana keyakinan yang ada dalam pemikiran Muslim yang baik itu, ialah bahawa kehidupannya tidak berakhir semasa hidup di dunia, malah ia berkesinambungan hingga ke hari akhirat, iaitu hari di mana seluruh makhluk bernama manusia akan berhimpun di Padang Mahsyar.

Sama ada manusia yang percaya kepada Allah, atau yang menentang-Nya, manusia bermana Islam, atau Kapitalis, Komunis, Sekular, Sosialis, Hindu, Buddha, Kristian, Yahudi, semua sekali akan dihadapkan depan Allah untuk diperhitung amalan-amalan mereka.

Yang mengikut, patuh serta tunduk kepada ajaran al-Quran dan menerima ajaran Rasulullah s.a.w. tanpa sebarang ragu dan pastinya akan diberi syafaat untuk memasuki syurga.
Sementara yang puluhan tahun hidup di dunia, kemudian memilih jalan kesesatan dengan mengamalkan pegangan akidah yang menyimpang jauh daripada Islam, sudah pasti mereka akan dihumban ke dalam api neraka.

Justeru, bagi mengekalkan iman, akidah, Islam pada tahap yang memberangsangkan, maka setiap Muslim itu perlu mengetahui perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah, Islam, atau juga disebut dua kalimah syahadah bertujuan untuk menyelamatkan dirinya di akhirat bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ia terlalu banyak untuk diperkatakan, tetapi dalam kesempatan ini, hanya beberapa perkara pokok sahaja disenaraikan.

Perkara-perkara yang membatalkan Islam
1. Terlibat pada perkara syirik atau mengadakan sekutu dalam beribadah kepada Allah.
2. Menjadikan sesuatu atau seseorang sebagai wasilah (perantara) dalam doa, syafa'at dan tawakkal.
. Tidak mengkafirkan orang-orang musyrik, menyangsikan kekafiran mereka malah membenarkan keyakinan mereka.
4. Meyakini bahawa petunjuk selain petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih sempurna dan lebih baik.
5. Membenci hal-hal yang berasal daripada ajaran Rasulullah s.a.w. walaupun mengamalkannya.
6. Mengolok-olok sebagian ajaran yang dibawa Rasulullah s.a.w. seperti pahala atau balasan yang akan diterima.
7. Melakukan sihir, karena pelakunya dihukumi kafir.
8. Menyokong orang kafir serta memberikan bantuan dan pertolongan kepada orang musyrik untuk memerangi Muslimin.
9. Beranggapan bahawa manusia dengan mudah boleh terkeluar dari syari?at atau ajaran Nabi Muhammad s.a.w.
10. Berpaling dari agama Allah SWT baik kerana tidak mahu mempelajarinya atau kerana tidak mahu mengamalkannya.
11. Mengganggap suatu hukum atau undang-undang selainnya lebih baik daripada syari'at Rasulullah s.a.w. dan lebih mengutamakan hukum thaghot daripada hukum Rasulullah s.a.w. Apabila ada seseorang meyakini bahwa undang-undang yang dibuat manusia lebih utama dan lebih baik daripada syari'at Islam, maka ia telah kafir.
12. Apabila seseorang Muslim itu menganggap bahawa syari?at Islam sudah tidak sesuai lagi dengan perkembangan zaman, atau bahkan beranggapan bahawa agama Islam hanya menyangkut hubungan ritual antara hamba dengan Rabbnya dan tidak ada kaitannya sama sekali dengan masalah duniawi. Demikian pula apabila seseorang memandang bahawa pelaksanaan syari'at Islam, misalnya masalah rajam dan qishash, sudah tidak sesuai lagi dengan peradaban modern (atau Hak Asasi Manusia).
13. Begitu pula mereka yang beranggapan bahawa seseorang dibolehkan untuk tidak berhukum dengan hukum atau syari'at Allah SWT dalam hal kemasyarakatan dan hukum-hukum lainnya, maka ia telah kafir, meskipun belum sampai pada keyakinan bahawa hukum yang dianutnya lebih utama dari hukum Islam.
14.? Bertawakal dan bergantung kepada selain daripada Allah.
15.? Ingkar nikmat Allah sama ada yang terang atau yang sembunyi, yang mudah difikirkan atau yang memerlukan kajian.
16.Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana Allah tidak menyukainya.
17. Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah.
18. Menumpukan segala ketaatan kepada selain Allah dengan cara yang tidak disukai-Nya.
19. Menjalankan hukum selain dari hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.
20. Benci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau menbenci agama Islam seluruhnya.
21. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.
22. Menghina sesuatu daripada kitab Allah atau sunnah Rasulullah s.a.w. atau orang-orang alim yang menegakkannya atau mempersendakan hukum-hukum daripada hukum Allah atau syiar-syiar Islam.
23. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan sebaliknya.
24. Tidak beriman dengan semua sumber-sumber (punca) hukum daripada kitab Allah dan As-Sunnah.
25. Melantik orang-orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang-orang yang berakidah Islam dan mukmin.
26. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah s.a.w.
27. Rasa takut, lemah hati di dalam menegakkan Tauhidullah dan rasa lapang, terbuka dan riang dalam menegakkan perkara-perkara syirik.
28. Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan di antara ayat yang dan isi yang terkandung di dalam ayat itu.
29.Tidak mengetahui tentang marifat Allah dan pengenalan yang jelas serta ingkar dengan sifat-sifat ketuhanan-Nya dan ingkar nama-nama-Nya.
30. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat kepujian atau mengitiqad bahawa baginda adalah contoh utama bagi manusia.
31. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan berperang dengan mereka.
32.Membuat sesuatu pekerjaan (ibadah) bukan kerana Allah, sujud dan tawaf berkiblatkan kepada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.
33. Banyak jenis syirik yang menggugurkan syahadatain yang dinamakan syirik kecil seperti mengerjakan solat kerana hendak mendapatkan pujian, bersedekah kerana sungutan orang atau supaya orang datang kepadanya seolah-olah dia berjihad iaitu supaya orang mengenang jasa dan namanya.

Dan banyak lagi yang perlu diketahui secara mendalam dan terperinci yang mesti digarap oleh setiap Muslim menerusi kuliah-kuliah akidah yang tidak boleh dipelajari secara santai, kerana ia merupakan asas dan benteng yang kuat daripada terjebak pada penentangan terhadap Allah sekali gus layak mendapat kutukan-Nya. - lanh _

PAHALA MEMAKMURKAN MASJID

Kehidupan didunia ini penuh dengan cubaan dan cabaran. Manusia dilingkungi oleh suratan takdir Allah. Manusia bakal menempuh kehidupan senang dan malang. Walau bagaimanapun kemasnya takdir Allah terhadap seseorang namun ia masih lagi boleh dirubah dengan usaha dan doa serta taqarrub kepadanya secara berterusan.

Manakala tempat taqarrub ( mendekatkan diri kepada Allah ) tidak ada yang lebih baik daripada rumah-rumah Allah seumpama rumahnya sendiri. Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Attabroni : “rumah-rumahku ( Allah ) dipersada bumiku ini adalah masjid. Para pelawat kehormatKu pula adalah para pengimarahnya. Bertuahlah para hamba yang membersihkan diri dirumahnya kemudian ia datang menziarahi Aku dirumahKu. Sesungguhnya menjadi tanggungjawab tuan rumah yang dikunjungi untuk memuliakan tetamunya”

Abu Darda’ pula meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda “ masjid adalah rumah untuk manusia bertaqwa. Allah menjamin bagi orang yang menjadikan masjid rumahnya dengan semangat, limpahan rahmat dan kemudahan menyeberang titian Siratul Mustaqim disamping mudah mendapat keredhaan Allah dan masuk syurga”

Pahala mendirikan masjid

Membina masjid adalah suatu amal soleh yang sangat besar pahalanya. Ganjaranya sangat lumayan diakhirat kelak dan banyak hadis-hadis yang menegaskan perkara tersebut.

Walaupun membina masjid sesuatu yang dituntut, namun pembinaanya mestilah atas landasan Taqwa. Masjid bukan didirikan untuk mengukuhkan kebatilan atau aliran fahaman dan politik kepartian yang salah. Masjid hendaklah didirikan untuk mendaulatkan serta menobatkan ajaran islam yang syumul dan menyeluruh.

Allah swt dalam surah At-Taubah ayat 108-109 berfirman :


108. jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya Masjid (Qubaa' Yang Engkau bina Wahai Muhammad), Yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. di Dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki Yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang Yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
109. maka Adakah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di tepi jurang Yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia Dengan Yang membangunkannya ke Dalam api neraka? dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang zalim.



Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Uthman bin Affan pernah mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “ barangsiapa yang membangunkan masjid kerana Allah ( baqir berkata : saya menyangka beliau berkata dengan mengharap wajah Allah ), maka Allah akan membangunkan untuknya bangunan seperti itu disyurga”

Sabda Rasulullah saw lagi “ sesiapa yang membina masjid kerana Allah, walau sebesar sarang burung merpati atau lebih kecil daripada itu, nescaya Allah binakan untuknya sebuah rumah (khas) disurga”

Pahala menerangi masjid

Masjid yang bercahaya, terang benderang menarik minat jemaah untuk hadir. Oleh itu melengkapkan masjid dengan lampu dan sumber cahaya sangatlah berpahala.

Anas r.a meriwayatkan hadis berikut ; “ sesiapa yang menyalakan sebuah lampu dimasjid maka para malaikat termasuk Malaikat pemikul Arsh akan akan memohon Istigfar untuknya selama mana lampu itu bercahaya didalamnya”

Galakkan mengharumkan masjid dengan aroma dan wangian

Saidatina Aisyah meriwayatkan Rasulullah saw bersabda “ bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar dibina disetiap kampong masjid-masjid dan hendaklah masjid-masjid itu dibersihkan dan disebarkan wangi-wangian didalamnya”.

Ibnu Majjah pula meriwayatkan ada tambahan “ dan binakan dihadapan pintunya tempat bersuci ( berwudu’ ) serta semerbakkanlah didalamnya dengan wangian ( asap kayu gaharu dan sebagainya ) setiap jemaah.( hari keraian )




Pahala memakmurkan masjid

Usaha memakmurkan masjid menurut Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitabnya Tafsir Al-Munir menyatakan bahawa usaha mengimarahkan masjid terbahagi kepada dua cara iaitu:

Pertama : mengimarahan masjid secara fizikal iaitu bermaksud membina dan menegakkan asas binaanya dengan usaha menambahbaik struktur bangunan dan memasang kelengkapan asas yang selayaknya seperti masjid dan yang

Kedua : mengimarahkanya secara spiritual iaitu dengan menunaikan solat fardhu didalamnya, berzikir, iktikaf, ziarah termasuk zikir itu ialah menjadikan masjid itu sebagai medan menuntut ilmu serta menjaga masjid supaya tidak tercemar dengan aktiviti-aktiviti yang mencemarkan kesucianya.

Rasulullah saw bersabda : para pengimarah masjid-masjid adalah keluarga Allah” baginda menegaskan lagi ;” jika kalian temui orang yang kerap menghadirkan diri ke masjid maka bersaksilah bahawa dia sesungguhya orang yang beriman”.

Allah berfirman :

“ sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah golongan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat”

Orang yang menziarahi masjid berada dalam perlindungan dan rahmat dari Allah selagi mana ia tetap duduk dan menjaga adab-adabnya disamping menghadapkan hatinya kepada Allah semata-mata.

JAHILIAH MODEN KIAN MENJADI-JADI

Isu perlakuan tidak melambangkan tindakan umat bertamadun pada hari ini, boleh disifatkan sebagai tindakan primitif atau serupa pada zaman baginda Rasulullah s.a.w. di kalangan masyarakat 'jahiliah', malah terdapat daripada perbuatan itu sudah sampai peringkat yang mencemaskan banyak pihak.

Seorang motivator Islam, Syeikh Muhammad Qutb (adik Syahid Saiyid Qutb) dalam bukunya 'Jahiliah kurun kedua puluh', ada menegaskan, bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak mulia, budi bahasa, sopan santun atau sifat-sifat yang baik, yang menyembah dunia dan segala bentuk kebendaan, yang lebih tepat lagi tidak berkiblatkan akidah kepada Allah SWT

Benarlah kenyataan yang pernah disebut oleh Khalifah agung, Sayidina Umar bin al-Khattab: "Sesungguhnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan terhakis satu demi satu, jika masih terdapat di kalangan orang Islam yang tidak mengenal erti jahiliah."

Maksudnya, apabila wujud di kalangan orang Islam masih terikat dengan amalan jahiliah, akhirnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan keluar daripada dirinya sedikit demi sedikit, maka pada ketika itu dia tidak lagi menjadi manusia Muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam.

Sebagai contoh, penampilan seorang artis wanita di atas pentas dengan membuat persembahan di hadapan ribuan penonton lelaki, pada ketika dia menyampaikan persembahannya, dalam keadaan bersolek, berwangian, tidak menutup aurat serta tidak memakai tudung kepala, berpakaian ketat, mungkin juga nipis atau jarang, kesemua itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliah moden.

Ia termasuk dalam urusan pentadbiran negara, apabila peraturan, undang-undang serta hukum-hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran tidak menjadi sandaran dan rujukan untuk dilaksanakan, para pemimpin lebih rela mengutamakan undang-undang sivil, termasuk yang diceduk daripada fahaman Sekularisme, Kapitalisme dan Sosialisme.

Maka apabila undang-undang itu menjadi pegangan dalam kehidupan bernegara, maka berlakulah krisis keyakinan terhadap Islam dalam diri orang-orang Islam itu sendiri, sorotan laporan akhbar arus perdana serta siaran berita mengesahkan jahiliah moden itu.
Terdahulu kedengaran seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu membabi buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah di Damansara Damai menganggotai kumpulan 'Geng labah-labah' yang berorientasikan jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah, terlibat dalam minuman keras, isu mat serta minah rempit yang tidak berkesudahan, budaya lepak yang menggambarkan pelakunya seperti tidak memahami dan mengetahui hala tuju hidup sebagai orang-orang Islam.

Lebih parah lagi apabila terdapat individu-individu bernama Islam yang membunuh mangsa dan meletupkan batang tubuh mayat bertujuan untuk menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga mangsa yang dirogol, kemudian dibunuh dan seterusnya dibakar.

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sampai mati, seorang ayah yang merogol anak gadisnya (sumbang mahram), perlakuan memberi dan menerima rasuah, terlibat dalam urusan perjudian dan arak secara terang dan jelas, anak-anak luar nikah dicampakkan dalam tong sampah, dibuang di masjid dan bermacam-macam kes lagi.
Tidakkah semua tindakan itu dianggap sebagai perlakuan amalan jahiliah moden yang lebih parah daripada jahiliah di zaman Rasulullah s.a.w.

Justeru, tidak mustahil mereka akan ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: "Umatku ini adalah umat yang disayangi Allah, sepatutnya ia tidak ditimpa azab pada hari Kiamat, tetapi di dunia lagi mereka ditimpakan dengan emapat perkara : Berlaku fitnah-fitnah yang banyak, gempa-gempa bumi, kematian/pembunuhan berlaku di mana-mana dan bala-bala daripada Allah SWT." (Hadis riwayat Sa'id al-Khudri)

Jelas daripada apa yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w. itu, umat Nabi Muhammad ditimpakan azab, malapetaka, bencana semasa menjalani proses hidup di dunia lagi akibat tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah ke atas mereka, kesimpulannya umat hari ini melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diarahkan oleh Allah ke atas mereka.

Pada waktu itu, maka layaklah mereka ditimpa dengan pelbagai fitnah seperti terdapat orang Islam yang tidak memunaikan solat, ditimpa bencana alam seperti ribut petir, putting beliung, gempa bumi, banjir kilat, kematian berlaku di mana-mana dengan begitu mudah dan terdedah kepada pelbagai bentuk bala Allah.

Tujuan semua itu ditimpakan ke atas mereka, agar manusia seluruhnya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka yang dicipta daripada tanah, air mani yang busuk lagi hina, supaya meletakkan keyakinan tinggi untuk menjadi hamba Allah dan hanya beribadat kepada-Nya. - lanh _

Isnin, 6 Oktober 2008

Selamat Hari Raya Aidil Firti 1429


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Zaaf Zahir Dan Batin dari saya dan keluarga kepada semua moga kedatangan Aidil Fitri pada tahun ini akan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama kita insyaallah.