Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Selasa, 12 November 2013

Siapa Muhammad Bin Abdul Wahab?

Kertas kerja ini telah dibentangkan pada 10 Julai 1994,
di Wacana Tokoh-Tokoh Mujaddid Islam di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
oleh Tuan Guru Abdul Qadir Al-Mandeely
(Guru di Masjidil Al-Haram Mekkah Al-Mukarramah)
Pendahuluan

Meskipun ilmu pengetahuan telah tersebar luas dikalangan masyarakat Islam dan fikiran umat Islam telah terbuka, namun tidak dapat dinafikan bahawa kesamaran serta syubhat ke atas Syiekh Muhammad Abdul Wahab (SMAW) masih lagi bersarang di dalam fikiran sesetengah umat Islam. Mereka terkeliru dengan dusta-dusta dan fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh orang-orang yang mempunyai tujuan tertentu ke atas SMAW.
Kekaburan itu menjadi bertambah kelam apabila cerita-cerita sebenar mengenai SMAW tidak sampai kepada mereka dan ketidakmampuan mereka dalam menilai sesuatu syubhat itu dengan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Mereka dimomokkan dengan fitnah-fitnah yang menakutkan tentang SMAW sedangkan beliau telah bertungkus lumus di dalam memperjuangkan Aqidah yang sahih, syariat yang sejahtera dan akhlak yang mulia dengan membersihkannya daripada perkara perkara bid’ah dan kurafat yang mencarikkan kesucian Islam itu sendiri. Keadaan mereka menjadi bertambah parah dengan sebab sikap ta’sub dan taqlid buta mereka. Lantas sikap toleransi dan berfikiran terbuka tidak wujud pada diri mereka bagi mendengar serta meneliti kebenaran perjuangan dakwah SMAW. Maka terjadilah segala fitnah fitnah dan syubhat mengenai SMAW itu seperti fatamorgana yang beralun alun di padang pasir tatkala panas terik sedangkan apabila dihampirinya tidak ada satu apa pun yang didapatinya.

Andaikata seseorang itu mempunyai akal yang bersih daripada syubhat syubhat tersebut serta cintakan kebenaran nescaya beliau akan mendapati bahawa tuduhan terhadap SMAW itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Oleh itu kita berharap kepada saudara saudara sekalian agar berfikiran terbuka, bebas daripada bersikap jumud dan permusuhan, sentiasa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di dalam meneliti perbahasan bab ini serta sentiasa mempunyai sikap ingin tahukan kebenaran. Kertas kerja ini adalah langkah asas bagi memperkenalkan kepada masyarakat Islam tentang SMAW dan dakwahnya serta sekaligus menghapuskan fitnah fitnah terhadapnya.

Di dalam kertas kerja ini juga kita akan membicarakan syubhat dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau, dimana perbahasannya adalah berkisar disekitar tiga perkara. Dengan kata lain sekiranya kita meneliti terhadap fitnah fitnah itu hanya berlengkar sekitar tiga perkara, iaitu:-

Berkenaan Tauhid Uluhiyyah dan furu’nya seperti Istighatah, berdamping kepada yang selain daripada Allah, nazar, sembelih, bersumpah dengan makhluk dan sebagainya.
Berkenaan Tauhid Al Asma’ was Sifaat.
Ingkarnya terhadap bi’maafkan saya bi’maafkan saya mauled, tarikat sufiah dan adat adat yang diada adakan yang menghina agama Islam itu sendiri.

MOHAMMAD ABDUL QADEER ALMANDEELY
Pejabat Am Hal Ehwal Agama Dan Masjid Al Haram
Makkah Al Mukaramah.

Sejarah Syekh Muhammad Abdul Wahab
Sejarah Ringkas Syeikh Muhammad Abd Wahab

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi. Dilahirkan di ‘Uyainah yang terletak di sebelah utara Riyadh pada tahun 1115 H. (1703M) dan meninggal dunia paa tahun 1206H. Beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga merupakan seorang Qadi di ‘Uyainah.

Syeikh Mohammad Abd Wahab telah menghafal Al-Qur’an sebelum mencapai umur sepuluh tahun. Beliau telah mempelajari fiqih Hambali, Tafsir dan Hadith daripada bapanya. Sememangnya dari sejak kecil beliau amat menggemari membaca kitab-kitab Tafsir, Hadith dan Aqidah serta lebih banyak menumpukan kepada hasil karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Al-Hafiz Ibnu Qayyim di dalam pembacaannya.

Setelah itu beliau berangkat ke Makkah Al Mukaramah untuk menunaikan ibadah haji, kemudian terus ke Al Madinah Al Munawwarah menziarahi Masjid Nabawi, menziarahi Rasulullah SAW dan para sahabatnya RA. Seterusnya beliau mendalami ilmu agama daripada para ulama Madinah seperti Syeikh Abdullah b. Ibrahim b Saif, Sheikh Ali Afandy Ad Daghastani, Syeikh Ismail Al ‘ Ajluni, Syeikh Abdul Latif Al-‘Afaaqi Al Ahsaai’, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi.

Kemudian Syeikh Muhammad Abd Wahab pulang ke Najid dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami ilmu agamanya daripada para ulama Basrah seperti Syeikh Muhammad Al Mujmu’I dan Al ‘Allamah Malla Hamdu Al Jamili. Di dalam perjalanan pulang ke Nadj beliau telah berhenti di AL Ahsaa’ dan duduk belajar dari Syeikh Muhammad b Abd Latif As Syafi’I.

Ketika pulang ke negerinya, beliau telah melihat kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di Negeri Najd, Haramain, Iraq dan lain lain tempat. Sehingga ketika beliau berada di Madinah Al Munawwarah beliau telah mendengar orang ber’istighatah ( minta tolong ) dengan Rasulullah SAW dan bukannya dengan Allah SWT. Lalu ia bertanya kepada Syeikh Hayat As Sindi tentang perkara tersebut, maka dengan segera Syeikh tersebut menjawab : “ Sesungguhnya celakalah mereka itu dengan apa yang mereka itu padanya dan kekarutan yang mereka kerjakan itu.”

Pada tahun 1158H, beliau telah pergi ke Dar’iah dan menjadi tetamu bagi Abdul Rahman bin Suwailim dan Ahmad B Suwailim. Semasa di sana beliau telah dikunjungi oleh orang ramai untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama darinya. Kemudian beliau telah bersetuju dengan Muhammad b. Sa’ud Amir Ad Dar’iah untuk berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan tuntutan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” serta menegakkan syariat agama Islam.

Meskipun orang ramai telahpun menaruh minat serta memberi sokongan yang kuat terhadap da’wah SMAW, namun tidak dapat dinafikan di sana terdapat beberapa golongan yang menentang usaha murni beliau, sehingga sesetengah orang awam telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan yang menentang usaha beliau ini disebabkan kerana:-

§ Pihak penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniyyah bagi meminta bantuan ketenteraan dan mendesak agar Kerajaan Uthmaniyyah menghalangi usaha-usaha SMAW. Mereka telah menakut-nakutkan pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah dengan dakwaan jika Kerajaan Uthmaniyyah tidak campur tangan di dalam masalah ini nescaya kehebatan kerajaan Uthmaniyyah akan hilang dari hati-hati orang Islam. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan mereka telah memburuk-burukkan SMAW dengan menaburkan fitnah-fitnah yang dusta, umpamanya mereka menuduh SMAW telah membuat mazhab yang kelima, beliau tidak mencintai Rasulullah, tidak mengasihi para wali dan sebagainya.


§ Golongan Ulama yang hidup mereka hanya bergantung dengan dakyah-dakyah yang membesar-besarkan kubur-kubur dan qubbah-qubbah yang dihiasi dengan pelbagai corak sangat takut dan bimbang dakwah Salafiah yang dibawa oleh SMAW. Lalu mereka menentang habis-habisan SMAW demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.


§ Sesetengah ulama tidak dapat gambaran yang jelas dan tepat tentang SMAW dan dakwahnya. Merekahanya sekadar mendengar daripada orang yang berhasad dengki dan memburuk-burukkan SMAW tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan SMAW.
Kitab-kitab Karangan Syeikh Muhammad Abd Wahab
SMAW telah mengarang beberapa buah kitab bagi menegakkan ajaran Al-Qu’ran dan Al Sunnah serta sekaligus menjelaskan matlamat dakwah beliau. Di antara kitab-kitab tersebut ialah:

§ Kitab at Tauhid
§ Kasyfu asy Syubhat
§ Thulatha al Usul
§ Mukhtasar as Sirah an Nabawiyyah
§ Al-Qawaid al Arba’
§ Usul al Iman
§ Kitab Mufid al Mustafid fi Kufri Tariq at Tauhid
§ Syurut as Solah wa Arkaanuha
§ Kitab Fadl al Islam
§ Majmu’ Rasail fi at Tauhid wal Iman wa Masail al Jahiliyyah.
§ Kitab at Thoharah
§ Mukhtasar al Insof fi Ma’rifah ar Rajih minal Khilaf
§ Nasihah al Muslimin bi Ahaadith Khatimal Mursalin
§ Kitab Al Kabair
§ Mukhtasar Zaadul Ma’ad
§ Kitab Fadhailul Qur’an
§ Istinbath minal Qur’an
§ Al Hudha An Nabawi
§ Majmu’ as Sawaiq
§ Majmu’ al Hadith ‘ala Abwab al Fiqh
§ Ahaadith al Fitan
§ Mukhtasar al Bukhari
§ Ar Rasail asy Syakhsyiyyah
§ Ikhtisar as Syarh al Kabir
§ Masail al Jahiliyyah dan sebagainyaDidalam kitab Unwan Al-Majid telah menyatakan bahawa ramai daripada pembesar pembesar ulama di zaman itu turut mendalami ilmu mereka daripada SMAW. Keempat empat anak SMAW juga telah menjadi ulama besar dizaman itu hasil daripada beliau. Mereka itu ialah Husain, Abdullah, Ali dan Ibrahim.

Disamping itu terdapat ramai anak anak murid SMAW yang muncul sebagai tenaga penggerak Da’wah As Salafiah di merata rata tempat. Mereka kebanyakannya telah menjadi qadhi atau mufti diseluruh pelusuk Tanah Arab. Di antara mereka itu ialah:

§ Syiekh Abdul Aziz b. Abdullah Al Husain Al Naasiri
§ Syiekh Sa’id b. Huja’I
§ Syiekh Abdur Rahman b. Naami
§ Syiekh Hamid b. Naasir b. Usman b. Ma’mar
§ Syiekh Ahmad b. Rasyid Al Uraini
§ Syiekh Abdul Aziz Abu Hasan
§ Syiekh Abdul Aziz b. Suwailim
§ Syiekh Hasan b. Aidan dan lain lain lagi.


Masyarakat Najd sebelum Da’wah Syiekh Muhammad Abd Wahab.


SMAW telah mendapati bahawa khurafat dan I’tiqad yang rosak dan bercanggah dengan usul agama yang sahih telah berleluasa didalam negei Najd dan di kawasan kawasan sekitarnya. Masyarakat ketika itu sering berulang alik ke kubur di negeri itu untuk meminta hajat atau meminta agar mereka dilepaskan daripada kesusahan.

Umpamanya di Al Jubailah, mereka berulang alik ke kubur yazid b. Al Khattab dan merendah diri serta meminta hajat daripadanya. Peristiwa yang terlebih ganjil lagi berlagu di Negeri Al Mantahah dimana mereka bertawassul dengan “Pokok Tamar Jantan” dimana orang yang belum berkahwin akan berkata:

“Wahai bapa sekelian bapa(iaitu pokok tamar jantan), saya hendak berkahwin sebrlum cukup setahun”.

Kebanyakan masyarakat Islam ketika itu sentiasa berulang alik ke kubur kubur yang didakwanya sebagai kubur para sahabat dan para wali. Tanpa disedari meraka telah melakukan upacara ibadat yang tidak selayaknya melainkan untuk Allah seperti bernazar, tawaf, menyembelih, meminta tolong dan sebagainya. Mereka seolah olah tidak mengenal Allaa SWT. Apabila ditimpa musibah atau sakit, maka mereka akan menjerit jerit menangis berdoa’ dan meminta tolong di kubur kubur. Mereka juga seolah olah tidak pernah mendengar Firman Allah SWT :

“Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina dina”. (Al Mu’min : 60)

Hati mereka terikat kuat dengan kubur kubur, pokok pokok dan gua gua. Diantara factor factor yang menyebabkan hati mereka lebih gemar meminta doa kepada selain daripada Allah SWT dan tidak terus kepada Allah sepertimana yang telah disarankan oleh ayat diatas ialah:

§ Penerimaan amalan ini secara warisan daripada bapa bapa dan datuk datuk mereka tanpa meneliti kesahihan amalan tersebut.
§ Tiadanya golongan yang bangkit untuk membenteras bid’ah bid’ah ini dan berusaha untuk mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sahih.
§ Bagi sesetengah golongan perkara ini merupakan sumber rezeki dan batu loncatan untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan yang mereka inginkan.
§ Kejahilan mereka dengan hakikat Islam yang sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sehinggakan mereka mencampur adukkan agama dengan perkara lain atau menggantikannya dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
§ Pemimpin dan penguasa tidak memandang berat terhadap persoalan tersebut. Mereka hanya sibuk untuk mengumpul harta.
Justeru itu Syeikh Muhammad Abd Wahab bangkit menentang perkara bid’ah ini dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Beliau bersungguh sungguh didalam usaha berda’wah mengajak manusia kepada mengesakan Allah Subhanu Wata’ala didalam beribadat serta berjuang untuk menghapuskan syirik, bid’ah dan kesesatan.
Aqidah Syeikh Muhammad Abd Wahab
Mengenai aqidah SMAW adalah lebih wajar sekiranya kita meneliti dan mengamati tulisan beliau dalam sebuah kitabnya yang menjelaskan pegangan akidahnya. Berkata Syeikh Rahimahullah, “Aku bersaksikan Allah SWT dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu : “Bahawa aku beri ‘itiqad Ahlu-Assinah Wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab kitabNya, para RasulNya, hari kebangkitan selepas mati serta qadar baik dan jahat”.

“Aku beriman dengan Allah SWT : Beriman dengan sifat yang Allah SWT telah menyifatkan diriNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya dan yang dating melalui lidah RasulNya tanpa tahrif (mengubah) dan tamsil (mengumpamakan). Bahkan aku beri ‘itiqad bahawasa sesungguhnya Allah SWT tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

“Aku tidak menafikan apa apa yang disifatkan bagi DiriNya dan aku tidak mengubah perkataan Allah daripada tempatnya dan tidak mengingkari nama nama dan ayat ayatNya. Aku tidak mengetahui kaifiatNya dan aku tidak membandingkan sifat sifat Allah dengan sifat makhluk. Kerana Allah tiada yang senama bagiNya, tiada seumpama, tiada bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhlukNya. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selain daripadaNya serta lebih benar dan baik perkataanNya”.

“Maka Allah SWT menyucikan diriNya daripada sesuatu yang menyalahi, yang disifatkan oleh ahli Takyif (menentukan cara kaifiat) dan Tamsil dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli Tahrif dan Ta’til (menafikan sifat)” Firman Allah SWT:

“Maha suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan daripada mereka katakana, dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas pada Rasul, dan segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam”. (As Soffat: 180 – 182)

“Golongan yang berjaya (Firqah An Najiah) itu adalah pertengahan diantara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam bab Af’al (perbuatan) Allah SWT: pertengahan di antara Murjiah dan Jahmiah di dalam bab Iman dan Deen; pertengahan diantara Rafidoh dan Khawarij di dalam bab para sahabat Rasulullah SAW”.

“Aku ber’itiqad bahawa Al-Quran itu Kalamullah yang diturunkan dan bukannya makhluk. DaripadaNya ia bermula dan kepadaNya ia kembali. Sesungguhnya Allah SWT berkata kata dengan secara hakikat (sebenarnya) Allah SWT menurunkannya kepada hamba dan rasul kepercayaanNya atas jalan wahyu. Utusan Allah SWT di antaraNya dengan hamba hambaNya ialah nabi kita Muhammad SAW”…

Kemudian di tempat yang lain SMAW menulis: “Aku beriman bahawasanya nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para Nabi dan Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan bersaksi dengan kenabiannya”.

Seafdhal-afdhal umatnya adalah Abu Bakar As Siddik, kemudian Umar Al Faruq, kemudian Uthman Zu Nurain, kemudian Ali Al Murtadha, kemudian selebihnya dari sepuluh orang (yang dijamin masuk syurga) kemudian ahli perang Badar, kemudian ahli Asy Syajarah, mereka yang menyertai baia’h Ar Ridwan, kemudian sekelian para sahabat Radhiallahu’anhum.

Aku mengasihi sekalian para sahabat Rasulullah SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan diri daripada menyebut keburukan mereka, dan diam di dalam perkara yang diperselisihkan diantara mereka.

Aku berkeyakinan dengan kelebihan mereka, sepertimana Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan orang orang yang dating sesudah mereka, mereka berdoa: “Ya Tuhan Kami! Beri ampunlah kami dan saudara saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu dari kami dan janganlah kau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang orang yang beriman, Ya Tuhan Kami! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Hasyr:10)

“Aku berdoa dengan keredhaan Allah SWT bagi ummahatulmu’minin yang bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat para wali, tetapi mereka tidak berhak dengan sesuatu daripada hak Allah SWT. Aku tidak bersaksi dengan syurga dan tidak juga neraka bagi mana mana muslimin, melainkan mereka yang telah disaksikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi aku berharap kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut atas orang yang berbuat kejahatan.

Aku tidak mengkafirkan seseorang Islam dengan sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkanya daripada golongan Islam”.

Daripada beberapa petikan tulisan SMAW mengenai aqidah dai atas, jelaslah kepada kita bahawa aqidah beliau adalah Aqidah Salafu As Soleh. Ianya juga merupakan pegangan aqidah imam imam Mazhab dan imam imam Muhaddisin.

Oleh itu, untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang intipati perjuangan SMAW adalah wajar bagi kita mendalami hasil karya beliau. Disamping itu, melalui pembacaan dan kajian terhadap buku buku karya SMAW, kita akan mendapat jawapan yang jelas terhadap fitnah fitnah yang dilemparkan ke atas beliau.
Syubhat syubhat Ke Atas Syeikh Muhammad Abdul Wahab


Syubhat syubhat dan fitnah fitnah yang dilemparkan ke atas SMAW adalah teramat banyak serta ianya masih lagi bersarang di dalam kepala sesetengah umat Islam. Disini memadailah kita membawa dua atau tiga syubhat keatas SMAW sebagai contoh. Di antaranya:

Syubhat Pertama

Mereka mendakwa bahawa SMAW dan pengikut pengikutnya membenci Nabi Muhammad SAW, menghina baginda SAW dan para nabi yang lainnya a’alaihimussolatu was-salam.

Bagi menguatkan dakwaan mereka, mereka berkata bahawa SMAW telah berkata:

“Bahawa Nabi Muhammad SAW seumpama seseorang yang tuli yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan sesuatu perkara kemudian ia pulang.”

Berkata Alwi Al Haddad dalam kitabnya “Misbah Al An’am” :

SMAW dan para pengikutnya berkata :

” Tongkat saya adalah lebih baik daripada Muhammad kerana ia dapat membunuh ular dan seumpamanya. Sedangkan Nabi Muhammad telah mati dan tidak terdapat manfaat sekali padanya ”.

Manakala Sayed Ahmad Zaini Dahlan pula berkata:

“Pengikut SMAW telah terlarang daripada berselawat kepada Nabi SAW selepas azan diatas menara, sehinggakan apabila seseorang tukang azan yang buta berselawat kepada Nabi Muhammad SAW selepas azan lalu ia dibawa kepada SMAW dan dibunuhnya tidak akan wujud melainkan pada diri orang orang Maulid, Yahudi dan Nasrani”.

Bantahan Kepada Syubhat Yang Pertama

Sesungguhnya dakwaan ini adalah fitnah yang keji yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada individu Islam yang berusaha gigih untuk menegakkan Al-Quran dan As Sunnah. Tambahan pula sikap membenci Nabi Muhammad SAW tidak akan wujud melainkan pada diri orang orang Maulhid, Yahudi dan Nasrani.

Sepertimana yang kita telah ketahuio, syarat untuk seseorang itu menjadi seorang Islam adalah dengan ucapan dua kalimah syahadat “Bahawasanya aku naik saksi tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah” oleh itu bagaimana mungkin seorang yang mengaku dirinya Islam membenci Rasulullah serta melarang berselawat kepadanya.

Allah berfirman:

“Katakanlah, Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa dosa kamu”. (Ali Imran 31)

Ayat ini mejelaskan kepada kita bahawa adalah syarat bagi seorang hamba yang mendakwa ianya mencintai Allah SWT itu mengikuti RasulNya. Dan mengikuti RasulNya tidak dapat tidak adalah dengan wujud perasaan cinta terhadapnya. Rasulullah SAW bersabda:

”Maksudnya: Tidak beriman seseorang itu sehingga adalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya serta manusia sekeliannya”.

Justeru itu bagaimana mungkin sahnya iman seseorang itu sdangkan ia tidak mencintai rasulullah SAW.

Di samping itu kita harus menyedari bahawa SMAW juga turut menghasilkan kitab “Seerah Rasulullah SAW”.Andaikan beliau tidak mencintai Rasulullah Saw, nescaya beliau tidak akan mengarang kitab “SIRAH” yang memaparkan kehebatan dan kebesaran rasulullah SAW dari mula baginda dilahirkan hingga wafat.

SMAW adalah seorang yang bermazhab Hambali, mereka berpendapat berselawat ke atas Nabi SAW di dalam tahiyyat akhir adalah daripada fardhu. Solat iti tidak sah melainkan dengan selawat ke atas Nabi SAW. Pendapat ini adalah bertepatan dengan pendapat (qaul) kedua imam Syafe’I, manakala mazhab Maliki dan Hanafi pula menyatakan ianya sunat. Oleh itu bagaimana mungkin kita boleh menuduh orang yang mewajibkan selawat ke atas Nabi SAW di dalam solat itu menbenci Rasulullah SAW.

Adakah mereka itu lupa bahawa selawat ke atas Rasulullah SAW itu adalah merupakan perintah Allah SWT. FirmanNya:

Maksudnya: “sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi SAW. Wahai orang-orang beriman! Berselawatlah kami ke atas Nabi dan ucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Azhab:50)

Para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa berselawat tanpa mengangkat suara selepas azan itu merupakan bid’ah yang berlaku pada tahun 781H, di man a ia tidak pernah berlaku pada zaman para sahabat, tabi’in serta imam yang empat.

Syubhat Yang Kedua

Meraka mendakwa SMAW serta para pengikutnya telah berkat: “Bahawa Nabi Muhammad Saw telah mela’nat menghina negeri Najd serta melarang daripada berdoa untuk ahli-ahlinya, telah sabit dalam hadithsahih bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Ya Allah! Berkatilah bagi kami pada negeri Syam dan negeri Yaman kami. Mereka berkata: “dan pada negeri Najd kami”. Bersabda Nabi: “Ya Allah! Berkatilah kami pada negeri Syam kami dan negiri Yaman kami. Mereka berkata: “Dan kepada negeri Najd kami. Maka aku menyangka mereka bersabda pada kali yang ketiga; di sana terdapat gempa dan fitnah dan di sana naiknya tanduk syaitan…. Di dalam hadith yang lain pula: “Kepala kufur dari sebelah matahari naik”.

Muhammad b. Abdul Wahab dilahirkan dan di besarkan di negeri Najd, manakala Nabi Muhammad SAW pula memberitahu di sana terdapat gempa dan fitnah, Maka da’wah SMAW adalah sebahagian daripada gempa dan fitnah. Sesungguhnya telah lahir sebelumnya daripada negeri Yamaamah “Musailamah Al Kazzab’ yang mendakwa sebagai Nabi, begitu juga dengan Thulaihah b. Khuwailid Al Asadi. Najd terletak sebelah Timur Madinah.

Bantahan Terhadap Syubhat Yang Kedua


Kita tidak menafikan bahawa Hadith yang mereka kemukakan di atas adalah sahih, tetapi ia bukan untuk mela’nati negeri Najd Al Yamamah, bahkan kalimah Najd itu disebut bagi setiap sesuatu yang lebih tinggi atau menonjol daripada permukaan mukabumi. Manalaka kawasan yang terletak di timur Madinah adalah Iraq dan bukanya Al Yamamah seperti mana dakwaan mereka.

Telah berkata Al Karmaani didalam Syarah Al Bukhri: asal “Najd” Itu adalah sesuatu yang meninggi daripada permukkan bumi dan ia bersalahan dengan tanah rendah”. Ibnu Hajar Al Asqolani pula berkata: “ Telah bersepakat mereka yang telah mensyarahkan hadith dan par imam lughah pada kalimat “Najd” itu bukannya nama bagi negeri yang khusus dan bukannya nama bagi negeri yang tertentu, bahkan ia disebutkan bagi setiap bahagian di muka bumi yang meninggi dan yang menonjol daripada permukaan yang sekitarnya.

Jesteru itu “Najd” di negeri Arab adakah teramat banyak, di antaranya: Najd Al Barq, Najd Ija’, Najd Al Iqab di Damsyik, najd Yaman, Najd Hijaz dan Najd Iraq yang terletak di sebelah timur Madinah Al Munawwarah.

Ketika mensyarahkan hadith “Tanduk syaitan itu terbit daripada Najd”, Al Karmaani telah berkata: “Ianya adalah permukaan bumi yang tinggi daripada Tihamahhingga kepada negiri Iraq:.

Dari itu jrlaslah kepada kiat bahawa hadith yang mencela “Najd” di mana terbitnya tanduk syaitan darinya bukanlah ditujukan kepada Najd Al Iraq dan sekelilingnya.

Telah berkata pengarang “Akmalul Bayan fi Syarhi Hadith Najd ’Qarnul Syaitan’”. Yang dimaksudkan dengan negeri-negeri yang terletak di sebelah timur Madinah Al Munawwarah seperti mana yang tersebut di dalam hadith-hadith itu ialah tempat bermulanya fitnah dan fasad, pusat kekufuran dan ilhad serta tempat terbitnya bid’ah dan kesesatan. Maka lihatlah pada peta Arab dengan pandangan yang teliti, nescaya jelaslah kepada kamu bahawa permukaan bumi yang tinggi di sebelah timur Madinah itu aialah Iraq yang terletak pada Kufah, Basrah dan Baghdad”.

Di antara gempa dan fitnah yang telah berlaku di Najd Iraq itu ialah: peperangan Jamal dan Siffin. Di mana kedua-dua peperanagn ini sedikit sebanyak telah meretakkan perpaduan umat Islam dan menjadi sebab munculnya golongan sesat seperti Khawarij dan Syiah serta berlakunay peristiwa kafir mengkafir dikalangan umat Islam ketika itu.

Kemudian berlaku pembunuhan Hasan b. Ali RA dan ia adalah sebesar-beasr fitnah yang berlaku kepada umat Islam. Kemudian munculnya Al Mukhtar Al Ubaed ath Thaqafi yang mendakwa menerima wahyu serta berlakunya tragedi pembunuhan Zaid b. Ali b. Husain.

Di sanalah munculnya golongan Mu’tazilah dan Qadariyah serta berlakunya tragedi fitnah Al Quran itu Makhluq, di mana Al Ma’mun telah memaksa umat Islam agar ber’itiqad bahawa Al Quran itu Makhluq sehingga membawa kepada pembunuhan Imam Ahmad Al Khazaie’, manakala Imam Ahnad b. Hambal pula disisksa dan dipenjarakan kerana menentang I’tiwad yang bathil ini.

Syubahan Yang Ketiga

Meraka menyatakan SMAW dan para pengikutnya telah melarang daripada membaca kitab: “Dalail Al khairat” dan “Syawariq Al Anwar” di man kitab ini banyak menghimpunkan fadhilah-fadhilah berselawat ke ats nabi SAW dab berbagai lafaz selawat.

Bantahan Syubahat Yang Ketiga

Kita seharusnya meneliti adakah larangan SMAW itu daripada membaca kedua-dua kitab tersebut di atas adalah berdasarkan kepada larangan berselawat ke atas nabi Saw atau sebaliknya.

Terlebih dahulu kita seharuslah menyedari bahawa kedua-dua kitab tersebut di ats adalah di penuhi dengan hadith-hadith yang daif dan palsu (maudhu’) bahkan lafaz-lafaz selawat di dalam kitab itu tidak warid daripada Al Quran dan As Sunnah. Ianya hanyalah semata-mata ciptaan pengarang kitab tersebut.

Pengarang kitab di atas telah menjadikan selawat-selawat itu sebagai hizib yang perlu dibaca pada hari-hari tertentu sepanjang minggu, sedangkan perbuatan menjuzu’kan selawat-selawat serta membahagi-bahagikan selawat mengikut hari adalah merupakan bid’ah yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabt, tabi’in serta para imam yang mu’tabar.

Selawat kepada nabi SAW adalah merupaka ibahad dan perkara ‘qurbah’ (mendekatkan diri kepada Allah SWT) yang di bina atas tauqifiah di man ibadah itu hendaklah berpunca daripada Al Quran dan As Sunnah dan bukannya dicipta ola\eh manusia. Jesteru itu bagaimana mungkin kita menjadilak selawat-selawat yang di hasilkan oleh pengarabg kitab tersebut sebagai ibadah kita setiap hari dan sepanjang minggu.

Di sini kita kemukakan contoh hadith yang di sandarkan kepada Nabi SAW yang terdapat di dalam kitab tersebut. Bersabda Nabi SAW:

“Tidak ada daripada seorang hamba yang berselawat kepadaku melainkan keluar selawat daripada mulutnya dengan segera tidak daratan dan tidak lautan, tidak timur dan tidak barat melainkan lalu selawat itu serta berkata: “Aku berselawatlah Fulan b. Fulan dan ia telah berselawat ke atas Nabi pilihan”. Maka tidak ada sesuatu melainkan berselawat ke atasnya. Dan Allah jadikan daripadanya seekor burung yang mempunyai 70 ribu sayap dan tiap-tiap sayap 70 ribu bulu dan tiap-tiap buku 70 ribu muka dan pada tiap-tiap muka 70 ribu mulut dan tiap-tiap mulut ada 70 lidah dan setiap lidah itu bertasbih bagi Allah dengan 70 ribu bahasa dan Allah menulis pahala semua itu untuk orang tersebut.”

Jelaslah kepada kiata bahawa larangan SMAW daripada mengambil panduan dari kitab “Dalail Al Khairat” dan ‘Syawarariq Al Anwar” adalah berdasarkan kepada beberapa kaedah syarie dan bukannya kerana tidak suka berselawat ke Atas Nabi SAW.

Penutup


Setelah kita meninjau secara ringkas mengenai SMAW, dakwahnya serta beberapa syubhat yang di lemparkan kepadanya, dapatkah kita membuat gambaran bahawa SMAW adalah merupakan seorang ulama dan tokoh dakwah yang sentiasa berusahagigih, tidak mengenal putus asa dan sentiisa bersabar dalam memperjuangkan cita-cita beliau. Dakwahnya terus berkenbang sehingga ke negeri Sudan, Al Jazair, Mesir, India , Hadral Maut, Asia Tengah dan lain-lain lagi.

Perlu juga diingikatkan bahawa para penentang belliau sentiasa membangkang usaha-usaha Smaw dengan sebab-sebab politik dan bukannya agama seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Sidi Yusuf di dalam kitabnya “ Al Fikir As Saami Fi Al fiqhi Al Aslami: “bahawasanya orang Turki Apabila merasa bimbang terhadab dakwah SMAW, lalu mereka menyebarka fitnah-fitnah yang di buat- buat seluruh alam Islam di bawah pemerintahannya. Lamtaran itu Sultan Maghribi telah menolak perintah atau seruan kerajaan Turki itu keran mendapati ianya bukanlah masalah agama tetapi adalah masalah politik.

MOHAMMAD ABDUL QADEER ALMANDEELY
Pejabat Am Hal Ehwal Agama Dan Masjid Al Haram
Makkah Al Mukaramah.

PS: al-fadhil syeikh merupakan orang malaysia yang pertama yang diberi mandat oleh kerajaan Saudi untuk menjalankan kegiatan dakwah di Masjidl haram.Malah beliau telah mendapat kerakyatan tetap oleh Kerajaan Saudi. Bagi sesiapa yang pernah menunaikan umrah atau Haji di Makkah, kiranya boleh mengambil ilmu dari beliau. Beliau merupakan seorang yang alim lebih-lebih lagi dalam membicarakan isu-isu mazhab yang sebenar yang dibawa oleh Imam Syafie R.A

sumber : http://www.cmisiic.informe.com

Tiada ulasan: