Ustaz Idris bin Sulaiman
Hijrah adalah ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Umat Islam sentiasa dituntut supaya berhijrah. Jika mereka tinggal di negara kafir, mereka dituntut berhijrah ke negara Islam. Dalam negara Islam, mereka disuruh berhijrah jika tempat tinggal mereka tidak Islamik, banyak maksiat, dosa, perkara yang tidak menepati Syarak, melalaikan dari mengingati Allah, dan seumpamanya.
Disebabkan hijrah adalah ibadah, definasinya perlu dikembalikan kepada Syarak. Ini kerana akibat tidak faham maksud Hijrah, ramai menggunakan istilah ini pada tempat yang salah. Pernah orang mengatakan si fulan berhijrah ke Amerika, si fulan berhijrah ke London, negeri-negeri kafir. Ini adalah keliru.
Perlu jelas bahawa maksud hijrah adalah dari negeri kafir ke negeri Islam, atau dari yang tidak baik kepada yang baik. Dalilnya adalah perbuatan Rasulullah SAW sendiri yang berhijrah dari Makkah ke Madinah. Bahkan perkataan hijrah sinonim dengan peristiwa hijrah Baginda. Ia juga boleh diambil dari kisah pembunuh yang membunuh 99 orang lalu ingin bertaubat. Rasulullah SAW menceritakan,
“Zaman sebelum kalian ada seorang yang membunuh 99 orang, dia ingin bertaubat lalu bertanya di mana orang yang paling alim di muka bumi? Dia pun ditunjukkan kepada seorang ahli ibadah. Dia mendatangi ahli ibadah itu dan berkata, ‘Aku telah membunuh 99 orang, adakah boleh aku bertaubat?’ Ahli ibadah menjawab, ‘Tidak mungkin.’ Akibat marah dengan jawapan itu, dia membunuh ahli ibadah itu dan genaplah 100 orang.
Dia ingin bertaubat lagi dan bertanya di mana orang yang paling alim? Dia ditunjukkan seorang alim (orang berilmu). Dia berkata, ‘Aku telah membunuh 100 orang, mungkinkah bagiku taubat?’ Orang alim menjawab, ‘Ya. Siapa yang menghalang seseorang dari taubat? Pergilah ke tempat ini kerana di sana terdapat manusia yang menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali ke tempatmu kerana tempat itu adalah tempat yang buruk.’
Lelaki ini berhijrah. Ketika di tengah perjalanan, sampailah ajalnya. Terjadi perselisihan antara malaikat rahmat dan malaikat azab (yang ingin mengambil nyawa). Malaikat rahmat berkata, ‘Orang ini datang untuk bertaubat dengan menghadapkan hatinya kepada Allah’. Malaikat azab berkata, ‘Orang ini belum melakukan kebaikan sedikit pun.’
Lalu datang malaikat lain dalam rupa manusia, mereka sepakat menjadikan malaikat ini sebagai pemutus. Malaikat ini berkata, ‘Ukurlah jarak dua tempat tersebut. Jika jaraknya dekat, dia yang berhak atas orang ini.’ Lalu mereka dapati orang ini lebih dekat dengan tempat yang dia tuju. Maka rohnya dicabut oleh Malaikat Rahmat.” (Sahih Al-Bukhari & Muslim, turut dimuatkan dalam Riyadhus Salihin Imam Al-Nawawi)
Hadis ini menjadi tuntutan supaya berhijrah ke persekitaran yang baik. Ini kerana persekitaran mempengaruhi jiwa. Orang alim itu tahu bahawa kalau pelaku maksiat itu terus tinggal di tempatnya, di mana dia telah membunuh 99 orang tanpa ada yang menghalangnya, dia akan melakukan lagi jika terus di situ. Oleh itu dia menyuruh supaya berhijrah dan pergi ke negeri yang penghuninya baik.
Ahli maksiat itu juga membuktikan bahawa dia benar-benar ingin taubat dengan mengikuti saranan orang alim. Walaupun dia tidak sampai ke tempat dituju, dan belum melakukan kebaikan sedikit pun, usahanya diambil kira dan dia termasuk orang yang mendapat rahmat.
Maka tidak hairan mengapa kita disuruh tinggal di negara Islam dan keluar dari negara kafir. Tidak boleh orang Islam meninggalkan negara Islam mereka untuk ke negara kafir. Itu bukan hijrah, tetapi itu berpaling tadah.
Umat Islam disyariatkan hijrah ke Negara Islam untuk membantu negara dan saudara Islam yang lain demi memartabatkan Islam dan Umatnya. Ini kewajipan setiap Muslim bertepatan firman Allah, “Dan tolong-menolonglah dalam kebaikan dan ketakwaan dan jangan bersekongkol dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Ma’idah: 2)
Allah SWT memberi amaran terhadap mereka yang enggan berhijrah dan tinggal di Negara Islam: “Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawa oleh malaikat sedang mereka telah menganiaya diri sendiri, mereka ditanya, “Apakah yang kamu lakukan untuk Agama kamu?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang yang ditindas di bumi.” Malaikat bertanya, “Tidakkah bumi Allah luas untuk kamu berhijrah dengan bebas di atasnya?” Orang-orang sedemikian, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam, dan Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Al-Nisaa’:97)
Ayat ini merujuk kepada orang kafir yang masuk Islam di negara kafir di mana mereka dituntut supaya berhijrah ke Negara Islam sebagai bukti keimanan dan tanda mereka benar-benar meninggalkan kekufuran dan masuk Islam secara total rohani dan jasmani.
Adapun orang Islam yang berhijrah dari negara Islam ke negara kafir jelas itu lebih dilarang kerana bertentangan dengan pengertian Hijrah. Mereka bukan saja keluar dari negara Islam, bahkan mereka keluar lalu masuk ke negara kafir. Dikhuatiri perbuatan zahir mereka turut memberi kesan ke dalam jiwa mereka. Nau’zubillah.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku berlepas diri daripada setiap orang Islam yang menetap di kalangan orang-orang musyrikin (kafir)” (Sahih Abu Daud dan Tirmizi). Baginda juga bersabda, “Barangsiapa yang berdamping dengan orang musyrik dan tinggal bersamanya maka dia adalah sepertinya.” (Hasan, Abu Daud)
Oleh kerana Hijrah adalah ibadah, kayu ukur untuk menentukan ia benar atau salah adalah dua syarat; 1. Ikhlas (kerana Allah), 2. Ittiba’ (mengikut petunjuk Sunnah). Ibadah tidak cukup dengan niat, tetapi cara juga mestilah betul. Rasulullah menyuruh kita hijrah dari yang buruk kepada yang baik, maka tidak benar jika kita hijrah ke tempat yang buruk.
Perintah hijrah ini berterusan hingga hari Kiamat sebagaimana sabda Nabi SAW, “Tidak akan terhenti hijrah kecuali apabila pintu taubat tertutup; dan tidaklah pintu taubat tertutup kecuali apabila matahari naik dari barat.” (Sahih, Abu Daud)
TEGAKKAN NEGARA ISLAM BUKAN MATLAMAT HIJRAH NABI
Hijrah Nabi ke Madinah adalah kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai Utusan Allah. Seperti Rasul yang lain, matlamat mereka tidak lebih dari mengajak manusia menyembah Allah, meninggalkan sembahan yang lain, dan mengajar cara ibadah. Sama sekali Baginda tidak diutus untuk mengajar membina bangunan, jalan raya atau seumpamanya.
Dalam konteks hijrah ke Madinah, menegakkan Negara Islam adalah wasilah untuk sampai kepada matlamat iaitu menyebarkan Islam dan menegakkan Tauhid. Dukacitanya, sebahagian masyarakat hari ini menjadikan wasilah sebagai matlamat. Apabila wasilah dijadikan matlamat, akhirnya matlamat sebenar diabaikan.
Ini dapat kita lihat pada parti-parti yang mendakwa Islam lalu berkecimpung dalam politik demokrasi untuk menegakkan Negara Islam. Akibat tidak mengikuti petunjuk Rasul, akhirnya mereka sendiri memerangi gerakan yang mengajak kepada Tauhid, membiarkan bidaah dan syirik berleluasa, bekerjasama dengan golongan yang memerangi tauhid dan menyamarata semua agama. Ini kerana matlamat sebenar telah dilupakan.
Maka tidak hairan mengapa ramai di kalangan Para Rasul tidak berkesempatan menegakkan Negara Islam. Adakah kita mengatakan mereka gagal dan berdosa kerana tidak melaksanakan kewajipan? Tidak, kerana matlamat dan kewajipan adalah menyebarkan dakwah. Kalau berkesempatan menegakkan Negara Islam, maka itu yang sepatutnya. Tetapi jika tidak ada kemampuan, itu tidak bererti kita gagal dalam dakwah.
Kita tidak nafikan bahawa mengubah keburukan kepada kebaikan, menukar apa yang tidak menepati Islam kepada yang menepati Islam memang dituntut. Namun adakah dengan cara menggulingkan kerajaan? Adakah dengan menyebut keburukan dan membangkitkan kemarahan rakyat?
Adakah ini hijrah yang dituntut? Jawapannya tidak. Sebaliknya ia adalah maksiat yang akan membawa kemusnahan. Itu sama sekali bukan hijrah, kerana itu bukan cara Rasulullah. Kaedah Usul menetapkan ‘menolak kemudaratan/kemusnahan lebih utama daripada mencapai kemaslahatan’. Ini kerana hukum Islam sentiasa melihat kepada natijah.
Maka orang yang ikhlas dan inginkan kebaikan untuk masyarakat Islam akan melakukannya dengan cara yang dituntut iaitu nasihat dan amar makruf secara baik, hikmah, dan tertutup kerana di situ ada manfaat dalam usaha hijrah dari suatu yang tidak baik kepada yang lebih baik.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 09 November 2013

Tiada ulasan:
Catat Ulasan