Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Jumaat, 8 November 2013

FITRAH MANUSIA & LARANGAN MENYERUPAI ORANG KAFIR

Ustaz Idris bin Sulaiman
Bagaimana kamu mencintai Allah dan kamu memaksiatiNya?
Bagaimana kamu mencintai Allah dan kamu memaksiatiNya?
Seorang penyair berkata: “Engkau memaksiati Al-Ilah (Allah) dan engkau mendakwa mencintaiNya, Ini -demi Tuhanku- adalah perbandingan yang buruk, Kalau cintamu benar pasti engkau mentaatiNya, Sesungguhnya orang yang mencintai akan taat terhadap yang dicintai.”
Perbuatan sebahagian masyarakat Islam yang memanjangkan kuku, memanjangkan misai, mencukur janggutnya sebenarnya bercanggah dengan Syarak. Bahkan ia dianggap sebagai perbuatan yang jelik dan tidak dapat diterima oleh fitrah yang baik.
Syarak sentiasa menuntut kepada apa yang baik dan melarang yang tidak baik. Perbuatan meniru-niru orang kafir inilah yang menyebabkan sebahagian Umat Islam bukan sahaja menolak apa yang dituntut Agama, bahkan menolak apa yang dituntut oleh fitrah.
Islam menuntut umatnya menjaga fitrah seperti yang disebut dalam hadis Abu Hurairah, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Fitrah (manusia) ada lima: khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Bukhari & Muslim)
Di dalam banyak hadis lain, Baginda SAW melarang orang Islam meniru orang kafir, antaranya sabda Nabi SAW, “Bukan tergolong dari kalangan kami siapa yang menyerupai selain kami (iaitu orang kafir).”(Hasan. Al-Tirmizi)
Nabi juga bersabda, “Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong daripada mereka.”(Sahih. Ahmad)
Apabila Nabi mengatakan dia tergolong daripada mereka, hukum dari perbuatan menyerupai orang kafir (dalam perkara yang khas dan menjadi identiti mereka) yang paling kurang adalah maksiat, kalau terselamat daripada jatuh dalam bid’ah ataupun kafir.
Sekiranya yang ditiru adalah urusan ibadah, ia boleh menyebabkan pelakunya jatuh kafir. Jika bukan ibadah, hukum minimumnya adalah maksiat.
Namun pada masa yang sama, kita mengetahui realiti bahawa sebahagian orang Islam pasti akan meniru orang kafir. Ini adalah Sunnatullah Al-Kauniyah (ketetapan takdir Allah dalam alam), bahawa orang Islam pasti akan meniru orang kafir sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah,
“Sesungguhnya kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, bahkan sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun pasti kalian turut mengikutinya.” Kami (sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang diikuti itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi?” (Sahih Muslim)
Realiti yang berlaku pada hari ini jelas menunjukkan mukjizat Rasulullah. Apa yang disebutkan oleh Baginda 1400 tahun lepas, di mana pada masa itu tidak ada tasyabbuh (penyerupaan) kepada orang kafir kerana para Sahabat semua beriltizam dengan Sunnah Nabi, jauh sekali tasyabbuh orang kafir, tetapi pada hari ini apa yang disebutkan Baginda telah menjadi kenyataan.
Sebahagian besar orang-orang Islam dengan mudah bahkan ada yang bangga meniru dan terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani.
MEMANJANGKAN MISAI DAN MENCUKUR JANGGUT
Antara contohnya adalah mereka memanjangkan misai dan mencukur janggut, atau mencukur kedua-duanya. Kedua-dua perbuatan itu salah, kerana bercanggah dengan hadis di mana Rasulullah mengatakan, “Selisihilah orang-orang Musyrikin, biarkanlah (peliharalah) janggut dan potonglah misai.”(Bukhari & Muslim)
Berdasarkan hadis-hadis yang dibawa di atas, Syariat telah mengajar kita bahawa ada rambut yang dituntut supaya kita mencukurnya (bulu kemaluan), ada yang dituntut supaya mengguntingnya (misai), ada yang dituntut supaya kita mencabutnya (bulu ketiak), dan ada yang dituntut supaya kita membiarkannya (janggut).
Dalam urusan janggut, dituntut supaya kita membiarkannya, memanjangkannya, melebatkannya. Adapun misai, dituntut supaya kita memotongnya (memendekkannya, bukan mencukur).
Kesalahan pertama mereka yang mencukur janggut atau misai adalah menyerupai orang kafir. Kedua, mereka menyerupai wanita di mana fitrah kejadian wanita adalah tidak berjanggut dan bermisai. Nabi SAW bersabda, “Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Al-Bukhari)
Kesalahan ketiga, ia menukar ciptaan Allah tanpa kita sedar. Ini kerana Allah menciptakan lelaki dengan janggut dan misai secara sengaja. Buktinya ialah Allah menjadikan wanita tanpa janggut dan tanpa misai, sebaliknya Allah mencipta lelaki dengan janggut dan misai. Ini adalah ciptaan Allah.
Jadi perbuatan menghilangkan janggut dan misai bukan saja bercanggah dengan Syarak bahkan menukar ciptaan Allah. Hal ini ditegah dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Allah melaknat orang yang mentatoo, yang minta ditatoo, mencabut alis, … dan golongan yang mengubah ciptaan Allah.” Apa saja yang diancam dengan laknat menunjukkan ia adalah dosa besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Kesalahan keempat adalah perbuatan itu bercanggah dengan Sunnah Nabi. Di dalam hadis-hadis sahih Baginda secara jelas menuntut kaum lelaki memanjangkan dan melebatkan janggut serta memendekkan misai.
SEMUA MAZHAB FEKAH SEPAKAT LARANGAN MENCUKUR JANGGUT
Pelik tapi benar, masyarakat mendakwa bahawa mereka mengikut mazhab fekah. Di Malaysia, mereka mengatakan bahawa mereka mengikut mazhab Syafi’i. Pelik tapi benar, semua mazhab-mazhab fekah baik Syafi’i, Hanafi, Maliki, Hanbali sepakat bahawa mencukur janggut dan misai adalah maksiat. Tidak ada satu mazhab pun yang mengharuskannya.
Kita tertanya-tanya apa alasan mereka melakukan itu, sedangkan mereka mendakwa berpegang dengan mazhab. Hadis Rasulullah jelas, bahkan pendapat mazhab juga jelas. Jadi mereka mengikut siapa? Jelas dakwaan mengikut mazhab adalah dakwaan semata-mata sedangkan hakikatnya mereka terikut-ikut amalan orang-orang kafir.
MENIRU PAKAIAN ORANG KAFIR
Perbuatan meniru orang kafir bukan saja dalam mencukur janggut dan misai, tetapi juga dalam berpakaian, antara contoh mudah adalah memakai tali leher. Ia mungkin sensitif kerana telah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, namun masyarakat perlu juga dijelaskan tentang hal ini.
Jelas bahawa ia adalah kod pakaian dan syiar orang kafir, iaitu Yahudi dan Nasrani. Bahkan tidak ada manfaat pun untuk kita memakainya, kalau bukan hanya menimbulkan rasa tidak selesa.
Sama sekali jangan seorang mengatakan bahawa apa yang penting adalah niat. Jangan sesekali mengatakan pakaian zahir tidak penting, yang penting adalah niat baik. Ini adalah syubhat yang biasa kita dengar. Ini hanya alasan untuk membenarkan kesalahan yang dilakukan.
Kalau benar hati baik, ia akan terzahir pada luaran. Hubungkait zahir dan batin sangat rapat. Ini seperti sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya. Dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah ia adalah jantung (hati).” (Bukhari & Muslim)
Maka kalau benar hati baik, cinta Allah, ikhlas kerana Allah, maka pasti pakaiannya, tingkah lakunya, akhlaknya, pertuturannya, sikapnya juga akan baik.
Syarak menuntut supaya kita menjaga zahir seperti mana Syarak menuntut kita menjaga batin. Adakah seorang yang mengingkari suruhan ALLAH, buruk tingkah laku, mencuri, tetapi dia mengatakan hatinya suci dan bersih? Adakah dakwaan itu boleh diterima? Jawapannya adalah kalau benar hati baik, dia akan menjaga zahirnya seperti mana dia menjaga hatinya.
Perbuatan lalai dan leka dalam menjaga yang zahir, akhirnya akan memberi kesan kepada jiwa, hati, dan niat. Tidaklah suatu amalan itu dizahirkan melainkan ia bermula dari batin. Maka kalau seseorang itu meniru-niru orang kafir, itu menjadi petanda bahawa hatinya sebenarnya lebih cenderung kepada orang kafir –wal’iyyazubillah- berbanding terus berpegang dengan Syariat Islam.
Barangkali ada yang menganggap ini isu remeh. Kita mengatakan bahawa di dalam Syariat Islam tidak ada satu pun benda yang remeh. Buktinya adalah kelima-lima perkara fitrah yang disebutkan dalam hadis di awal tadi.
Barangkali ada yang menganggap remeh perbuatan memanjangkan kuku. Tetapi itu bercanggah dengan Syarak. Tidak ada satu pun yang boleh dianggap remeh kalau ia dituntut dan disebut di dalam Agama.
Disiarkan di akhbar pada Sabtu, 26 Oktober 2013
 sumber :  http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/

Tiada ulasan: