Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Sabtu, 16 November 2013

Kalimah Allah Titah Sultan Wajar Dipatuhi

Sultan Sharafuddin Idris Shah 
 
SHAH ALAM 14 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri ini tanpa mengira kaum serta latar belakang agama akur dan patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Titah baginda itu dinyatakan menerusi kenyataan khas yang dikemukakan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais di sini hari ini.

Dalam kenyataan khas itu, baginda mahu semua rakyat mematuhi larangan tersebut seperti mana yang telah tertakluk di bawah Seksyen 9, Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di kalangan Orang Islam) 1988.

Menurut Hanafisah, menerusi kenyataan khas itu, baginda turut bertitah enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua rakyat Selangor sama ada mereka itu beragama Islam atau bukan Islam.
"Selanjutnya, baginda bertitah supaya semua rakyat negeri Selangor perlu patuh kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010.
"Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan dalam agama-agama lain," katanya.

Menurut Hanafisah, kenyataan khas itu turut menyatakan penegasan baginda terhadap kedudukan agama Islam di negara ini yang mana didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama lain.

Mengenai kes The Herald, tambahnya, kenyataan khas itu menyatakan Sultan Selangor sekali lagi menzahirkan pendirian tegas kalimah Allah tidak boleh digunakan sama sekali di Selangor oleh orang bukan Islam sebagaimana yang telah diperuntuk serta dikuatkuasakan dalam undang-undang serta fatwa negeri.

"Oleh yang demikian, pengunaan kalimah Allah dalam Bible dan penerbitan Herald versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta-merta. Ini bagi mengelak kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penganut-penganut agama lain dalam agama mereka.
"Kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam al-Quran menerusi surah al-Ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, menurut Hanafisa, kenyataan khas berkenaan turut menyatakan baginda bertitah semua rakyat yang tinggal di Selangor menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober lalu yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan The Herald.
Malah, baginda seperti dalam kenyataan khas itu menasihatkan mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan menjadikan kalimah Allah sebagai agenda politik memandangkan kalimah tersebut adalah suci dan melibatkan akidah umat Islam.

Tiada ulasan: