Oleh: Ustaz Abu Faruq Rasul bin Dahri
Disunting: an-Nawawi (Edisi Online)
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
PERIBADI RINGKAS AL-IMAM AS-SYAFI’E
Nama
sebenar al-‘Allamah Imam as-Syafie rahimahullah ialah: Muhammad bin
Idris as-Syafie yang lebih dikenali sebagai Imam as-Syafie. Beliau
adalah seorang Imam besar yang sentiasa mendapat pujian, penghormatan
dan pengiktirafan tentang keilmuannya oleh para ulama sejak zamannya
sehinggalah ke saat ini. Imam as-Syafie dilahirkan di Gazzah
(Palestin/Jurusalem) pada tahun 150H (767M). Meninggal dunia di Mesir
pada malam Jumaat dan dikebumikan selepas Asar pada 2hb. Rejab, 204H
dalam usia 54 tahun.[1] Beliau adalah seorang imam dan ulama besar
yang sentiasa mengajak ummah agar berpegang teguh kepada sunnah
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sehingga digelar oleh
tokoh-tohoh besar sebagai (Nasirus Sunnah)[2] "Pejuang/Penegak/Pembela
Sunnah" atau (نَاصِرُ الْحَدَيْث) "Pejuang Hadith".[3]
Imam
as-Syafie terkenal sebagai seorang yang paling alim di zamannya tentang
makna-makna al-Quran, dianggap seorang manusia yang paling tahu tentang
isi al-Quran dan sunnah Rasulullah.[4] Sehingga Imam Ahmad bin Hambal
rahimahullah berkata:
"Kalaulah tidak kerana as-Syafie tidaklah kami mengenali ilmu hadis".[5]
Berkata
Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah dalam mukaddimah syarah dan
tahkiknya tentang kitab ar-Risalah yang dihasilkan oleh Imam as-Syafie
rahimahullah:
"Jika sekiranya dibolehkan bagi seorang alim
bertaqlid dengan seorang alim yang lain, pasti manusia yang lebih layak
menurut pendapatku untuk ditaqlid ialah as-Syafie. Sesungguhnya aku
(tetapi tidak ghuluw dan keterlaluan) percaya sesungguhnya tidak pernah
muncul seorang ulamak Islam seperti lelaki ini dalam pemahaman,
pandangan dan ketelitiannya mengambil hukum dari al-Kitab dan
sunnah".[6] Dan beliau berkata lagi: "as-Syafie telah memenuhi permukaan
bumi ini dengan ilmu".[7]
Walaupun Imam as-Syafie diiktiraf
sebagai seorang ulama besar dan muktabar sehingga fatwa-fatwanya
dijadikan rujukan sejak zamannya sehinggalah sekarang, namun beliau
tidak pernah mengizinkan sesiapapun untuk bertaqlid buta[8] dengannya,
malah beliau bersepakat dengan imam-iman besar yang lain melarang dari
bertaqlid buta dengan mana-mana mazhab yang ada. Beliau dan juga para
imam yang lain tidak pernah memberi keizinan kepada sesiapapun
mengguna-pakai fatwanya sebelum terlebih dahulu diketahui dari mana
mereka mengambilnya. Beliau berkata:
"Dari Imam Abi Hanifah,
Malik, as-Syafie dan Ahmad rahimahumullah mereka semua berkata: Tidak
dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan kata-kata kami atau
berpegang dengan kata-kata kami selagi dia tidak mengetahui dari mana
kami mengambil kata-kata tersebut".[9]
Imam as-Syafie amat
membenci perbuatan bertaqlid buta. Malah beliau melarang dengan
sekeras-kerasnya perbuatan bertaqlid buta. Larangan Imam as-Syafie amat
jelas apabila difahami wasiat beliau yang masyhur:
"Berkata Imam
as-Syafie: Setiap apa yang telah aku katakan, kemudian apa yang dari
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bertentangan dengan perkataanku
sekalipun (perkataanku itu dianggap) betul, maka hadith Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam mesti diutamakan, oleh itu janganlah kamu
bertaqlid dengan qaulku (kata-kataku)".[10]
Imam as-Syafie tidak
pernah menghalalkan perbuatan seseorang yang meninggalkan al-Quran dan
as-Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam lantaran bertaqlid
buta atau ta’sub a’ma kepada seseorang ulama:
“Telah berkata Iman
as-Syafie rahimahullahu Ta’ala: Telah ijmak (sepakat) seluruh muslimin
bahawa sesiapa yang terang baginya sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam, maka tidak dihalalkan baginya meninggalkan sunnah tersebut
lantaran mematuhi (mentaati) perkataan seseorang".[11]
Imam
as-Syafie berulang kali berwasiat tentang haramnya bertaqlid buta kerana
bertaqlid akan menyempitkan ilmu. Imam as-Syafie juga telah memberi
peringatan yang tegas bahawa amalan bertaqlid buta kepada mana-mana Imam
atau ulama samalah seperti mengangkat seseorang manusia sebagai tuhan
yang disembah selain Allah Subhanahu wa-Ta'ala:
“Sesiapa
bertaqlid kepada seseorang dalam perkara mengharamkan atau menghalalkan
sesuatu sedangkan hadith sahih bertentangan dengannya dan menegah
bertaqlid kerana diperintahkan beramal dengan sunnah, maka dia telah
mengambil orang yang ditaqlidkan sebagai tuhan selain Allah ‘Ta’ala”.
Amaran
Imam as-Syafie ini dapat diperjelaskan lagi dengan bersandarkan sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh 'Adi bin Hatim radiallahu ‘anhu. Hadith
ini merupakan keterangan yang amat ketara menunjukkan bahawa Nabi
Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam menganggap sebagai penyembahan
(pengibadatan) perbuatan bertaqlid buta yang dilakukan oleh kaum Nasara
terhadap Ahbar dan Ruhban mereka:
“Dari ‘Ady bin Hatim berkata:
Aku pergi kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan di leherku
tergantung sebuah salib dari emas, maka baginda bersabda: Wahai ‘Ady!
Buangkanlah berhala ini dari dirimu. Saya dengar baginda membacakan
surah Baqarah (Dan mereka menjadikan Ahbar dan Ruhban mereka sebagai
tuhan-tuhan sembahan selain Allah), aku berkata: Wahai Rasulullah!
Mereka tidak pernah menyembah (Ahbar dan Ruhban). Maka baginda bersabda:
Bukankah Ahbar dan Ruhban itu mengharamkan perkara yang telah
dihalalkan Allah maka mereka mengharamkan? Dan mereka menghalalkan
perkara yang diharamkan Allah lalu mereka pun menghalalkannya? Aku
menjawab: Memang itu adalah benar. Baginda bersabda: Maka itulah cara
mereka menyembah Ahbar dan Ruhban mereka".[12]
Itulah bahaya
taqlid buta atau ta’sub a’ma (تعصب اعمى) yang ditakuti oleh Imam
as-Syafie, yang mana ianya boleh membawa kepada penyembahan yang membawa
kepada kesyirikan. Maka amat tepat apabila beliau berwasiat agar umat
Islam tidak bertaqlid buta kepada mana-mana mazhab selain al-Quran dan
sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang sahih.
Penyerupaan
(meniru) bentuk suluk atau tata-cara agama dari agama kaum kuffar atau
musyrikin adalah haram (kufur) kerana telah ditegah oleh syara.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dari golongan kaum tersebut".
Pengharaman bertaqlid buta atau ta’sub a’ma telah disuarakan juga oleh para sahabat, para imam dan para ulama muktabar:
"Dari
Ibn Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya janganlah sama sekali
seseorang dari kamu bertaqlid kepada seseorang tentang agamanya, yang
mana apabila ia beriman kamupun beriman dan sekiranya dia kufur kamupun
jadi kufur, maka sesungguhnya tidak ada contoh (yang boleh dikuti) dalam
perkara buruk ini".[13]
"Ibn Abbas pernah menjawab pertanyaan
seorang lelaki yang bertanya kepadanya tentang suatu masalah. Dijawabnya
pertanyaan tersebut dengan sebuah hadith. Maka menyangkal dan berkata
kepada Ibn Abbas: (Tetapi) telah berkata Abu Bakar dan Umar. Ibn Abbas
kemudian berkata: Ditakuti akan diturunkan ke atas kamu hujan batu
(bala) dari langit. Aku telah menjawab: Telah bersabda Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam tetapi kamu berkata (menyangkal/beralasan)
telah berkata Abu Bakar dan Umar?".
"Berkata Imam Ahmad:
Janganlah kamu bertaqlid denganku, janganlah bertaqlid dengan Malik, Abu
Hanifah, as-Syafie, 'Auzii dan Thauri rahimahumullah. Ambillah oleh
kamu dari mana mereka itu mengambil".[14]
"Telah berkata Ibn
Hazam rahimahullah: Sesungguhnya para fuqaha yang menjadi ikutan telah
membatalkan pentaqlidan pada mereka dan sesungguhnya mereka menegah
(melarang) para pengikut mereka dari bertaqlid kepada mereka".[15]
"Telah
berkata Sanad bin 'Anan rahimahullah: Ketahuilah olehmu! Sesungguhnya
hanya dengan mengambil jalan mudah sehingga mendorong bertaqlid, adalah
tidak diredhai oleh seseorang insan yang bijaksana. Sesungguhnya
(bertaqlid) adalah cara seseorang yang bodoh lagi bebal dan si tolol
yang keras kepala".[16]
Ketegasan semua para imam mazhab sama ada
mazhab fikeh atau akidah mengharamkan sesiapapun dari bertaqlid buta
kepada mereka adalah amat serious. Ternyata tidak seorang pun dari
mereka mengizinkan ummah bertaqlid buta kepada mereka, kerana taqlid
buta sama seperti perbuatan Ahli Kitab yang akhirnya boleh membawa
penyembahan kepada mereka yang dianggap sebagai ketua agama atau imam
mazhab.
UCAPAN IMAM AS-SYAFIE YANG KONTROVERSI
Antara
ucapan (qaul) Imam as-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian
masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik, ialah
tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:
"Bid'ah
itu terbahagi kepada yang baik dan yang buruk, atau yang terpuji dan
tercela. Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas
zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan zaman para Khulafa
ar-Rasyidin".[17]
"Dari Harmalah bin Yahya rahimahullah berkata:
Aku mendengar as-Syafie rahimahullahu Ta'ala berkata: Bid'ah ada dua,
iaitu bid'ah yang terpuji dan bid'ah yang tercela. Apa yang bersesuaian
dengan sunnah maka itu adalah terpuji dan apa yang bertentangan dengan
sunnah maka itu tercela".[18]
"Berkata ar-Rabi' rahimahullah:
Telah berkata as-Syafie rahimahullahu Ta'ala: Perkara-perkara yang
diada-adakan itu terbahagi dua: Yang pertama, apa yang dicipta
bertentangan dengan al-Kitab, Sunnah, ijmak sahabat atau athar, maka
inilah bid'ah yang sesat. Kedua apa yang dicipta berupa kebaikan yang
tidak bertentangan dengan salah satu dari perkara (al-Kitab, sunnah,
ijmak atau athar sahabat) maka itu ciptaan yang tidak tercela".[19]
Persoalan-persoalan
(syubahat) yang timbul dari qaul Imam as-Syafie di atas telah
dijelaskan oleh para ulama Salaf as-Soleh, antaranya Abdul Qayyum bin
Muhammad bin Nasir as-Sahaibani rahimahullah. Beliau telah
membincangkannya dengan membawa keterangan seperti berkut:
Pertama:
Tidak seharusnya diterima perkataan seseorang manusia yang bertentangan
dengan perkataan (sabda) Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam walau
siapapun orangnya. Perkataan Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam adalah
hujjah bagi setiap orang dan bukan pula perkataan seseorang itu menjadi
hujjah untuk menentang (meninggalkan) sabda Nabi sallallahu 'alaihi
wa-sallam[20] sedangkan Nabi Muhammad telah bersabda tentang persoalan
bid’ah:
“Setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke dalam neraka".[21]
Dalam hal ini Abdullah bin Abbas radhiallahu 'anhu berkata:
"Tidak
ada pendapat seseorang (yang boleh terus diterima kerana) ia boleh
diambil atau ditinggalkan kecuali pendapat (sabda) Nabi sallallahu
'alaihi wa-sallam".[22]
Kedua:
Sesiapa yang mahu memberi perhatian (memahami) tentang qaul Imam
as-Syafie (membahagikan bid'ah kepada yang baik dan tercela) maka dia
tidak akan meragui bahawa yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah
bid'ah di segi bahasa (لغوى) bukan syarii (شرعي). Ini berdalilkan
(kenyataan Imam as-Syafie) sesungguhnya setiap bid'ah dalam syara
(agama) adalah bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah. Imam
as-Syafie sendiri mengaitkan bid'ah yang baik dengan apa yang tidak
bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah kerana setiap bid'ah dalam
syara bertentangan dengan firman Allah dan Hadith Nabi sallallahu
'alaihi wa-sallam:[23]
"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu".[24]
"Bersabda
Rasulullah sallallahau ‘alaihi wa-sallam: Sesiapa yang mengada-adakan
(mencipta) yang baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan darinya
maka ia tertolak".[25]
"Barangsiapa yang mengerjakan satu amal yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak".[26]
Apa
yang dimaksudkan oleh Imam As-Syafie sebagai bid'ah yang mahmudah
(baik/terpuji), misalnya pembukuan hadith-hadith Rasulullah sallallahu
‘alaihi wa-sallam dan sembahyang tarawih, ini amat tepat menurut
definisi bahasa kerana walaupun ia tidak ada contoh sebelumnya tetapi ia
ada dasarnya dari syara.[27] Begitu juga dengan pembinaan madrasah
kerana belajar itu wajib menurut syara, pastinya pembelajaran yang
sempurna dan selesa ialah di madrasah. Semua yang berkaitan dengan
dunia yang tidak memudaratkan adalah bid'ah keduniaan yang hasanah dan
tidak bertentangan dengan syara.
Penjelasan di atas menunjukkan
bahawa setiap bid'ah yang dikatakan terpuji sebenarnya ia bukanlah
bid'ah, kerana ia tidak melibatkan urusan agama hanya disangka sebagai
bid'ah lantaran kurang memahami istilah bid'ah di segi bahasa dan syara.
Adapun bid'ah yang dianggap keji dan sesat setelah didapati secara
qatii (pasti) ialah yang bertentangan dengan al-Kitab dan as-Sunnah dan
jelas tiada dalilnya dari syara.[28]
Ketiga:
Memang sudah diketahui tentang pendirian Imam as-Syafie Rahimahullah
yang tegas, beliau sangat teliti dalam mengikuti (ittiba') kepada sunnah
Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam dan sangat benci kepada muqallid
(orang yang bertaqlid buta) dan orang yang menolak hadith Nabi
sallallahu 'alaihi wa-sallam. Ini terbukti semasa beliau disoal tentang
sesuatu perkara maka beliau menjawab:
"Wahai orang yang bertanya!
Bumi manakah yang akan aku pijak dan langit manakah yang akan aku
berlindung apabila aku telah meriwayatkan sesuatu hadith Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam kemudian aku tidak berkata denganNya?
Sewajarnya bagiku mendengar dan melihat (patuh dan taat kepada hadith
-Pent.)"
Kalau demikianlah pengakuan, sikap, pendirian dan
pegangan Imam as-Syafie rahimahullahu Ta’ala terhadap hadith Rasulullah,
maka tidak sepatutnya seseorang itu berprasangka terhadapnya sehingga
melagakan pandangan beliau dengan hadith sahih[29] terutamanya hadith
di bawah ini:
"Sesungguhnya setiap yang bid'ah itu menyesatkan"
Yang
paling tepat dan benar ialah perkataan Imam as-Syafie ini semestinya
diletakkan di tempat yang sesuai dengan hadith di atas bukan (dijadikan
alasan - Pent.) untuk menentang hadith tersebut, kerana apa yang
dimaksudkan oleh Imam as-Syafie ialah bid'ah di segi bahasa[30] (لغوي)
sahaja bukan di segi syara atau dalam persoalan agama.
Imam as-Syafie rahimahullah pernah menegaskan dengan perkataan beliau:
"Berkata
as-Syafei rahimahullah: Apabila kamu temui di dalam kitabku apa yang
bertentangan dengan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam, maka
berkatalah (ambillah/berpeganglah) kamu dengan sunnah tersebut dan
hendaklah kamu tinggalkan apa yang telah aku katakan".[31]
"Berkata
as-Syafie rahimahullah: Setiap hadith dari Nabi sallallahu 'alaihi
wa-sallam adalah ucapanku (ikutanku) walaupun kamu tidak pernah
mendengar dariku".[32]
"Setiap masalah yang benar datangnya dari
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam menurut ahli Naql sedangkan ia
bertentangan dengan apa yang telah aku katakan, maka aku akan kembali
merujuk pada hadith itu selama hidupku atau setelah kematianku".
"Dari
Imam Abi Hanifah, Malik, As-Syafie dan Ahmad mereka berkata: Tidak
dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan perkataan kami atau
berpegang dengan perkataan kami selagi dia tidak mengetahui dari mana
kami mengambil perkataan tersebut".[33]
BID'AH AKIDAH MENURUT IMAM AS-SYAFIE
Sebenarnya
bid'ah yang diperkatakan oleh Imam as-Syafie bukan hanya di segi
feqhiyah, tetapi merangkumi juga persoalan yang lebih besar, iaitu
bid'ah akidah yang menyentuh persoalan syirik besar dan kecil atau
tentang sah dan batalnya akidah seseorang yang mengaku sebagai seorang
mukmin. Contohnya, Imam as-Syafie menolak fahaman (akidah) firqah-firqah
bid'ah seperti Syiah, Khawarij, Qadariyah dan yang lainnya sebagaimana
yang diriwayatkan dari para ulamak as-Syafie:
1 - Sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Baihaqi sebagai qaul yang sahih dari Rabi' bin Sulaiman dari Imam as-Syafie bahawa:
'Imam as-Syafie telah melarang bersolat di belakang orang yang berfahaman (berakidah) Qadariyah".[34]
Larangan
Imam as-Syafie ini lantaran firqah Qadariyah telah bid'ah akidahnya dan
disepakati oleh para ulama salaf sebagai golongan yang sesat.
2 - Dari al-Lalakaii dari al-Muzani berkata:
"Tahukah
kamu siapakah yang termasuk dalam golongan Qadariyah? Dia adalah
orang-orang yang mengatakan bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu
sehingga sesuatu amal tersebut dikerjakan".[35]
Dan menurut al-Baihaqi lagi bahawa Imam as-Syafie telah berkata:
"Qadariyah
ialah mereka yang telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam sebagai orang-orang Majusi ummat ini".[36]
Wasiat Imam
as-Syafie ini menunjukkan bahawa beliau menentang semua golongan yang
terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Qadariyah ternyata telah
terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah.
3 - Imam Syafie berkata tentang Syiah:
"Belum
pernah aku saksikan di kalangan manapun manusia yang begitu berani
menjadi pendusta dan sebagai saksi-saksi palsu (bohong) seperti golongan
Syiah".[37]
Dari kenyataan Imam as-Syafie di atas, sudah jelas
bahawa akidah Imam as-Syafie adalah akidah yang di pegang oleh golongan
Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendasari manhaj Salaf as-Soleh. Beliau
ternyata adalah seorang ulama besar dibidang fikeh dan akidah.
TAUHID MENURUT IMAM AS-SYAFIE
Dalam
memperkatakan tauhid asma' (nama-nama Allah) was-sifat wa-zat
(sifat-sifat dan zat Allah), tauhid uluhiyah serta tauhid rububiyah,
maka Imam as-Syafie dianggap seorang Imam Besar Salafi yang menegah
(mengharamkan) takwil, takyif, tasybih dan ta'til terhadap sifat dan zat
Allah ‘Azza wa-Jalla. Sebagaimana yang dapat difahami dari riwayat Abu
Talib Al-'Usayri beliau berkata: Imam as-Syafie pernah ditanya
berkenaan sifat-sifat Allah 'Azza wa-Jalla dan beriman dengannya, beliau
(Imam as-Syafie) menerangkan:
"Allah Tabaraka wa-Ta'ala memiliki
asma' (nama-nama) dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya
(al-Quran) dan dikhabarkan oleh NabiNya sallallahu 'alaihi wa-sallam
(hadith-hadith) kepada umatnya, yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa
pun dari makhlukNya kerana telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Quran
turun membawa keterangan tentangnya. Begitu juga diriwayatkan tentangnya
dengan perawi yang thiqah (dipercayai)". [38]
Dalam menjelaskan
Tauhid Uluhiyah, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu
Muhammad az-Zubiri bahawa Imam as-Syafie berkata:
"Adapun
kewajipan yang berupa beriman kepada Allah yang berupa (kerja) hati,
ialah mengakui dan mengetahui dengan penuh keyakinan, redha dan berserah
bahawa tiada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah, tidak ada
sekutu bagiNya, tidak mempunyai isteri dan anak, dan mengakui bahawa
Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya".[39]
Apabila memperkatakan tentang tauhid rububiyah, Imam as-Syafie membawakan dalil melalui firman Allah:
“Sesungguhnya
dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti malam dan
siang........". Maka dijelaskan oleh Imam as-Syafie: "Maka jadikanlah
makhluk ciptaan Allah sebagai dalil akan adanya pencipta, janganlah
menyusahkan dirimu dengan sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh
akalmu".[40]
Antara maksud yang dapat difahami dari penjelasan
Imam as-Syafie ini bahawa beliau melarang mencabuli wahyu Allah dengan
hawa nafsu atau akal jika sesuatu persoalan yang dikhabarkan oleh wahyu
itu berupa persoalan akidah yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran
manusia.
Malangnya para pengikut yang mendakwa diri mereka
bermazhab as-Syafie mengenepikan wasiat Imam as-Syafie ini. Mereka
mengambil akal (falsafah) sebagai landasan untuk mengenal Allah, agama
dan iman. Mereka berakidah dengan akidah kaum Muktazili falsafi,
al-Maturidiyah (sifat 20) atau sufi falsafi, bukan akidah yang dianut
oleh Imam as-Syafie yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah
yang bermanhaj Salaf as-Soleh.
AKIDAH PARA ULAMA AS-SYAFI’EYAH
Di
dalam sebuah kitab berbahasa Arab yang memperkatakan akidah kalangan
ulama as-Syafie iaitu kitab (بيان الشرك ووسائله عند علماء الشافعية),
dibawakan fatwa-fatwa dari beberapa orang ulama as-Syafieyah tentang
kesyirikan dan dosa-dosa besar yang bersangkutan dengan persoalan
syirik, terutamanya yang berkaitan dengan syirik akbar (syirik besar).
Antara contoh-contoh dari fatwa tersebut:
Telah berkata Ibn Hajar
al-Haitami rahimahullah tentang kuburi (قُبُرِيٌّ). Erti dan maksud
kuburi ialah: "Orang yang suka memuliakan, mencintai atau menyembah
kubur atau juga yang berkaitan dengan pemujaan orang di dalam kubur
(orang mati)":
"Maka sesungguhnya antara perkara-perkara yang
paling besar diharamkan dan penyebab berlakunya perbuatan syirik
(menyekutukan Allah Ta’ala) ialah bersembahyang di sisi kuburan dan
menjadikannya masjid atau membina masjid (atau binaan) di atas
perkuburan".
Fatwa ulama di atas adalah berdasarkan hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
"Janganlah kamu solat menghadap ke kuburan (atau di kuburan) dan janganlah kamu duduk di atasnya".[41]
Hadith
sahih di atas ini dengan jelas melarang seseorang itu duduk di atas
kubur, sembahyang di kuburan atau di masjid yang dibina di atas kawasan
perkuburan, tetapi berapa ramaikah mereka yang mendakwa dari mereka
bermazhab Syafie melanggar wasiat Imam as-Syafie dan para ulama
as-Syafieyah? Malah ada dari kalangan mereka membina binaan di atas
kubur dan menyediakan tikar di samping kubur sambil membaca doa atau
al-Quran untuk si mati. Bukankah ini bertentangan dengan hadith sahih
dan wasiat Imam as-Syafie serta para ulama muktabar Syafieyah?.
"Dari
Abi Sa'id al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Bumi ini semuanya tempat sujud
(masjid) kecuali kuburan dan tandas".[42]
Hadith ini
dengan terang dan tegas melarang (mengharamkan) orang yang beriman dari
bersembahyang di kuburan, di dalam masjid yang dibina di atas tanah
perkuburan atau masjid yang di dalamnya terdapat kubur. Hadith ini dan
wasiat Imam as-Syafie yang berpandukan hadith ini tidak diperdulikan dan
dilanggar oleh sebahagian besar mereka yang mengakui bermazhab
as-Syafie sebagaimana yang banyak terdapat di Tanah Melayu pelanggaran
wasiat Imam as-Syafie ini. Sebagaimana juga terdapat larangannya di
dalam sebuah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
"Dari Anas radhiallahu ‘anhu: Bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang bersolat di antara kubur-kubur".[43]
Malangnya
ramai dari kalangan mereka yang mengatakan bermazhab Syafie masih
mendirikan solat di kawasan perkuburan, terutamanya di masjid-masjid
yang dibina di kawasan perkuburan, d imasjid yang ada kubur di dalamnya
dan sembahyang di bangunan kuburan yang dianggap kubur orang suci, orang
keramat atau wali Allah. Perbuatan seperti ini amat bertentangan
dengan hadith-hadith sahih, bertentangan dengan fatwa Imam Syafie
rahimahullah dan para ulama Syafieyah.
Seterusnya al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah menjelaskan:
"Dilaknat
pembuatnya (orang yang bersolat, membina masjid atau binaan di
kuburan), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan kubbah yang
dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari masjid ad-Dirar
yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari melakukan yang
demikian".
Imam an-Nawawi rahimahullah juga telah berfatwa tentang perkara yang berkiatan dengan kuburi:
"Tidak
dibolehkan bertawaf di kubur Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam,
dilarang melekatkan perut dan dada ke dinding kubur. Abu 'Ubaidillah
al-Hulaimi dan selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam
as-Syafie: Dibenci menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi".
Berkata Imam al-Bagawi rahimahullah:
"Dilarang dari meletak payung di atas kubur kerana 'Umar radhiallahu 'anhu berkata: Biarkanlah amalnya memayungkannya".
Ibn Hajar di dalam kitabnya (المنهاج) telah menjelaskan fatwa Imam as-Syafie:
"Dibenci
mengapur, membina dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis
namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang
lainnya".
Fatwa Imam as-Syafie berdasarkan hadith:
"Dari
Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam telah melarang kuburan dikapur, diduduki atasnya, didirikan
bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di atasnya".[44]
Dengan
berpandukan kepada hadith di atas, adalah haram mengecat, mengapur,
duduk di atas kubur, mendirikan bangunan, membuat batas (meninggikan
batas di sekeliling kubur) kemudian menulis ayat al-Quran, nama atau apa
sahaja di atas kubur. Malangnya terlalu ramai penganut mazhab
as-Syafie melanggar larangan ini. Mereka meletak payang di atas kubur,
menulis nama si mati di atas kuburnya, menulia ayat al-Quran (surah
al-Fatihah) membina batas di sekeliling kubur dan membina binaan jika
dianggap si mati itu orang yang dimuliakan atau keramat. Seolah-olah
hadith sahih dan fatwa Imam as-Syafie tidak ada erti bagi mereka.
Apakah orang-orang yang seperti ini dinamakan orang yang beriman?
PERBUATAN SYIRIK
Imam
as-Syafie juga telah menjelaskan perkara-perkara yang boleh membawa
kepada syirik besar dan syirik kecil yang membatalkan akidah seseorang.
Antaranya ialah menyeru, meminta perlindungan (pertolongan), sujud,
ruku', bernazar dan berkorban (menyembelih) selain untuk Allah.
Begitu
juga seseorang itu ditegah dari mempercayai bahawa selain Allah ada
yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Ditegah bersumpah dengan
selain nama Allah dan melafazkan perkataan: "Dengan kehendak Allah dan
kehendak engkau" dan percaya dengan kuasa sihir dan percaya bahawa zat
sihir atau ilmu hitam boleh memberi kesan.
FIQH AS-SYAFI’E
Ada
beberapa (malah banyak yang berlainan) berbeza antara kenyataan amalan
fikeh Imam as-Syafie dengan mereka yang mendakwa dirinya bermazhab
as-Syafie. Antara contoh-contohnya ialah:
Solat Hari Raya. Telah berkata Imam as-Syafie sebagaimana yang terdapat di dalam Kitab al-Umm:
"Telah
sampai (hadith) kepada kami bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi
wa-sallam keluar di dua Hari Raya ke musalla (tanah lapang) di Madinah,
begitu juga mereka yang sesudah baginda".[45]
Jika terdapat
keuzuran seperti hujan atau selainnya diperintahkan oleh baginda agar
bersolat di masjid dan tidak keluar ke tanah lapang".[46]
Ada kalangan yang berdegil bersolat di masjid kerana kononnya beralasan dengan perintah 'Umar:
"Wahai
manusia! Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam keluar
bersama manusa ke tanah lapang kerana tanah lapang lebih memudahkan
mereka dan lapang bagi mereka. Sesungguhnya masjid pada ketika itu
tidak dapat memuatkan mereka".
Hadith di atas telah dianggap
sebagai hadis lemah oleh Imam as-Syafie.[47] Berkata Imam Bukhari
bahawa hadth ini mungkar dan kedudukan hadith ini sangat lemah. [48]
"Sebagaimana
menjadi mazhab jumhur ulama atas afdhalnya bersolat di tanah lapang,
dan telah ditegaskan oleh Imam Syafie rahimahulla atas tentang makruhnya
bersembahyang di masjid terutama jika dalam keadaan sesak". [49]
Dari
apa yang telah dihuraikan, jelaslah bagi kita bahawa Imam as-Syafie
rahimahullah adalah seorang ulama besar yang amat berjasa kepada ummah
sejak zamannya sehinggalah sekarang. Maka sewajarnya umat yang mencintai
para ulama salaf seperti beliau, memelihara segala wasiatnya dan tidak
mengkhianatinya.
Semoga Allah sentiasa memberi limpahan rahmat kepadanya dan kepada kita sekalian dengan berkat ilmunya. Amin!
Rujukan:
[1] Lihat: الرسالة Hlm. 7 - 8. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[2] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[3] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[4] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[5] Lihat: الرسالة Hlm. 6. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[6] Lihat: الرسالة Hlm. 5. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[7] Lihat: الرسالة Hlm. 7. Tahqiq dan syarah Ahmad.
[8]
Makna taqlid ialah: (1). الرجوعُ الى قولٍ لا حجة لقائله عليه "Taqlid
ialah: kembali kepada qaul (pendapat) yang mana (orang yang memberi
pendapatnya) tidak ada hujjah di atas qaulnya". (2). التقليد هو قبولُ
قَولَ القائل وانت لا تعلم من اين قاله "Taqlid ialah: Menerima
perkataan seseorang sedangkan engkau tidak tahu dari mana (ia mengambil)
perkataannya".
[9] Lihat: جامع البيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 91. Abu 'Umar Yusuf bin Abdulbar an-Namri al-Qurtubi.
[10] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[11] Lihat: اعلام الموقعين (17) Ibn Qaiyyim al-Jauzi.
[12] Lihat: تفسير الالوسى (10/84).
[13] Lihat: الاعتصام jld. 2. Hlm. 359. As-Syatibi. Makkah al-Mukarramah.
[14] Lihat: مسائل الامام احمد Diriwayatkan oleh Abu Daud. Hlm. 277.
[15] Lihat: الاحكام فى اصول الاحكام Jld. 6. 118. Abu Ali Bin Hazam al-Andulusi az-Zahari.
[16] Lihat: هل المسلم ملزم باتباع مذهب معين من المذاهب الاربعة Hlm. 70. Muhammad Sultan al-Maksumi.
[17] Lihat: البدعة تحديدها وموقف الاسلام منها Hlm. 160. Dr. Izzat Ali 'Atiah. Darul Kitab al-Arabi. Lebnon.
[18] Lihat:الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 12. Abi Syamah as-Syafie.
[19] Lihat: الحاوي Jld. 1. Hlm. 539. as-Syuyuti. Tahqiq Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid. Terbitan at-Tijariyah.
[20]
Lihat: (1). اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 36. Abdul Qayyum bin
Muhammad bin Hashir as-Sahaibani. (2). مناقب الشافعى Jld. 1. Hlm
469. (3). الباعث على انكار البدع والحوادث Hlm. 94. Syihabuddin Abu
Muhammad Abdulrahman bin Ismail (lebih dikenali dengan laqab) Abu
Syamah.
[21] H/R Muslim.
[22] Lihat: فتاوى أئمة المسلمين Jld. 1. Hlm. 138. Mahmud Khatab as-Subki. Al Istiqamah.
[23] Lihat: اللمع فى الرد على مُحَسِّني البدع Hlm. 37. Abdul Qayyum bin Muhammad bin Nashir as-Sahaibani.
[24] Al-Maidah, 5:3.
[25]
H/R Ahmad (24840). Bukhari (2499). “Raddun (رَدٌّ) bererti bid’un
(bid’ah) sebagaimana yang dijelaskan oleh Ali Hasan dalam bukunya Usul
al-Bid’ah”.
[26] H/R Bukhari.
[27] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[28] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 38.
[29] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[30] Lihat: اللمع فى الرد على محسني البدع Hlm. 39.
[31] Lihat: المجموع Jld. 1. Hlm. 63.
[32] Lihat: سير اعلام النبلاء Jld. 10. Hlm. 34
[33]
Lihat: (1). اَلاَحْكَام فى اصول الاحام Jld. 1. Hlm. 145. Abu Ali bin
Hazam al-Andulusi. (2). جامع بيان العلم وفضله Jld. 1. Hlm. 147. Abu
'Umar Yusuf bin Abd al-Barr al-Qurtubi. (3). الفتاوى Jld. 1. Hlm.
147.
[34] Lihat: مناقب الشافعى Hld. 1. Hlm. 413.
[35]
Lihat: شرح اصول الاعتقاد اهل السنة والجماعة Jld. 2. 701. Abul Qasim
Hibatullah bin al-Husin at-Tabary al-Lalakaii. Tahqiq Ahmad Sa'ad
Hamdan. Dar Taiyibah. Riyad. Saudi Arabia.
[36] Dikeluarkan oleh Abu Daud (4691). Bab al-Qadar.
[37] Lihat: Sunnah Dan Syiah, Mungkinkah Dipertemukan? Hlm. 57. Dr. Abdullah Muhamma Gharib. Edisi pertama. Surabaya. l984.
[38] Lihat: صفة العلو Ibn Qudamah. Hlm. 124.
[39] Lihat: مناقب الشافعي Jld. 1. Hlm. 387. Al-Baihaqi.
[40] Lihat: شعار العلم النبلاء Az-Zahabi. Tahqiq Syu'aib. Muassasah ar-Risalah.
[41] H/R Muslim (3/62). Abu Daud, Ahmad, Nasaii, Turmizi dan selain mereka.
[42] H/R Abu Daud No 492. Darimi (1/322) Ibnu Majah No 745. Ahmad,Turmizi, Hakim dan Ibn Hibban.
[43] H/R al-Bazzar
[44] H/R Muslim (3/63). Abu Daud No. 3225-3226) Ahmad (3/295, 332, 339, dan 399). Diriwayatkan juga oleh Turmizi dan Hakim.
[45] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[46] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[47] Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 207.
[48]
Lihat: صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani.
Maktabah al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.
[49] Lihat:
صلاة العيدين فى المصلى هى السنة Hlm. 27. Nasruddin Al-Albani. Maktabah
al-Islami. Beirut. Cetakan Kedua. 1406H-1986M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan