Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu berita yang boleh dianggap berani oleh sebuah Mahkamah Syariah dalam sistem dwi perundangan negara kita apabila seorang hakim di Mahkamah Syariah di Kuantan dengan nada tegas telah menjatuhkan hukuman sebat 6 rotan dan sejumlah denda atau penjara terhadap seorang wanita melayu yang beragama islam yang telah didapati salah kerana minum arak ditempat terbuka di sebuah pantai peranginan di Cherating Pahang.
Dan selepas itu kita dapati isu ini diperdebat hebat oleh pemuka-pemuka negara dan para bloger yang melontarkan pelbagai komentar mereka bahkan ada yang melahirkan perasaan sedih dan dukacita serta kecewa kerana hukuman itu disifatkan sebagai keterlaluan dan kejam serta tidak berperikemanusiaan dan ada pula yang melahirkan rasa kagum dengan keberanian hakim tersebut.
Namun apabila kita perhatikan dari pelbagai sudut ilmiahnya kita dapati sebenarnya hukuman itu bukanlah satu dari bentuk hukuman yang di Syariatkan oleh Allah kepada kita dan bagi saya ia tetap sebagai hukuman ciptaan manusia dan peninggalan Penjajah Inggeris semata-mata dan tidak lebih dari itu.
Orang ramai menganggap bahawa hukuman itu adalah sebahagian dari Hukuman Islam adalah tidak benar sama sekali walaupun ia dikuatkuasakan oleh Mahkamah Syariah dan dan dinamakan sebagai Enekmen Jenayah Syariah sesebuah negeri tersebut.
Inilah akibatnya apabila kita meninggalkan dan mengabaikan perintah dari Allah SWT yang melahirkan masyarakat umumnya dan umat islam khususnya dalam negara kita ini menjadi banggang dan jahil terhadap hukum dan perintah Agama mereka sendiri.
Kita dikelirukan dengan hukuman ciptaan manusia yang disolek dengan pelbagai jenama solekan hatta di make up indah oleh Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Mahkamah-Mahkamah Syariah itu sendiri sebagai hiasan indah hasil dari solekan atau make up tersebut maka hasilnya sebahagian besar umat islam kita tertawan dengan undang-undang ini yang dilihat sebagai islamik.
Tidak benar jika kita katakan bahawa hukum yang dijatuhkan oleh hakim tersebut sebagai hukum islam kerana ia jelas berlawanan dengan nas-nas dari al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Allah SWT menegaskan dalam al-Quran ; " Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor ( najis / keji ) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." surah al-maidah ayat 90.
Dalam undang-undang jenayah syariah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, samada dia mabuk atau tidak, maka wajib dikenakan hukuman SEBAT TIDAK LEBIH DARI LAPAN PULUH KALI SEBAT ATAU TIDAK KURANG DARI EMPAT PULUH KALI SEBAT . Hukuman ini berdalilkan sebuah Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a.
" Rasulullah SAW telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat Puluh kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak Empat Puluh kali sebat, dan Saidina Umar menyebat sebanyak Lapan Puluh kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini lebih aku sukai" Riwayat Imam Muslim r.a.
Menurut perbahasan Fuqaha' tentang bilangan sebatan yang dikenakan kepada pesalah arak ini kita perhatikan ia adalah jauh dari apa yang telah di Enekmankan dalam Enekman atau Undang-Undang Jenayah Syariah dalam negara kita ini bahkan tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa undang-undang ini adalah sesat sama sekali dan inilah Bidah yang sangat besar berlaku dalam negara kita.
Saya kemukan beberpa pandangan ulama atau Fuqaha' mengenai perkara ini antaranya;
1. Imam Syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hambal berpendapat bahawa bagi mereka yang minum arak dan telah sabit kesalahanya maka WAJIB disebat sebanyak 40 kali sebat.
Dalam kes ini juga, Imam syafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hambal menyatakan bahawa : " mereka yang melakukan kesalahan minum arak dan telah sabit kesalahanya boleh juga dihukum sebanyak 80 kali sebat, jika imam ( ketua negara / negeri ) atau wakilnya seperti hakim atau kadi berpendapat bahawa penjenayah itu patut di sebat sebanyak 80 kali sebat.
Hukuman Hudud dalam hukuman ini dikenakan sebanyak 40 kali sebat dan 40 lagi selebihnya itu boleh dianggap sebagai hukuman Takzir.
2. Imam Malik dan Imam Hanafi dan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hambal pula berpendapat :
" Orang yang melakukan kesalahan minum arak dan telah sabit kesalahanya maka WAJIB dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebat".
Namun dalam membicarakan punca perbahasan ini adalah kerana, tidak didapati dalam al-Quran yang menjelaskan bilangan sebatan yang wajib dikenakan terhadap peminum arak ini dan tiada juga hadis yang menentukan bilanganya, begitu juga dala Athsar para sahabat dengan bilangan yang tertentu, malah penentuan bilangan sebatan dalam kes ini adalah merujuk kepada Ijtihad para Imam yang Mujtahid semata-mata, dan Imam Syafie menegaskan bahawa perbuatan Nabi SAW menyebat orang yang minum arak dengan 40 sebatan adalah diterima sebagai hujjah yang tidak boleh ditolak dan diketepikan dalam penentuan sumber hukum.
Imam-imam Mazhab berpendapat bahawa hukuman sebat sebanyak 80 sebatan terhadap kes ini adalah merujuk kepada dan berdasarkan riwayat Anas bin malik bahawa seorang lelaki yang telah minum arak telah dibicarakan dihadapn nabi SAW lalu baginda telah menyebatnya dengan ranting tamar lebih kurang 40 kali sebat dan Khalifah Abu bakar pun berbuat seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.
Tetapi pada zaman Khalifah Umar al-Khatab, beliau telah meminta nasihat dan pandanagn para sahabat tentang bilangan hukuman ini lalu Abdul Rahman bin Auf berkata ; " seringan-ringan hukuman adalah 80 kali sebat". Maka Khalifah Umar pun mengarahkan perlaksanaan hukuman sebat terhadap peminum arak ini adalah 80 kali sebat.
Dengan hujah dan perbuatan Khalifah Umar diatas yang telah disepakati dan dipersetujui oleh para sahabat yang lain semasa era pemerintahany maka ia dinamakan sebagai Ijma' Sahabi, dan Ijma' Sahabi ini merupakan salah satu dari sumber-sumber hukum Syara' yang menjadi pegangan mazhab-mazhab.
Dalam kes penentuan kadar bilangan sebatan yang wajib dikenakan terhadap kes ini menurut Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal sebanyak 40 kali sebatan adalah merujuk kepada Dalil Fi'li yang telah dilakukan oleh Nabi SAW seperti maksud hadis yang dinyatakan diatas.
Cara-cara melaksanakan hukuman sebat
1. Imam Maliki dan Imam Hanafi berpendapat :
Pesalah lelaki yang dikenakan hukuman sebat hendaklah ditanggalkan pakaianya kecuali pakaian yang menutup auratnya.
2. Imam Syafie dan Imam Hambali berpendapat ;
Pesalah lelaki yang dikenakan hukuman ini tidak perlu ditanggalkan pakaianya kecuali jika pesalah itu memakai pakaian yang tebal pada musim sejuk maka dalam hal ini bolehlah ditanggalkan pakaian yang tebal itu.
3. Imam malik berpendapat ;
Pesalah yang dikenakan hukuman sebat boleh dijalankan hukuman itu keatas mereka dalam keadaan duduk tanpa diikat kecuali jika susah dan payah untuk menjalankan hukuman, maka dalam hal ini bolehlah pesalah itu diikat.
Dalam kes ini kebanyakkan ulama' berpendapat ;
Sekiranya pesalah yang hendak disebat itu lelaki maka hendaklah dijalankan hukuman itu dalam keadaan berdiri tetapi jika pesalah itu perempuan maka hendaklah dijalankan hukuman itu dalam keadaan pelsalah itu duduk.
Anggota Badan Yang Boleh Disebat
Imam Malik berpendapat; anggota badan pesalah yang hendak disebat itu boleh disebat pada bahagian belakangnya sahaja, tetapi boleh juga disebat pada anggota badan yang lain.
Dalam kes ini kebanyakan Ulama' berpendapat; anggota badan pesalah yang dikenakan hukuman sebat boleh disebat pada seluruh anggota badanya kecuali pada bahagian muka, kemaluan dan kepalanya.
Dan kebanyakan Ulama' juga berpendapat bahawa pesalah itu tidak boleh disebat terus menerus pada satu anggota sahaja malah mestilah beredar sebatan pada anggota yang lain pula supaya ia tidak mendatangkan kerosakan pada atu bahagian sahaja.
Wallahualam, begitulah serba sedikit penjelasan yang dapat diberikan menurut pandangan para Fuqaha dalam kes minum arak ini dan ia jelas bertentangan dengan undang-undang yang dipraktikkan dalam sistem perundangan kita dan kita lihat gejala minum arak dikalangan umat islam kita dalam negara ini seakan sudah tidak terkawal lagi. Tumbuhnya macam cendawan kelab-kelab malam dan disco serta pub-pub di kebanyakan ibu kota terutamanya di Selangor, Penang dan Kl menjadikan tempat selamat bagi penggemar minuman arak ni bersantai dan bermabuk-mabukan.
Soalnya siapa yang berani mengambil tindakan terhadap mereka? pegawai penguatkuasa agama? polis? penguatkuasa majlis bandaran? atau siapa?
Takkan nak diharap kepada pegawai penguatkuasa DBKL atau majlis bandaran kerana lesen kelab malam atau pub-pub itu kan mereka yang luluskan. Pegawai penguatkuasa agama pula sibuk nak intip penceramah yang tiada tauliah sahaja dan khalwat sahaja namun mereka hanya bertindak hanya jika ada aduan semata-mata, takkan lah tak tau dimana kelab-kelab malam, pub-pub atau disco-disci yang melata itu berada. Di Selangor lagi hebat kilang arak pun persergam indah tidak jauh dari Bangunan Kompleks JAIS. Polis.... pun kadang-kadang kantoi dalam sebuan yang mereka sendiri buat walaupun bukan dalam ops mabuk, yang adapun hanya Polis Trafik sahaja tetapi skop mereka hanya pemandu mabuk sahaja yang dicari.
Arak juga dijual bebas tanpa sekatan, di 7Eleven pelbagai jenama arak boleh didapati yang beroperasi 24 jam untuk memudahkan penggemar arak untuk mendapatkan bekalan.
Kenapa ini semua berlaku? soalan yang wajar kita jawab sendiri. Undang-undang yang ada seumpama menuang air atas daun keladi sahaja tiada mendatang apa-apa makna kerana pemimpin-pemimpin dan ulama-ulama kita khususnya para mufti kita tidak yakin dengan hukum Allah itu boleh memberikan pencegahan kepada ummah ini. kan Allah menjelaskan dalam al-Quran ia merupakan " Nakalam minallah "; sebahagian dari pencegahan dari Allah"
Dalam hal ini sewajarnya kita bersedia untuk mempersiapkan diri dengan jawapan-jawapan yang releven apabila kita bertemu dengan Allah Rabbul Jalil kelak, mengapa tidak menjalankan hukuman yang disyariatkan kepada kita? mengapa dibiarkan perkara mungkar ini terus berlaku? mengapa terus x orang yang tidak berusaha untuk menjalankan hukuman Syariat? atau kita memang KEBAL dari ancaman API NERAKA!
WALLAHUALAM. Insyaallah Kaedah sebatan dalam Islam akan menyusul kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan