Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Selasa, 8 Jun 2010

Tanggungjawab suami - isteri....

1) PENDAHULUAN

Keluarga ialah kelompok yang paling kecil dari masyarakat. Keadaan sesebuah keluarga itu boleh mempengaruhi masyarakat sekelilingnya. Berkecai keluarga, berkecailah masyarakat dan jika aman damai dan bahagia setiap kelurga akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat itu. Demikianlah pembentukan keluarga adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih besar.

Tanggungjawab adalah amanah Allah yang telah diletakkan ke bahu manusia, manusia memikul berbagai tanggungjawab di antaranya tanggungjawab kepada keluarga dan tanggungjawab ini akan ditanya Allah sama ada telah disempurnakan atau sebaliknya. Sabda Rasulullah, maksudnya :

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab di atas jagaanya. Lelaki (suami) adalah penjaga di atas anggota keluarga rumahnya dan dia adalah bertanggungjawab di atas jagaannya itu. Perempuan (isteri) bertanggungjawab menjaga rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Bukankah setiap kamu itu penjaga dan setiap kamu adalah bertanggungjawab ke atas jagaannya.”

Apabila seseorang itu selesai diijab-kabulkan maka sama ada ia sedar atau tidak ia telah memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri.

2) TUJUAN PERKAHWINAN

1. Untuk meneruskan wujudnya keturunan manusia.

Firman Allah, maksudnya :

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri) lalu diperkembang-biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang ramai”.


2. Pemeliharaan terhadap keturunan

Dengan perkahwinan manusia dapat menentukan zuriat dan keturunannya dan mempunyai harga diri. Tanpa perkahwinan tentulah sesebuah masyarakat itu akan jadi porak peranda.

3. Menjaga masyarakat dari sifat yang tidak bermoral

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya :

“Wahai anak-anak muda! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu membendung pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah berpuasa, sebab yang demikian itu akan menahan nafsu.”

4. Menjaga ketenteraman jiwa

Firman Allah, maksudnya :

“Di antara tanda-tanda kebesaranNya, diciptakanNya bagi kamu pasangan suami isteri dari diri kamu untuk kamu merasa ketenteraman di antara satu sama lain dan dijadikannya kasih sayang dari belas kasih antara kamu, sesungguhnya dalam hal itu menjadi keterangan bagi orang yang berfikir.

5. Memberi perlindungan kepada anak yang dilahirkan

Perkahwinan menjamin keselamatan kanak-kanak. Tanpa ikatan perkahwinan seseorang boleh mengelakkan diri dari menjaga kebajikan seseorang anak. Oleh kerana itu akan lahirlah masyarakat kucar-kacir dan terbiar.

Untuk menjamin kebahagiaan di dalam sesebuah rumahtangga suami isteri hendaklah memahami tujuan perkahwinan dan juga mengetahui dengan jelas tanggungjawab masing-masing sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.

3) APA DIA KEBAHAGIAAN DAN DI MANA LETAKNYA ?

Kebahagiaan adalah suatu perkara yang abstrak yang tidak dapat dilihat oleh mata, tidak boleh diukur, ditimbang atau dibeli dengan harta, Kebahagiaan” (2); suatu keadaan yang dirasai oleh manusia di dalam dirinya, iaitu; “Ketenangan hati, kelapangan dada dan kerihatan atau keselesaan hati kecil”, ianya berpunca dari dalam hati manusia, bukan dari luar, sebagaimana berlaku satu kisah seorang suami marahkan isterinya, katanya mengugut; “Kanda akan lakukan tindakan sampai engkau menderita”, jawab isteri dengan tenang; “Kanda tidak akan dapat menjadikan saya menderita sebagaimana kanda tidak mampu membahagiakan saya”, jawab suami dengan penuh marah; “Kenapa tidak?” , kata isteri; “Kalau kebahagiaan ada pada gaji, boleh kanda potong, atau pada perhiasan boleh kanda rampas daripadaku, tetapi kebahagiaan berada di tempat yang kanda tidak terdaya menguasainya dan semua manusia tidak berjaya”, tanya suami dengan penuh hairan; “Apa dia?” Jawab isteri dengan penuh yakin; “Saya dapati kebahagiaan saya terletak pada iman saya dan iman saya berada dalam hati saya dan hati saya tidak siapa dapat menguasainya kecuali Tuhan saya”.

Ya, itulah kebahagiaan yang sebenarnya yang tidak seorang dapat memberi dan merampaskannya. Kebahagiaan menjadi syurga impian oleh setiap individu tak kira kaya atau miskin, raja atau rakyat, pendak kata tidak ada seorang pun di dunia ini yang inginkan kecelakaan untuk dirinya. Ianya tidak terletak pada harta atau pangkat tetapi pada hati.

Tetapi walau bagaimanapun kadar harga yang tertentu adalah diperlukan untuk melaksanakan kebahagiaan hidup, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya :

“Empat perkara yang membawa kebahagiaan, isteri yang baik, rumahtangga yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa”

4) TANGGUNGJAWAB SUAMI TERHADAP ISTERI

Suami adalah merupakan ketua yang akan memimpin dan mencorakkan sesebuah rumahtangga. Sikap suami mempunyai pengaruh yang akan besar terhadap suasana yang mesra, aman dan damai atau sebaliknya. Oleh itu, suami mestilah menjadi seorang yang benar-benar matang fikirannya, tahu tugas dan tanggungjawabnya, serta bersifat jujur dalam memimpin dan mengetahui rumahtangga yang baru dibina itu. Untuk melahirkan sebuah perkongsian hidup yang benar-benar bahagia maka Allah SWT sendiri menggariskan beberapa kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isteri, antaranya ialah :

i. Wajib atas suami memberi mas kahwin kepada bakal isterinya. Firman Allah SWT maksudnya : “Berikanlah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang wajib”.

ii. Memberi nafkah zahir dan batin, nafkah zahir termasuklah :

a. Tempat tinggal / tempat kediaman bersama (suami dan isteri) iaitu rumah yang selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.

b. Keperluan hidup iaitu makanan, pakaian dan peralatan yang munasabah dan selayaknya menurut kemampuan suami, sabda Rasulullah SAW maksudnya :

“Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”

iii. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT, maksudnya:

“Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”

iv. Hendaklah berlaku adil sekiranya suami itu mempunyai isteri lebih dari satu.

v. Suami berkewajipan menahan diri dari menyakiti, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudharatkan isteri tanpa sebarang sebab.

vi. Menjadi kewajipan suami untuk memberi keizinan kepada isterinya untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya)

Demikianlah di antara kewajipan suami terhadap isteri, di samping itu sebagai yang kita maklum bahawa Allah menjadikan perempuan itu sebagai teman hidup yang paling rapat, hendaklah diberi layanan-layanan yang istimewa seperti berikut :

1. Suami hendaklah sentiasa bertimbang rasa, menunjukkan kasih-sayang terhadap isteri, bercakap dengan lemah lembut dan mesra, selalu bermuka manis dan janganlah bermuka masam atau sebagai singa yang garang terhadap mangsanya. Adalah menyedihkan setengah orang-orang jahil menyangka bahawa bersifat garang dan keras terhadap isteri itu adalah menunjukkan kelakiannya, dan ia menyangka berlemah-lembut terhadap isterinya adalah satu sifat yang hina dan memalukan, tetapi sebenarnya bersifat kasar adalah membawa isteri menjadi durhaka, sebaliknya bersifat lemah-lembut menyebabkan isteri kasih dan menghormatinya. Sanda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Orang yang paling baik antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya, dan aku ialah orang yang sangat berlaku baik terhadap isteriku.”

2. Hendaklah suami memberi kelapangan perbelanjaan rumahtangga keperluan hidup yang selayaknya mengikut kemampuan yang sewajarnya. Jika suami terlalu bakhil terhadap rumahtangga maka diharuskan isteri mengambil sekadar yang diperlukan dari harta suaminya walaupn tanpa izinnya, sebagaimana Rasulullah sendiri memberi kebenaran tersebut kepada isteri Abu Sufian apabila ia mengadu kepada Rasulullah tentang kebakhilan Abu Sufian.

3. Hendaklah suami menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya dan menggembirakan seperti apabila ia sakit, diberi rawatan perubatan yang secukupnya.

4. Pandu dan bimbinglah isteri dengan nasihat yang baik dan berilah contoh akhlak yang terpuji dan ajaran yang lemah lembut, Rasulullah sendiri menghuraikan hakikat ini dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya wanita itu adalah tulang rusuk (bengkok), sekiranya engkau mahu membetulkannya ia akan patah dan jika engkau membiarkannya, engkau akan menikmatinya dalam keadaan bengkok.”

5. Berilah isteri haknya sebagai isteri bukan sebagai orang suruhan (hamba) atau sebagai babu, dan bukan sebagai boneka yang semata-mata untuk memenuhi nafsu kaum lelaki sahaja.

6. Hendaklah bersikap terus terang dengan isteri dan jangan sekali-kali mendustainya, kerana jika isteri didustai dia akan mendustai suaminya pula.

7. Sebagai suami (ketua keluarga) jangan memperturutkan sahaja apa kehendak isteri sehingga sampai merendahkan harga diri (mengikut di bawah telunjuknya sahaja, istilah sekarang “queen control”.

8. Dibolehkan suami memukul isteri untuk mendidik bukan untuk balas dendam. Dalam hal ini tidak memaki hamunnya apabila hendak memberi pengajaran kepada isteri dalam bentuk yang sopan atau pulaukannya (tinggalkan tempat tidur dan tidak tidur bersama-samanya).

Seandainya dapat dilaksanakan tanggungjawab yang sedemikian tentu Insya Allah suami dapat membawa rumahtangga ke arah kehormanian dan kebahagiaan.

5) TANGGUNGJAWAB ISTERI TERHADAP SUAMI

Kalau suami mempunyai hak dan kewajipan terhadap isterinya, maka isteri juga mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya. Sesungguhnya tugas seorang isteri terhadap suaminya adalah sangat penting dan mesti dipatuhi sehingga pernah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Jikalau sekiranya ada perintah dari Allah SWT untuk menyuruh manusia sujud kepada manusia nescaya aku suruh isteri sujud kepada suaminya.”

(Hadis Riwayat At-Turmizi)

Antara tugas isteri ialah :

1. Jujur dan taat setia kepada suaminya dalam sebarang hal dan pekerjaan yang tidak berlawanan dengan hukum Islam.

2. Menyampaikan hajat suami kepadanya, iaitu perkara-perkara yang dibolehkan oleh Islam termasuk perkara yang mengenai hubungan kelamin, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.

“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur sedangkan isterinya menolak (tanpa uzur) sehinggalah suami itu tidur dalam keadaan marah dan kesal, malaikat akan melaknatkannya (isteri) hingga ke subuh.”

(Hadis Riwayat Abdul Rahman Bin ‘Auf)

3. Isteri mestilah berkelakuan sopan terhadap suaminya, wajib menjauhkan kata-kata yang menunjukkan kedurhakaan atau menyakitkan hati suami seperti memaki, mengomil (berleter) atau kata-kata yang tidak disukai oleh agama atau adat.

4. Janganlah memberati atau memaksa suami dalam soal nafkah seperti pakaian, wang ringgit dan tempat tinggal yang lebih dari ukuran yang wajib baginya kerana ia akan mendorong suaminya ke lembah curang seperti rasuah, curi, rompak dan sebagainya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Perempuan yang datang kepada suaminya dengan muka masam dan mengomil meminta belanka (lebih) atau mengadakannya maka tidaklah diterima Allah amalan perempuan seperti itu.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abi Hurairah)

5. Minta keizinian suami apabila hendak keluar dari rumah walaupun untuk menziarahi keluarga, ibu-bapa atau kerana menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Perempuan-perempuan yang keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya adalah ia di dalam kemurkaan SWT sehinggalah ia balik ke rumahnya atas suaminya redha akan dia.”

6. Hendaklah memelihara harta benda dan rumahtangga supaya bersih, rapi dan kemas serta isteri tidak boleh memberikan sesuatu harta benda suaminya kepada orang lain tanpa izinnya.

7. Segera meminta maaf apabila terlanjur mendurhaka kepada suami sepertimana yang dipraktikkan oleh Fatimah puteri Rasulullah SAW menurut sepotong hadis yang bermaksud:

Fatimah telah datang berjumpa ayahandanya Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dan mukanya berubah tanda penyesalan lalu bertanya Rasulullah SAW: “Kenapa wahai anakku, Fatimah?” Fatimah menjawab, “Ayahanda, kelmarin anakanda dengan Ali telah berseloroh (bergurau) sehingga terbit kata-kata anakanda yang menyebabkan Ali marah anakanda, anakanda menyesal kerana sebab mulut anakanda itu Ali menjadi marah, lantas anakanda meminta maaf darinya dan mengeliling dia sebanyak tujuh puluh dua kali sehinggalah ia memaafkan dan Ali pun tertawa serta redha”. Sabda Rasulullah kepada Fatimah,”Demi diriku yang telah diangkat oleh Allah sebagai Nabi, sesungguhnya engkau sekiranya meninggal dunia sebelum Ali redha atas kesalahan itu takkan ku sembahyang jenazah engkau”.

8. Jikalau suami tidak berharta dan isteri dari anak orang kaya janganlah isteri menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan harta yang diberikan bapanya sambil mengecilkan pemberian dari suaminya, serta berkata,”Apalah yang awak boleh berikan kepadaku dan tengok ini, itu dan sebagainya semuanya bapa berikan kepadaku”, isteri yang bersikap demikian terhadap suaminya. Pernah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Allah akan menghapuskan amalan perempuan itu sekalipun banyak amalan kebajikannya.”

9. Hendaklah isteri memakai pakaian yang cantik dan bersih di hadapan suaminya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Perempuan-perempuan yang menghias diri kepada yang bukan suami atau muhrimnya adalah seperti lampu yang tidak bercahaya di akhirat kelak.”

10. Isteri wajib memelihara perasaan dan peraturan suaminya, isteri tidak boleh membenarkan masuk seorang lelaki atau perempuan yang tidak disukai ke dalam rumah. Jika isteri hendak berpuasa sunat ketika suaminya berada di rumah hendaklah meminta izin suami terlebih dahulu dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

11. Isteri hendaklah sentiasa memberi layanan baik kepada suaminya. Allah memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepadanya sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis-hadisnya antara lain bermaksud :

a) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

b) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

c) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

d) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

e) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

f) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

g) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

h) “Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.

(Hadis Riwayat Anas Bin Malik)

Demikianlah hak dan tanggungjawab isteri terhadap suami dan rumahtangga serta ganjaran pahala dari Allah SWT kepada seorang isteri yang solehah. Apabila suami dan isteri melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing maka lahirlah rahmat dan kasih sayang yang akan menghasilkan kebahagiaan bersama seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT di dalam firmanNya, maksudnya:

“Dan di antara keterangan tanda-tanda Allah bahawa ia menjadikan isteri dari kamu untuk kamu tinggal bersama dalam keadaan kasih sayang, cinta mencintai serta mendapat kerahmatan, sesungguhnya tentang yang demikian itu adalah tanda kebesaran Allah SWT bagi kamu yang mahu berfikir.”

Apabila tanggungjawab masing-masing dapat dilaksanakan maka di sana ada pula tanggungjawab bersama yang mesti diawasi dengan rapi yang juga merupakan factor-faktor penting dalam mewujudkan rumahtangga bahagia, antara lain:

i) Anak-anak yang didapati hasil dari perkongsian hidup suami isteri hendaklah diberi pendidikan yang sempurna sama ada dari segi rohani, jasmani dan akalnya atau dalam erti kata yang lain ditanam dalam dirinya iman dan takwa menjalani hidup di dunia ini.

ii) Hendaklah masing-masing menghormati orang tua kedua belah pihak sekiranya mereka masih hidup.

iii) Hormati dan berbaik-baik dengan jiran tetangga kerana sekiranya suasana di dalam rumah penuh harmoni tetapi dengan jiran bermusuh, kebahagiaan tidak juga terlaksana dengan sempurna. Sebab itu baginda Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa antara syarat kebahagiaan seseorang anak Adam ialah jiran yang soleh (baik).

6) BAGAIMANA MEMASUKKAN RAHMAT KE DALAM RUMAHTANGGA

Di samping suami isteri merupakan factor utama dalam melahirkan rumahtangga bahagia, (adalah suatu hakikat yang tidak boleh dilupa bahawa Allah sahaja yang berkuasa penuh sama ada mahu memberi kebahagiaan atau tidak). Maka Allah SWT juga memberi panduan melalui RasulNya. Apakah perkara-perkara yang patut diamalkan agar saluran rahmat sentiasa menuju ke rumah kita, antara lain:

1. Hidupkan salam antara ahli keluarga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Wahai Anas, ucapkanlah salam kepada ahli rumah engkau nescaya dan ahli rumah engkau mendapat berkat.”

2. Banyakkan membaca Al-Quran dalam rumah. Kata Abu Hurairah RA : Sesungguhnya rumah yang sentiasa dibaca ayat-ayat Al-Quran di dalamnya, memberi kelapangan kepada ahlinya, banyak berkatnya dan ianya dikunjungi oleh para malaikat dan keluar darinya syaitan-syaitan dan sesungguhnya rumah yang tidak dibaca Al-Quran di dalamnya membuat kesempitan kepada penghuninya, sedikit berkatanya, keluar darinya oleh para malaikat dan masuk ke dalamnya oleh para syaitan.

3. Banyak sembahyang sunat di rumah, sebab itu Rasulullah SAW apabila hendak sembahyang sunat baginda pulang dan bersembahyang sunat di sudut rumahnya, kerana katanya Malaikat Rahmat akan memasuki rumah yang banyak dilakukan ibadat di dalamnya.

4. Hiasi rumah dengan benda-benda yang halal dan bersihkan dari perhiasan haram kerana rumah yang dihiasi dengan benda-benda haram seperti patung-patung, gambar-gambar lucah dan sebagainya tidak akan dimasuki Malaikat, sedangkan Malaikat pembawa rahmat, rumah yang tidak dimasuki Malaikat ertinya tidak mendapat rahmat dari Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya:

“Malaikat tidak akan memasuki rumah-rumah yang di dalamnya ada anjing dan patung-patung”.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Makkah apabila melihat gambar-gambar tergantung di rumah baginda tidak masuk sehingga baginda perintah supaya dihapuskan terlebih dahulu. Ini adalah menunjukkan gambar-gambar lucah adalah dibenci oleh Islam.

Demikian di antara perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh para suami dan isteri untuk membentuk sebuah rumahtangga yang aman dan bahagia.

Demikian di antara perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh para suami dan isteri untuk membentuk sebuah rumahtangga yang aman dan bahagia.

Sekian, Wabillahitaufiq wasallamu’alaikum wr.wb.

Wallahua’lam

Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com

Tiada ulasan: