بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمَنِ
الرَّحِيْمِ
اِنَّ
الْحَمْدَ للهِ
، نَحْمَدُهُ
وَنَسْتِعِيْنُهُ
وَنَسْتَغْفِرُهُ
، وَنَعُوْذُ
بِاللهِ مِنْ
سُرُوْرِ اَنْفُسِنَا
وَمِنْ سَيِّئَاتِ
اَعْمَالِنَا
، مَنْ يَهْدِهِ
اللهُ فَلاَ
مُضِلَّ لَهُ
، وَمَنْ يُضْلِلْ
فَلاَ هَادِيَ
لَهُ ، وَاَشْهَدُ
اَنْ لاَ اِلَهَ
اِلاَّ اللهُ
وَحْدَهُ لاَ
شَرِيْكَ لَهُ
، وَاَشْهَدُ
اَنَّ مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
. أمَّا
بَعْده:
Baru-baru ini penulis telah diminta agar memberi penjelasan kepada umat
Islam Perlis tentang bahayanya fahaman Syiah terhadap akidah Islamiyah.
Isu ini disuarakan kerana terdapatnya beberapa orang aktivis Syiah
yang cuba menyebarkan fahaman Syiah di Negeri Perlis.
Oleh kerana fahaman Syiah ini benar-benar sesat, menyesatkan dan
boleh memecah-belahkan umat Islam, maka dengan ‘inayah Allah penulis dengan
rasa tanggungjawab dan hati yang ikhlas insya-Allah akan berusaha sedaya
mungkin bekerjasama dengan para ulama dan masyarakat Islam untuk sama-sama
menyekat dan membenteras fahaman sesat ini supaya tidak tersebar di kalangan
umat Islam yang berakidah Ahli Sunnah wal-Jamaah walau di mana saja mereka
berada.
Agar
hakikat kesesatan akidah Syiah dapat diketahui dan difahami oleh masyarakat
Islam Ahli Sunnah wal-Jamaah, maka penulis menyiapkan kertas kerja tentang
penyelewengan dan bahayanya fahaman serta akidah Syiah.
Kertas kerja yang ringkas ini akan dibentangkan sebagai siri kulliah
akidah terutamanya di beberapa masjid di sekitar Perlis, Pulau Pinang
dan Selangor insya-Allah.
Semoga
Allah membantu kita sekalian menghapuskan fahaman yang sesat ini dari
terus merebak dan sentiasa
memelihara akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, kedaulatan agama, negara, kerajaan,
masyarakat dan perpaduan Ummah Islamiyah. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Definisi
(شِيْعَة)
Syiah Dan
Tasyayyu' (تَشَيُّع)
Dari segi etimologis (bahasa), Syiah bererti "Para Pengikut, Penyokong,
Pendukung atau Pembela".
Contohnya: Syiah Ali,
bermaksud satu kelompok yang berupa "Penyokong, pendokong atau
pembela Ali". Menurut
Terminologi (istilah) syara, Syiah bermaksud "Sesiapa yang mengangkat
kepimpinan Ali radiallahu 'anhu dan anak-anaknya".
Dan apabila disebut si Fulan itu Syiah maka dia menganut atau berfahaman
Syiah.
Tasyayyu'
(التشيع) pula menurut keterangan Syeikh al-Mufid ialah[1]:
التشيع
لغة : هوالاتباع
على وجه التدين
والولاء للمتبوع
علىالاخلاص.
"Tasyayyu'
menurut etimologi adalah sikap mengikut yang didasari agama dan mengangkat
orang yang diikuti dengan ikhlas".[2]
Pada
zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman kalimah syiah
dalam erti faktual suatu kelompok atau fahaman belum wujud dan belum terbentuk.
Tetapi kelompok ini lahir ketika terjadinya pertikaian dan peperangan
antara Syiah (penyokong) Ali dan Syiah Muawiyah.
Hanya kelompok Syiah di waktu itu kesemua mereka berfahaman Ahli
Sunnah wal-Jamaah.
Abdullah
Bin Saba' (Si Munafik)
Abdulah bin Saba' adalah seorang pendita Yahudi dari Yaman.
Berpura-pura masuk Islam (secara nifak) di zaman Khalifah 'Uthman
bin Affan radiallahu 'anhu.
Dialah pereka ajaran Syiah yang ekstrem yang menjadi punca bersemaraknya
perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam terutama dalam kelompok Syiah
itu sendiri. Abdullah bin
Saba' pernah berkata yang ditujukan kepada Khalifah Ali radiallahu
'anhu: "Engkaulah
Allah".[3] Maka Ali mengisytiharkan bunuh terhadap Abdullah bin Saba'
tetapi ditegah oleh Ibn Abbas. Penyokong
Ali membuangnya ke Madain (Ibu Negeri Iran lama).
Abdullah
bin Saba' orang pertama mengkafirkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman dan
tidak mengiktiraf kekhalifahan kecuali hanya dari kalangan Ahli Bait".[4] Seorang ulama Syiah Muhammad Husin al-Zain pernah memperkatakan
tentang Abdullah bin Saba':
"Abdullah
bin Saba' mengeluarkan qaul (yang sesat), mengajarkan fahaman yang ghalu
(keterlaluan)..... dan perbuatannya sangat melampaui batas".[5]
Saad bin Abdullah al-Qumy seorang ulama, pemimpin serta ahli hukum
Syiah yang lahir pada 229H mengakui wujudnya Abdullah bin Saba'.
Beliau menyebut beberapa nama orang yang berkonspirasi yang digelar
sebagai Saba'iyah. Menurut
beliau lagi bahawa komplot Saba'iyah adalah firqah pertama dalam Islam
yang mengeluarkan perkatan-perkataan yang ghalu (keterlaluan).
Saad
bin Abdullah al-Qumy ulama besar Syiah yang masyhur ini telah memastikan
bahawa Abdullah bin Saba' adalah orang yang mengeluarkan perkataan dan
menampakkan dirinya mengecam dan menentang Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman
radiallahu anhum serta tidak mengiktiraf kekhalifahan mereka.[6]
Pegangan
Syiah Imamiyah yang ada sekarang adalah berasaskan ideologi dan doktrin
sesat Abdullah bin Saba'. Fahaman ini disampaikan (dipelihara) dalam bentuk
riwayat hadis yang dinasabkan kepada keluarga Nabi (Ahli Bait) dengan
penuh kebohongan tetapi diterima oleh mereka yang jahil.[7]
Syiah
Mengkafirkan Para Sahabat
Agama Syiah mengkafirkan para pembesar sahabat secara umum.
Pengkafiran ini boleh dilihat dalam kitab-kitab besar Syiah yang
ditulis oleh ulama mereka, contohnya ialah wasiat para ulama mereka:
1.
Abu Ja'far berkata:
"Semua manusia (kaum muslimin Ahli Sunnah wal-Jamaah) menjadi Ahli
Jahiliyah (kafir/murtad setelah kewafatan Rasulullah) kecuali empat orang,
Ali, Miqdad, Salman dan Abu Dzar".[8]
2.
Al-Kulaini[9]
mensifatkan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman telah terkeluar dari kalangan
orang yang beriman (murtad/kafir) lantaran tidak melantik Ali sebagai
khalifah setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam wafat.[10] Malah al-Kulaini mengkafirkan seluruh penduduk Mekkah dan Madinah.
Menurut Kulaini:
"Penduduk Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah
dan penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah dengan terang-terang".[11]
Al-Kulaini juga menetapkan dalam kitabnya al-Kafi:
"Sesiapa
yang tidak beriman kepada Imam Dua Belas maka dia adalah kafir walaupun
dia keturunan Ali atau Fatimah".[12]
3.
Al-Majlisi seorang
ulama besar Syiah menegaskan:
“Bahawa
mereka (Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman) adalah pencuri yang khianat dan
murtad, keluar dari agama, semoga Allah melaknat mereka dan semua orang
yang mengikut mereka dalam kejahatan mereka, sama ada orang dahulu atau
orang-orang kemudian".[13]
Budak
Ali bin Husin berkata:
"Saya
pernah bertanya kepada Ali bin Husin tentang Abu Bakar dan 'Umar.
Maka dia menjawab: Keduanya kafir dan sesiapa yang mencintainya juga kafir".[14]
4.
Abu Basir (ulama Syiah) menegaskan:
"Sesungguhnya
penduduk Mekkah telah kufur kepada Allah secara terang-terang dan penduduk
Madinah lebih buruk dari penduduk Mekkah, lebih buruk tujuh puluh kali
dari penduduk Mekkah".[15]
Demikianlah
kenyataan, fatwa, kepercayaan, pandangan dan tuduhan jahat para ulama
Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah sama ada terhadap ulama atau orang
awamnya.
Al-Quran
Menurut Syiah
Menurut kepercayaan penganut Syiah al-Quran yang ada sekarang sudah diubah-suai,
ditambah dan dikurangi oleh para sahabat dan tidak asli.
Al-Quran yang asli berada di tangan Ali yang kemudian diwariskan
kepada putera-puteranya. Menurut
Syiah lagi bahawa pada masa sekarang ini al-Quran yang asli berada di
tangan Imam Mahadi al-Muntazar.
Al-Kusyi
pula berkata:
"Tidak
sedikitpun isi kandungan di dalam al-Quran (yang digunakan oleh Ahli Sunnah
wal-Jamaah sekarang, Pent.)
yang boleh kita jadikan pegangan".[16]
Menurut para ulama Syiah:
“Seseorang
itu akan dianggap kafir dan masuk neraka kerana tidak mengikut Imam Dua
Belas Syiah atau kafir terhadap Syiah”.
Syiah
banyak merubah ayat-ayat al-Quran dan tafsirannya. Contohnya ayat:
مَاسَلَكَكُمْ
فِى سَقَرٍ
"Mengapa
kamu masuk neraka?"
(Menurut
penafsiran ulama Syiah):
قَالُوْا
لَمْ نَكُ مِنَ
الْمُصَلِّيْن
"Orang-orang
kafir menjawab, Kami tidak solat".
Ulama Syiah merubah tafsirannya yang sebenarnya kepada maksud dan
tafsiran:
"Kami (masuk neraka kerana) tidak mengikut Imam (Syiah)".[17]
Begitulah kekarutan, khurafat dan batilnya kepercayaan penganut
syiah yang telah disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai
akidah yang sesat lagi menyesatkan.
Hadis Menurut Syiah
Syiah
menolak hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh muhaddis Ahli Sunnah
wal Jamaah, seperti Imam Bukhari, Muslim, Turmizi dan yang lainnya.
Syiah hanya menerima hadis yang diriwayatkan oleh perawi Ahli Bait.
Menurut Syiah hadis bukan semata-mata dari Nabi tetapi dari Imam
Dua Belas yang maksum. Nilai
perkataan imam yang maksum senilai dengan wahyu dan sabda nabi.[18]
Syiah
Mengkafirkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
1.
Syiah menggelar golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagai Nasibi(نَاصِبِي)
"Penipu, Pembangkang atau penentang Ali bin Abi
Talib"
kerana mereka mendahulukan Abu Bakar, 'Umar dan 'Uthman sebagai khalifah.
Begitu juga ulama Syiah mengkafirkan pengikut mazhab Syafie, Hambali,
Maliki dan Hanafi kerana mereka digolongkan sebagai an-Nasibi.
Menurut ulama Syiah lagi:
"Dalam
kalangan ulama (Ahli Sunnah) dari Malik, Abi Hanifah, Syafie, Ahmad dan
Bukhari semua mereka kafir dan terlaknat".[19]
Keyakinan Syiah yang sesat ini diambil dari keterangan ulama mereka
Syeikh Husin al-'Usfur ad-Darazi al-Bahrani.
Beliau menegaskan:
"Riwayat-riwayat
para imam menyebutkan bahawa an-Nasibi (si Kafir) adalah mereka yang digelar
Ahli Sunnah wal-Jamaah".[20]
2.
Syiah menganggap seluruh Ahli Sunnah wal-Jamaah kafir yang setara
dengan orang-orang kafir musyrikin dan najis.
Berkata Abu Qasim al-Musawi al-Khuri (ulama besar Syiah):
"Najis ada sepuluh jenis, yang ke sepuluh adalah orang
kafir, iaitu yang tidak beragama atau yang beragama bukan Islam atau beragama
Islam menolak yang datang dari Islam.
Dalam hal ini tidak ada perbezaan antara murtad, kafir asli, kafir
zimmi, Khawarij yang ghalu atau an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah)".[21]
Berkata Ruhullah al-Musawi (ulama Syiah):
"Sesungguhnya an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah) dan Khawarij
dilaknati Allah Subhanahu wa-Ta'ala.
Keduanya adalah najis tanpa diragukan lagi".[22]
3.
Syiah mengkafirkan Ahli Sunnah kerana tidak mengiktiraf (tidak
mengimani) Imam Dua Belas. Berkata
Yusuf al-Bahrani (ulama Syiah):
"Tidak ada perbezaan antara orang yang kafir kepada Allah
Subhanahu wa-Ta'ala, RasulNya dan yang kafir kepada para Imam Dua Belas".[23]
Dan berkata Kamil Sulaiman (ulama Syiah):
"Sesiapa yang meyakini para Imam Dua Belas maka dia adalah
orang yang beriman dan sesiapa yang mengingkarinya dia adalah kafir".[24]
Syiah
menghalalkan darah dan harta Ahli Sunnah.
Berkata Muhammad bin Ali Babawaihi al-Qummi, dia meriwayatkan dari
Daud bin Farqad:
"Aku bertanya kepada Abu Abdullah 'alaihis salam:
Bagaimana pendapat engkau membunuh an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah)?
Dia menjawab: Halal darahnya akan tetapi lebih selamat bila engkau sanggup
menimpakan dengan tembok atau menenggelamkan (mati lemas) ke dalam air
supaya tidak ada buktinya. Aku
bertanya lagi: Bagaimana
dengan hartanya? Dia menjawab: Rampas sahaja semampu mungkin".[25]
Berkata Abu Ja'far ath-Thusi (ulama Syiah):
"Berkata Abu Abdullah 'alaihis salam (Imam as-Sadiq):
Ambillah harta an-Nasibi (Ahli Sunnah wal-Jamaah) dari jalan apapun
kamu mendapatkannya dan berikan kepada kami seperlima".[26]
Yusuf al-Bahrani berkata (ulama Syiah):
"Dari dahulu sehinggalah sekarang, bahawa an-Nasibi kafir
dan najis secara hukum, dibolehkan mengambil segala harta benda mereka
bahkan dihalalkan membunuhnya".[27]
Begitulah
sikap golongan Syiah terhadap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mereka gelar
sebagai an-Nasibi. Mereka bukan sahaja memusuhi Ahli Sunnah malah mengistiharkan
bunuh dan rampas harta benda Ahli Sunnah wal-Jamaah. Dan rampasan tersebut dianggap oleh mereka sebagai ganimah
(harta rampasan perang).
Agama
Syiah Mewajibkan Taqiyah
Taqiyah
(dissimulation) adalah satu prinsip yang diyakini oleh syiah Imamiyah.
Berpegang kepada taqiyah adalah wajib bagi setiap penganut Syiah. Ianya adalah satu sikap yang menyembunyikan kebenaran yang
(kononnya) jika didedahkan akan membawa kemusnahan diri atau agama seseorang
Syiah.[28] Pada mulanya taqiyah dilakukan kerana takut terjadinya penindasan
dari pihak pemerintah. Tetapi
selanjutnya diamalkan untuk menipu, berbohong dan seterusnya untuk menghalalkan
sesuatu yang haram atau sebaliknya.
Orang-orang
Syiah akan menyamar sebagai Ahli Sunnah secara taqiyyah untuk memerangkap
Ahli Sunnah yang kurang faham akan agama mereka.
Tujuannya supaya dapat dirosakkan fahaman, akidah dan amal ibadahnya.
Abu
Ja'far berkata:
"Taqiyah
adalah agamaku dan agama nenek moyangku.
Dan tidak beragama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyah".[29]
Abdullah
berkata:
"Wahai
Abu 'Umar! Sesungguhnya sembilan
persepuluh dari agama terletak pada taqiyyah, tidak beragama bagi sesiapa
yang tidak bertaqiyyah pada segala sesuatu, kecuali arak dan menyapu sepatu".[30]
Diriwayatkan
dari Ali bin Muhammad:
"Wahai
Daud! Sekiranya kamu mengatakan
bahawa orang yang meninggalkan taqiyah sama seperti orang yang meninggalkan
solat, maka sesungguhnya betullah kata-katamu itu".[31]
Sebenarnya taqiyyah dalam agama Syiah adalah perbuatan
nifak, pembuat nifak adalah seorang munafik.
Tidak ada hadis sahih yang menghalalkan taqiyah sebagaimana yang
dilakukan oleh golongan Syiah. Si
Munafik pula dilaknat Allah dan ditempat di neraka yang paling bawah (kerak
neraka), maka Ahli Sunnah wal-Jamaah diharamkan dari bertaqiyah.
Syariat
Syiah Yang Menyesatkan
Syariat Syiah yang sebenar amat bertentangan dengan syariat Ahli
Sunnah wal-Jamaah. Syiah digolongkan oleh Imam Syahrastani di dalam bukunya “Al-Milal
Wan-Nihal” dan al-Bagdadi dalam bukunya “Al-Faraq Bain al-Firaq” segabai
golongan 72 yang ke neraka, kerana penganut Syiah selain mengkafirkan
Amirul Mukminin Abu Bakar, ‘Umar al-Khatab, Uthman radiallahu anhum
dan para sahabat yang lain, mereka juga lebih meyakini syariat Daud 'alaihis
salam daripada syariat
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.
Abu Ja'far berkata:
"Apabila
Imam ghaib (Imam Mahdi) datang, ia akan memerintah dengan hukum syariat
Daud (bukan syariat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, pent)".[32]
Nikah
Mut'ah
Syiah
menghalalkan nikah mut'ah seberapa banyak, beberapa kali yang diinginkan
dan yang semampu. Mereka
menghalalkan nikah mut'ah sehingga ke Hari Kiamat.
Sebaliknya Ahli Sunnah wal-Jamaah telah mengharamkan nikah mut'ah
sehinggalah ke Hari Kiamat. Antara hadis (hadis-hadis sahih) dari Nabi Muhammad sallallahu
'alaihi wa-sallam yang mengharamkan nikah mut’ah ialah:
عَنْ
عَلِيِّ اَنَّ
النَّبِيَّ
صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
نَهَى عَنْ نِكَاحِ
الْمُتْعَةِ
يَوْمَ خَيْبَرَ
وَعَنْ لُحُوْمِ
الْحُمُرِ اْلاَهْلِيَّةِ.
"Dari
Ali (Bin Abi Talib): Sesungguhnya
Nabi Sallallahu 'alaihi wa-sallam telah melarang nikah mut'ah pada hari
peperangan Khaibar dan baginda mengharamkan makan daging keldai kampung".[33]
اَنَّ
رَسُوْلُ اللهِ
صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
نَهَى يَوْمِ
الْفَتْحِ عَنْ
مُتْعَةِ النِّسَاءِ.
"Sesungguhnya
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang nikah mut'ah pada hari
futuh (pembukaan) Mekkah".[34]
Antara
tanda-tanda penganut agama Syiah ialah menghalalkan nikah mut’ah walaupun
telah diharamkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
Golongan Syiah telah menyelewengkan hadis-hadis sahih yang mengharamkan
mut’ah. Oleh itu, orang-orang
beriman yang mengakui sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah perlu membenteras
fahaman dan ajaran Syiah kerana Syiah adalah golongan yang sesat lagi
menyesatkan.
RUKUN
IMAN AGAMA SYIAH
Rukun iman Agama Syiah berbeza dengan rukum iman Ahli Sunnah wal-Jamaah,
kerana rukun iman Syiah hanya lima perkara, iaitu:
1.
Beriman kepada keEsaan Allah
-
(التوحيد)
2.
Beriman kepada Keadilan
-
(العدل)
3.
Beriman kepada Kenabian
-
(النبوة)
4.
Beriman kepada Imam
-
(الامانة)
5.
Beriman kepada Hari Kiamat
-
(المعاه)
Imam Malik secara terang-terangan telah mengkafirkan golongan Syiah kerana
golongan ini membenci para sahabat Nabi dan sesiapa yang membenci sahabat
Nabi adalah kafir. Hal ini
telah disepakati oleh sebahagian besar ulama.[35]
Imam
Malik rahimahullah juga pernah menjelaskan tentang Syiah:
"Mereka
(Syiah) jangan diajak berbual dan jangan pula diberi perhatian, mereka
adalah golongan pembohong".[36]
Imam
Syafie rahimahullah pula berwasiat:
"Belum pernah aku saksikan di kalangan manapun manusia yang begitu
berani menjadi pendusta dan sebagai saksi-saksi palsu seperti golongan
Syiah".[37]
Begitulah fatwa-fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap
golongan Syiah. Tidak terdapat
seorangpun dari kalangan mereka yang menerima Syiah sama ada fahaman atau
akidah mereka. Oleh itu,
berwaspadalah terhadap gerakan, doktrin dan di’ayah Siyah, kerana pada
hakikatnya mereka adalah pembohong yang hanya mengajak kepada kesesatan,
pecah-belah dan kehancuran umat Islam.
Wallahua’lam. Walhamdulillahi rabbil ‘alamin.
[1].
Syeikh al-Mufid adalah
seorang ulama Syiah abad (414 H/ 1022M).
[2].
Lihat: Awaailul
Maqalat. hlm. 2. Syeikh
al-Mufid.
[3].
Lihat: Rijal al-Kusyi.
Hlm. 106-108. (Kitab ini "Rijal al-Kusyi") adalah
kitab tertua menjadi rujukan dan pegangan golongan Syiah.
[4].
Lihat: Usul Mazhabi
asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithna 'Asyariah.
(1/74).
[5].
Lihat: الشيعة
فى التاريخ
Hlm. 213. Muhammad
Husin al-Zain.
[6].
Lihat: Usul Mazhabi
asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithna 'Asariyah. (1/74).
[7].
Lihat: Usul Mazhabi
asy-Syiah al-Imamiyah al-Ithan 'Asariyah. (1/77).
[8]. Lihat:
Tafsir as-Safi. (1/389).
[9]. Al-Kulaini,
nama penuhnya Muhammad bin Yakub al-Kulaini. Meninggal dunia pada
328H
[10]. Lihat:
Usul al-Kafi. (1/488).
[11]. Ibid.
(2/409).
[12]. Lihat:
Al-Kafi. (1/372-374).
[13]. Lihat:
بحار
الانوار.
(4/385). Muhammad Baqir al-Majlisi
[14]. Ibid.
(2/216).
[15]. Ibid.
(2/410).
[16]. Lihat:
As-Safi. (1/33).
[17]. Lihat:
Usul Kafi. (1/438).
[18].
Keyakinan bahawa para imam maksum menjadikan semua perkataan yang
keluar dari mereka adalah sahih.
Maka tidak diperlukan menyandarkan sanadnya kepada Rasulullah
s.a.w sebagaimana di kalangan Ahlu Sunnah wal-Jamaah.
Lihat: Tarikh
al-Imamiyah. Hlm. 140. Abdullah
Faiyad.
[19]. Lihat:
Asy-Syiah wa as-Sunnah.
Hlm. 7.
Ihsan Ilahi Zahiri.
[20]. Lihat:
Al-Masail al-Khurasaniyah. Hlm. 147.
[21]. Lihat:
Manhaj Shalihin. (1/116).
[22]. Lihat:
Tahrirul al-Wasilah. (1/116).
Cetakan Beirut.
[23]. Lihat:
Al-Hadiq an-Nadirah. (28/153).
Cetakan Beirut.
[24] Lihat:
Kitabul Khalash Fi Zilli al-Qaimmul Mahdi. Hlm. 44.
Cetakan Beirut, Lebnon.
[25]. Lihat:
'Ilal asy-Syar'i. Hlm.
44. Cetakan Beirut.
[26]. Lihat:
Tahzibul Ahkam. (1V/122)
Cetakan Tehran.
[27]. Lihat:
Al-Hadiq an-Nadirah Fi Ahkam al-Atraf at-Tahirah.
(X11/323-324).
[28]. Lihat:
Al-Qummi, terjemahan Asaf .A Fyze.
Hlm. 71.
[29]. Lihat:
Usul Min Kafi. (2/219).
[30]. Ibid.
[31]. Lihat:
Wasail asy-Syiah (X1/466).
Cetakan Tehran.
[32]. Lihat:
Tarikh Ma Ba'da Zuhur.
Hlm. 728. Cetakan
Beirut.
[33]. H/R
Bukhari (5/78 dan 6/129).
Muslim (9/189-190).
[34]. H/R
Muslim. (4/133).
[35]. Lihat:
Sunnah dan Syiah, Mungkinkah Dipertemukan? Hlm. 57. Dr. Abdullah
Muhammad Gharib. Edisi
pertama, Surabaya. 1984.
[36]. Ibid.
Hlm. 57.
[37]. Ibid.
hlm. 57.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan