Daripada Abu Abdirrahman, Abdullah bin Umar Al Khattab, dia berkata:
Aku mendengar Rasulullah saw berkata: “Islam dibangunkan di atas lima
asas: (1) Persaksian bahawa tidak ada Ilah yang berhak disembah / diibadahi
dengan benar, melainkan hanya Allah Ta’ala dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad saw adalah utusan Allah, (2)
mendirikan solat, (3) menunaikan zakat, (4) haji ke Baitullah dan (5) berpuasa
di bulan Ramadhan”.
(Hadis riwayat Al Bukhari no. 8, Muslim no. 16)
Takhrij Hadis
Hadis ini direkodkan oleh Imam Al Bukhari dan Imam Muslim daripada Ikrimah
bin Khalid dari Abdullah bin Umar daripada Rasulullah saw. Status hadis ini adalah shahih.
Rukun Islam
Dari hadis ini ditetapkan rukun Islam, iaitu syarat seseorang diiktiraf
keislamannya. Seseorang dikatakan Islam secara zahir apabila dia melakukan lima
perkara ini:
(1)
Mengucapkan syahadah dengan lidah
(2)
Mendirikan solat lima waktu sehari semalam
(3)
Menunaikan zakat yang diwajibkan
(4)
Berhaji di Baitullah
(5)
Berpuasa di Bulan Ramadhan
Apabila seseorang telah melakukan kesemua perkara ini maka dia
dikatakan sebagai Muslim, sama ada dia melakukan secara tulus ikhlas atau
pura-pura atau terpaksa. Sedangkan urusan hati setiap manusia adalah milik
Allah Ta’ala dan kita sebagai manusia hanya menghukum manusia lain secara
lahiriah sahaja.
Seseorang yang ingin memeluk Islam perlu mengucapkan dua persaksian
(syahadatain) iaitu menetapkan bahawa sesembahan hanya hak milik mutlak Allah
Ta’ala dan bahawa Nabi Muhammad saw itu adalah utusan dari Allah Ta’ala.
Sementara seorang yang telah lahir daripada sebuah keluarga Islam,
mereka tidak perlu mengucapkan shadahatian ini kerana secara fitrahnya dia
telah menjadi Muslim lantaran ayah dan ibunya seorang Muslim. Tetapi mereka akan mengucapkan syahadatain
ini ketika mendirikan solat setiap hari.
Kalimah syahadah merupakan asas kepada empat rukun yang lain, ia ibarat
tiang seri yang menampung seluruh tiang yang lain. Maknanya diterima seluruh
amal manusia dengan syarat dia mestilah bersyahadah terlebih dahulu, iaitu
mengakui tauhid Ibadah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw.
Tentang solat pula, para ulama’ berselisih tentang hukum orang yang
meninggalkan solat secara sengaja. Jumhur (kebanyakan ulama) menetapkan bahawa
orang tersebut berdosa besar sementara Imam Al Mubarak, Imam Ahmad dan beberapa
imam yang lain seperti Ibnu Ishaq dan Al Marwazi menetapkan hukum kafir. Ayyub
As Sakhtiyani berkata: “Meninggalkan solat adalah kafir tanpa ada perdebatan di
dalamnya” (riwayat Ibnu Rajab dalam Jamiul Ulum wal Hikam)
Mungkin pandangan yang lebih menghampiri kebenaran berada di kalangan
jumhur dalam bab ini, walaupun sebenarnya jumhur ulama’ bukanlah penentu kepada kebenaran.
Seorang yang telah mengucapkan syahadatain dan bersolat, dan dia
memiliki lebihan harta maka dia perlu untuk mengeluarkan harta tersebut untuk
masyarakatnya. Lebihan harta yang wajib diberikan kepada masyarakat disebut
sebagai zakat.
Jenis harta yang dikenakan zakat adalah:
(1)
Haiwan peliharaan iaitu unta, lembu dan kambing
sahaja
(2)
Perhiasan Emas dan perak sahaja
(3)
Wang simpanan sama ada wang emas / perak atau
not kertas seperti zaman sekarang
(4)
Kurma, kismis, gandum, barli dan padi sahaja
(5)
Zakat Rikaz iaitu harta karun yang dijumpai
(6)
Bahan galian yang dilombong seperti timah, besi
dan selainnya
(7)
Zakat Fitrah berupa makanan ruji untuk Aidil
Fitri
Selain daripada tujuh harta diatas, tidak diwajibkan zakat kepada
setiap Muslim, melainkan jika dia ingin mengeluarkannya sebagai sedekah.
Perbahasan tentang tahap jumlah harta yang perlu dizakat dan nilai zakat
terhadap harta-harta tersebut amat panjang maka ia memerlukan sebuah
perbincangan khusus.
Zakat adalah sebuah mekanisma untuk menstabilkan sosio ekonomi umat
Islam dan sebagai tanggungjawab golongan kaya keatas golongan miskin. Oleh
sebab itu, setiap umat Islam haruslah bercita-cita untuk menjadi kaya sehingga
mampu mengeluarkan zakat. Telah dicatit bahawa Rasulullah saw dan para
sahabatnya merupakan para jutawan. Begitu juga dengan para ulama silam, dimana mereka
adalah orang yang memiliki harta yang banyak dan sering bersedekah.
Dengan harta yang banyak ini juga, mereka mampu untuk menunaikan haji
di Baitullah. Setiap Muslim perlu menanam niat untuk menunaikan haji dan
berusaha mengumpulkan wang dengan cara menabung. Tidak boleh pula berhutang
untuk menunaikan haji seperti ada dilakukan oleh sesetengah orang.
Dalam masalah turutan iaitu apakah haji dahulu atau puasa maka para
ulama’ berselisih. Jumhur menetapkan bahawa puasa didahulukan daripada haji.
Menurut Imam an Nawawi dalam syarahnya terhadap hadis ini, dia berkata:
“Demikianlah, dalam riwayat ini, haji disebutkan lebih dahulu dari puasa. Hal
ini sekadar tertib dalam menyebutkan, bukan dalam hal hukumnya, kerana puasa
Ramadhan diwajibkan sebelum kewajiban haji. Dalam riwayat lain disebutkan puasa
lebih dahulu daripada haji”. (Syarah Muslim)
Terakhir adalah berpuasa sebulan di dalam Ramadhan, bermula dari terbit
fajar sehingga terbenam matahari. Umat Islam yang berpuasa dilarang untuk makan
dan minum serta melakukan hubungan intim antara suami isteri, sehinggalah
mereka dibenarkan untuk berbuka tatkala tiba waktu magrib.
Dalam masalah rukun Islam ini, wujud perbahasan tentang seseorang yang
tidak melaksanakan salah satu daripada rukun tersebut; apakah dia dikatakan
kafir atau tetap dianggap Muslim dengan syarat telah bersyahadah?
Makna Laa Ilaaha Illallaah
Makna dari kalimat “laa
ilaaha illallaah” adalah “laa
ma’buda bi haqqin ilallaah” (tidak ada ilah (sesembahan) yang berhak diibadahi
dengan benar kecuali Allah Ta'ala. Ini membawa makna bahawa segala sesuatu
tidak boleh diibadahi walaupun ia adalah malaikat dan nabi serta orang soleh.
Mereka semua ini tidak layak untuk diberi pengibadahan, melainkan hanya milik
mutlak Allah Ta’ala. Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak
(pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang
demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang
zhalim” (Yunus : 106)
Pentafsiran Yang Salah Terhadap
Kalimah Laa Ilaaha Illallaah
Ada beberapa penafsiran yang salah tentang makna kalimat ‘laa ilaaha
illallaah’ seperti di bawah:
- Menafsirkan kalimat “laa
ilaaha illallaah” dengan “laa ma’bud
illallaah” (tidak ada yang diibadahi kecuali semuanya Allah) yang membawa makna
bahawa segala yang disembah itu adalah Allah. Ini membawa kepada faham sesat
Wahdatul wujud yang jelas dikafirkan oleh para ulama’ Islam. Tafsiran ini
menunjukkan bahawa ketika seorang menyembah batu, maka sebenarnya dia sedang
beribadah kepada Alllah melalui ‘wasilah’ atau ‘perantaraan’ iaitu batu. Begitu
juga ketika seseorang sedang sujud kepada matahari, dia hanyalah menggunakan
makhluk tuhan yang tidak pernah berbuat salah - iaitu matahari – untuk menyampaikan
hajatnya kepada Allah.
- Menafsirkan kalimat “laa ilaaha illallaah” dengan “laa
khaliq illallaah”
(tidak ada pencipta kecuali Allah); padahal makna ilah bukanlah dimaksudkan
dengan khaliq iaitu pencipta. Sedangkan seluruh manusia telah mengetahui bahawa
Allah adalah pencipta mereka, tetapi mereka mempersekutukan Allah dalam
menyembah. Contohya masyarakat sekeliling kita yang beragama Nasrani, mereka
mengetahui bahawa Tuhan Bapa yang menciptakan mereka namun mereka berdoa dan
memohon serta berlindung kepada Tuhan Anak.
- Menafsirkan kalimat “laa ilaaha illallaah” dengan “laa hakimiyyah illallaah” (tidak ada hak untuk menghukumi
kecuali hanya bagi Allah) yang banyak dilaungkan oleh jamaah Islam. Pentafsiran
ini disebut sebagai Tauhid Hakimiyyah. Para ulama’ Ahlus Sunnah telah membantah
jenis pemahaman ini kerana ia diciptakan oleh Kaum Khawarij yang membunuh Ali
ra dan memberontak kepada para Khalifah sesudah Khalifah Ar Ryasyidin seperti
Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan. Apabila kita menetapkan bahawa segala ibadah
hanya perlu disembahkan kepada Allah maka termasuklah secara sekaligus
keyakinan bahawa Allah telah menetapkan segala hukum atas manusia. Justeru Tauhid Hakimiyah telah tercakup dalam
Tauhid Ibadah. Sementara mengeluarkan Tauhid Hakimiyah dari Tauhid Ibadah akan
menyebabkan fungsi penyembahan akan hilang. Maknanya apabila seseorang itu
beriman bahawa dia hanya wajib berdoa kepada Allah maka dia sebenarnya telah
mengimani bahawa segala hukum adalah milik Allah, sementara seorang yang
mengakui segala hukum adalah milik Allah belum tentu dia akan menyembah Allah.
Rukun Kalimah Syahadah
Jika diperhatikan seluruh rukun Islam yang lain seperti solat, haji,
zakat dan puasa; memiliki rukun dan syarat sah. Maka begitu pula dengan kalimah
Syahadatain, juga memiliki syarat dan rukun. Kalimah Laa Ilaaha Illallaah
memiliki dua rukun iaitu:
(1)
Nafi
(mengingkari). Iiaitu mengingkari (menafikan) semua yang disembah selain
Allah
(2)
Isbat (menetapkan). Iaitu menetapkan ibadah
hanya kepada Allah Ta'ala saja.
Sementara itu kalimah Muhammad Rasulullah memiliki rukun seperti di
bawah:
(3)
Mentaati apa yang Baginda perintahkan
(4)
Membenarkan apa yang Baginda sampaikan
(5)
Meninggalkan apa yang Baginda larangkan
(6)
Beribadah kepada Allah dengan apa yang telah
Baginda tunjukkan
Syarat Diterima Kalimah Syahadah
Kalimah syahadah ini hanya boleh diterima dengan tujuh syarat iaitu:
(1)
Ilmu (memiliki pengetahuan tentang kalimah ini)
(2)
Yakin (meyakinin dengan sepenuh hati terhadap
kalimah ini)
(3)
Qabul (menerima tanpa paksa terhadap tuntutan
kalimah ini)
(4)
Inqiyad (menyerah diri dan patuh kepada segala
tuntutan kalimah ini)
(5)
Sidiq (membenarkan kalimah ini tanpa penafian
atau kemunafikan)
(6)
Ikhlas (mengucapkan kalimah ini dengan penuh
ikhlas bagi mengharapkan kebenaran)
(7)
Mahabbah (mencintai untuk mengucapkan kalimah
ini dan mencintai tuntutannya dan orang lain yang mengucapkannya)
Pembatal Keislaman
Ada 10 pembatal Keislaman yang dinukilkan oleh Imam Muhammad At Tamimi
dalam kitabnya Nawaqidul Islam iaitu:
- Mempersekutukan Allah dalam ibadah
- Menjadikan sesuatu sebagai perantara
antara dia dengan Allah dalam ibadah seperti orang soleh, para wali,
malaikat serta para nabi. Dia berdoa kepada mereka, meminta syafa’at
kepada mereka serta bertawakkal (berserah diri) kepada mereka
- Tidak menganggap kafir orang musyrik, atau
ragu dengan kekafiran mereka, atau menganggap ajaran mereka bagus atau
menganggap bahawa agama mereka juga benar
- Berkeyakinan bahawa tuntunan selain
tuntunan Nabi Muhammad saw lebih
sempurna, atau berkeyakinan bahawa hukum selain dari beliau lebih baik
- Membenci sesuatu yang telah ditetapkan
oleh Rasulullah saw
- Memperolok–olok sesuatu dari ajaran
Rasulullah saw, atau memperolok – olok pahala mahupun siksaan yang telah
menjadi ketetapan agama Allah
- Sihir dan bomoh serta beriman kepada
ajarannya
- Membantu dan menolong orang musyrik untuk
memusuhi kaum muslimin
- Berkeyakinan bahawa sebahagian manusia
diperbolehkan tidak mengikuti syari’at Nabi Muhammad saw
- Berpaling dari agama Allah iaitu murtad
Syeikh Bin Baz menjelaskan keselupuh perkara ini walaupun dilakukan
secara main-main, tetap akan jatuh dalam kekufuran:
“Dalam hal- hal yang membatalkan keislaman ini , tidak ada perbezaan
hukum antara yang main-main, yang sungguh- sungguh ( yang sengaja melanggar )
ataupun yang takut, kecuali orang yang di paksa. Semua itu merupakan hal- hal
yang paling berbahaya dan paling sering terjadi. Maka setiap muslim hendaknya
menghindari dan takut darinya. Kita berlindung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
dari hal- hal yang mendatangkan kemurkaan Nya dan kepedihan siksaanNya. Semoga
selawat dan salam dilimpahkan kepada makhluk Nya yang terbaik, para keluarga
dan para sahabat beliau” (lihat Nawaqidul Islam)
Syirik Dan Jenis-Jenisnya
Syirik adalah mempersekutukan Allah Ta’ala. Boleh dipecahkan kepada dua
iaitu syirik Akhbar yang mengeluarkan seseorang dari Islam dan Syirik Asghar
yang dikatakan sebagai ‘Kufrun Duuna Kufrin’ (Kekufuran di bawah Kekufuran
Besar), iaitu syirik yang masih tidak mengeluarkan seseorang dari Islam namun
ia tetap dosa besar.
Syirik Akhbar dapat dikelompokkan kepada empat jenis iaitu:
- Syirik Doa, seperti memohon pertolongan,
perlindungan, atau menggunakan perantaraan dengan makhluk Allah dalam
berdoa kepada Allah.
- Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan. Iaitu
dia melakukan sesuatu ibadah, lalu meniatkan secara mutlak kepada selain
Allah.
- Syirik Ketaatan iaitu mentaati para alim
agama di dalam melakukan sesuatu hal yang terlarang seperti yang dilakukan
oleh kaum Nasrani ketika mereka mentaati para rahib mereka. Golongan yang
menjadikan para alim dan
rahib-rahib mereka sebagai tuhan itu -dengan cara mentaati mereka di dalam
menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang
dihalalkan oleh Allah- terbahagi menjadi dua golongan iaitu (1)jika mereka
menyakini tindakan alim agama yang mengharamkan hal yang halal dan
menghalalkan yang haram dalam mereka sedar itu bertentangan dengan syariat
Allah maka mereka kafir dan (2) jika keyakinan mereka terhadap hukum asal
sebagaiman di dalam syariat Allah tidak berubah, cuma mereka mentaati
pemimpin agama mereka di dalam derhaka kepada Allah seperti seorang Islam
yang melakukan maksiat akan tetapi dia menyakini bahawa apa yang dia
lakukan ialah maksiat maka dia berdosa.
- Syirik Cinta iaitu orang yang menyembah
tandingan tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka
mencintai Allah sementara orang yang beriman sangat cinta kepada Allah
sahaja.
Tidak Berhukum Dengan Syariat
Allah
Allah Ta’ala berfirman :
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah,
maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maaidah : 44)
Hari ini, malah zaman ini, telah banyak fenomena pengkafiran berlaku
kepada para pemerintah yang tidak menegakkan Hudud, berdalil dengan firman
Allah diatas. Namun mereka sebenarnya lupa atau tidak mengetahui bahawa para
sahabat memahami ayat tersebut tidak seperti yang mereka fahami.
Ibnu ‘Abbas ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Sesungguhnya ia
bukanlah kekufuran sebagaimana yang mereka (Khawarij) maksudkan. Ia bukanlah
kekufuran yang mengeluarkan dari agama (murtad). ‘Barangsiapa yang tidak
memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah
orang-orang yang kafir’; yaitu kekufuran di bawah kekufuran (kufrun duuna
kufrin)”. (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, Said bin Manshuur, Ahmad, Al Marwazi,
Ibnu Abi Haatim, Ibnu ‘Abdil Barr, Al-Haakim, shahih)
Oleh sebab itu, seseorang yang tidak menjalankan hidupnya berasaskan
syariat Allah, perlu diketahui alasan pelanggaran mereka, sama ada kerana
terpaksa, atau nafsu atau sengaja. Hal ini telah lama dijelaskan oleh para
ulama Ahlus Sunnah zaman berzaman.
Imam Ibnu ‘Abdil Barr Al
Andalusi berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa kecurangan dalam hukum
termasuk dosa besar bagi yang sengaja berbuat demikian dalam keadaan mengetahui
akan hal itu. Diriwayatkan atsar-atsar yang banyak dari salaf tentang perkara
ini. Allah Ta’ala berfirman : (Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa
yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir) ,
(orang-orang yang zalim), dan (orang-orang yang fasiq) ; ayat ini turun kepada
Ahli Kitab. Hudzaifah dan Ibnu ’Abbas telah berkata : “Ayat ini juga umum
berlaku bagi kita”. Mereka berkata :
“Bukan kekafiran yang mengeluarkan dari agama apabila seseorang dari
umat ini (kaum muslimin) melakukan hal tersebut hingga ia kafir kepada Allah,
malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan hari akhir.
Diriwayatkan makna ini oleh sejumlah ulama ahli tafsir, diantaranya : Ibnu
’Abbas, Thawus, dan ’Atha’” (lihat
At-Tamhiid)
Kemudian Imam berkata lagi: “Dan sungguh telah sesat sekelompok ahlul
bida’ dari Khawarij dan Mu’tazillah dalam bab ini. Mereka berhujjah dengan
atsar-atsar ini dan yang semisal dengannya untuk mengkafirkan orang-orang yang
berbuat dosa. Mereka juga berhujjah dengan ayat-ayat Kitabullah tidak
sebagaimana zahirnya seperti firman Allah ’azza wa jalla: ”Barangsiapa yang
tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah
orang-orang yang kafir” (lihat At-Tamhiid)
Begitu juga dihuraikan oleh Imam Ibnul Jauzi dalam menilai seseorang
yang tidak menegakkan hukum Allah:
“Bahawa barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan
Allah dalam keadaan mengingkari akan kewajiban (berhukum) dengannya padahal dia
mengetahui bahawa Allah-lah yang menurunkannya – seperti orang Yahudi – maka
orang ini kafir. Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang
diturunkan Allah kerana condong pada hawa nafsunya - tanpa adanya pengingkaran
– maka dia itu zalim dan fasiq. Dan telah diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalhah
dari Ibnu ‘Abbas bahawa dia berkata: ‘Barangsiapa yang mengingkari apa-apa yang
diturunkan Allah maka dia kafir. Dan barangsiapa yang masih mengikrarkannya
tapi tidak berhukum dengannya, maka dia itu zalim dan fasiq" (lihat
Zaadul-Masiir)
Umum perlu ketahui bahawa Hukum Allah itu terlalu banyak meliputi
pelbagai hal dan cabang. Hukum yang paling agung dan besar sehingga menjadi
asas kepada seseorang adalah Hukum Aqidah. Sementara Hukum Hudud adalah sebuah
hukum yang terakhir dilaksanakan setelah segala hukum aqidah dan prasarana
untuk menegakkan Hudud telah terlaksana. Hudud adalah kemuncak hukum, ia ibarat
puncak kepada sebuah pyramid dimana segala sisi dan bahagian telah siap dibina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan