Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Isnin, 27 Oktober 2008

PAHALA MEMAKMURKAN MASJID

Kehidupan didunia ini penuh dengan cubaan dan cabaran. Manusia dilingkungi oleh suratan takdir Allah. Manusia bakal menempuh kehidupan senang dan malang. Walau bagaimanapun kemasnya takdir Allah terhadap seseorang namun ia masih lagi boleh dirubah dengan usaha dan doa serta taqarrub kepadanya secara berterusan.

Manakala tempat taqarrub ( mendekatkan diri kepada Allah ) tidak ada yang lebih baik daripada rumah-rumah Allah seumpama rumahnya sendiri. Rasulullah saw bersabda dalam sebuah hadis Qudsi riwayat Attabroni : “rumah-rumahku ( Allah ) dipersada bumiku ini adalah masjid. Para pelawat kehormatKu pula adalah para pengimarahnya. Bertuahlah para hamba yang membersihkan diri dirumahnya kemudian ia datang menziarahi Aku dirumahKu. Sesungguhnya menjadi tanggungjawab tuan rumah yang dikunjungi untuk memuliakan tetamunya”

Abu Darda’ pula meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda “ masjid adalah rumah untuk manusia bertaqwa. Allah menjamin bagi orang yang menjadikan masjid rumahnya dengan semangat, limpahan rahmat dan kemudahan menyeberang titian Siratul Mustaqim disamping mudah mendapat keredhaan Allah dan masuk syurga”

Pahala mendirikan masjid

Membina masjid adalah suatu amal soleh yang sangat besar pahalanya. Ganjaranya sangat lumayan diakhirat kelak dan banyak hadis-hadis yang menegaskan perkara tersebut.

Walaupun membina masjid sesuatu yang dituntut, namun pembinaanya mestilah atas landasan Taqwa. Masjid bukan didirikan untuk mengukuhkan kebatilan atau aliran fahaman dan politik kepartian yang salah. Masjid hendaklah didirikan untuk mendaulatkan serta menobatkan ajaran islam yang syumul dan menyeluruh.

Allah swt dalam surah At-Taubah ayat 108-109 berfirman :


108. jangan Engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya Masjid (Qubaa' Yang Engkau bina Wahai Muhammad), Yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya Engkau sembahyang padanya. di Dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki Yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang Yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
109. maka Adakah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang Yang membangunkan Masjid Yang didirikannya di tepi jurang Yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia Dengan Yang membangunkannya ke Dalam api neraka? dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang zalim.



Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Uthman bin Affan pernah mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “ barangsiapa yang membangunkan masjid kerana Allah ( baqir berkata : saya menyangka beliau berkata dengan mengharap wajah Allah ), maka Allah akan membangunkan untuknya bangunan seperti itu disyurga”

Sabda Rasulullah saw lagi “ sesiapa yang membina masjid kerana Allah, walau sebesar sarang burung merpati atau lebih kecil daripada itu, nescaya Allah binakan untuknya sebuah rumah (khas) disurga”

Pahala menerangi masjid

Masjid yang bercahaya, terang benderang menarik minat jemaah untuk hadir. Oleh itu melengkapkan masjid dengan lampu dan sumber cahaya sangatlah berpahala.

Anas r.a meriwayatkan hadis berikut ; “ sesiapa yang menyalakan sebuah lampu dimasjid maka para malaikat termasuk Malaikat pemikul Arsh akan akan memohon Istigfar untuknya selama mana lampu itu bercahaya didalamnya”

Galakkan mengharumkan masjid dengan aroma dan wangian

Saidatina Aisyah meriwayatkan Rasulullah saw bersabda “ bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar dibina disetiap kampong masjid-masjid dan hendaklah masjid-masjid itu dibersihkan dan disebarkan wangi-wangian didalamnya”.

Ibnu Majjah pula meriwayatkan ada tambahan “ dan binakan dihadapan pintunya tempat bersuci ( berwudu’ ) serta semerbakkanlah didalamnya dengan wangian ( asap kayu gaharu dan sebagainya ) setiap jemaah.( hari keraian )




Pahala memakmurkan masjid

Usaha memakmurkan masjid menurut Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam kitabnya Tafsir Al-Munir menyatakan bahawa usaha mengimarahkan masjid terbahagi kepada dua cara iaitu:

Pertama : mengimarahan masjid secara fizikal iaitu bermaksud membina dan menegakkan asas binaanya dengan usaha menambahbaik struktur bangunan dan memasang kelengkapan asas yang selayaknya seperti masjid dan yang

Kedua : mengimarahkanya secara spiritual iaitu dengan menunaikan solat fardhu didalamnya, berzikir, iktikaf, ziarah termasuk zikir itu ialah menjadikan masjid itu sebagai medan menuntut ilmu serta menjaga masjid supaya tidak tercemar dengan aktiviti-aktiviti yang mencemarkan kesucianya.

Rasulullah saw bersabda : para pengimarah masjid-masjid adalah keluarga Allah” baginda menegaskan lagi ;” jika kalian temui orang yang kerap menghadirkan diri ke masjid maka bersaksilah bahawa dia sesungguhya orang yang beriman”.

Allah berfirman :

“ sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah golongan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat”

Orang yang menziarahi masjid berada dalam perlindungan dan rahmat dari Allah selagi mana ia tetap duduk dan menjaga adab-adabnya disamping menghadapkan hatinya kepada Allah semata-mata.

Tiada ulasan: