by mashoori     in Akidah Rafidah
OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
 Kepimpinan Ulama menjadi satu isu panas  di meja politik negara baru-baru ini berikutan sesetengah golongan dalam  PAS mahukan golongan Ulama sahaja yang memegang jawatan tertinggi  parti.
 Kepimpinan Ulama tidak pernah muncul  dalam dunia Islam sehinggalah datangnya Syaitan Akbar, Khomeini,  pemimpin Revolusi Iran dan Pope Syiah pertama dalam Republik Syaitan  Iran. Khomeini dalam bukunya (di antara kitab-kitab yang terkufur dalam  alam ini) al-Hukumah al-Islamiah (dibaca al-Hukumah al-Iblisiah) telah  melontorkan idea Wilayatul Faqih atau Kepimpinan Ulama bagi menggantikan  pemerintahan Monarki Syah Iran.
 Antara bukti yang jelas bahawa Ulama bukanlah syarat untuk menjadi seorang pemimpin adalah firman Allah Taala:
 أَلَمْ  تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى إِذْ  قَالُوا لِنَبِيٍّ لَهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ  اللَّهِ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا  تُقَاتِلُوا قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ  وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِنْ دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا فَلَمَّا كُتِبَ  عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ وَاللَّهُ  عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (246) وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ  قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ  الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ  سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ  بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ  يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (247)
 Maksudnya: “tidakkah engkau  ketahui (Wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail  sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi  mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang  (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab:  “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan  berperang?,” mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang  pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami,  dan (dari) anak-anak kami?” maka apabila perang itu diwajibkan atas  mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil  dari mereka. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan orang-orang yang  zalim. dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah  telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: “Bagaimana  dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan  kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan  harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah  memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya  kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”.  dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada  sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan  pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”. [al-Baqarah: 246-247].
 Jelas dalam ayat ini, walaupun Bani  Israel selepas kewafatan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s mempunyai Nabi  yang menjaga mereka dalam urusan agama dan memberikan mereka fatwa  dalam ‘Nawazil’ (Perkara Baharu yang tidak dinyatakan secara jelas dalam  nas) namun Allah Taala telah melantik Talut seorang lelaki miskin  sebagai Raja kepada Bani Israel untuk memimpin mereka berjihad. Jika  seorang Nabi pun tidak menjadi syarat untuk menjadi pemimpin apatah lagi  seorang ulama yang tidaklah maksum daripada kesalahan dan dosa.
 Tidak dinafikan terdapat dalam kalangan  Rasul dan Nabi yang menjadi raja, namun perlu difahami bahawa sifat  kenabian seorang Nabi atau kerasulan seorang Rasul bukanlah suatu  kedudukan yang membolehkannya memonopoli jawatan kepimpinan untuk  dirinya.
 Dalam Siasah Islam, seorang pemimpin  disyaratkan mempunyai pengetahuan dalam perkara hukum hakam syarak yang  berkaitan namun tidaklah bermakna dia semestinya seorang pakar dalam  bidang syarak sehingga mencapai tahap mujtahid, bahkan cukuplah sekadar  dia mengetahui halal dan haram dan wajib atasnya melantik penasihat  dalam urusan yang tidak dipakarinya.
 Dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman:
 وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً  فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا  فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ  لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
 Maksudnya: “dan tidaklah  (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi  berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap  puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari  secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka  dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu  kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari  melakukan larangan Allah).” [al-Taubah: 122].
 Dalam ayat ini menjelaskan bahawa tugas  utama seorang ‘Faqih’ adalah menyebarkan ilmu dan memberi nasihat kepada  kaum mereka bukanlah semestinya mereka merebut jawatan kepimpinan untuk  diri mereka semata-mata.
 Demikian juga telah berlalu dalam kurun  yang panjang kita menyaksikan tidak ada Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah  yang mendakwa mereka lebih berhak menjadi Khalifah daripada selain  mereka, bahkan Imam Ahmad bin Hanbal langsung tidak mendakwa kepimpinan  al-Makmun sebagai tidak sah walaupun al-Makmun bukan sekadar tidak Faqih  bahkan seorang yang rosak akidah kerana bidaah. Tidak ada dalam  kalangan Imam Mazhab yang empat mahupun selain mereka yang mendakwa  bahawa Wilayah Ammah (Kepimpinan Am) merupakan hak mereka.
 Oleh itu, telah menjadi Ijmak bahawa  Faqih bukanlah seorang yang boleh memonopoli jawatan Kepimpinan Am  semata-mata atas tiket dia seorang Faqih atau Alim atau Tok Guru atau  Mursyid atau Tok Lebai atau Tok Haji dan sebagainya.
 Sejarah Akidah Wilayatul Faqih:
 Akidah Wilayatul Faqih berkait rapat  dengan akidah Syiah Imamiah bahawa Pemimpin itu hendaklah seorang yang  maksum yakni terpelihara daripada dosa atau menurut takrif Syiah sendiri  seorang yang mempunyai kekuatan akal untuk mengawal dirinya daripada  melakukan perkara-perkara maksiat walaupun pada dirinya ada kemampuan  untuk melakukannya.
 Mereka telah meletakkan hak Imamah  (kepimpinan) itu kepada 12 orang Imam menurut sangkaan mereka bermula  daripada Saidina Ali r.a dan berakhir dengan Muhammad bin Hasan  al-Askari iaitulah Imam Mahdi yang ditunggu yang menurut mereka  menghilangkan diri dan akan muncul semula. Al-Mahdi Syiah ini berbeza  360 darjah dengan Imam Mahdi Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang  kami jelaskan dalam artikel sebelum ini.
 Apabila Syah Ismail Safawi, Raja Syiah  Imamiah pertama Iran berjaya mengalahkan kerjaan Usmaniah di Iran serta  memaksa rakyata Iran memeluk agama Syiah dengan pedang, dia mendakwa  bahawa dia telah bertemu dengan al-Qaim al-Mahdi dalam sebuah gua dan  al-Mahdi telah memerintahkannya menjadi wakil Imam Ghaib untuk  mendirikan kerajaan Syiah yang bakal dipimpin oleh al-Mahdi.
 Demikian juga Syah dalam usahanya  mengukuhkan kerajaan dan kekuasaannya telah pergi ke bukit ‘Amil di  Lubnan untuk mendapatkan restu daripada seorang Ulama Syiah, Ali Abdul  ‘Aal al-Karki. Proses permohonan restu daripada al-Faqih oleh seorang  Raja Syiah ini menggambarkan bahawa pemikiran Wilayatul Faqih memang  telah tersedia wujud demikian juga konsep Naib Imam Ghaib jelas  tergambar pada dakwaan Syah Islamil Safawi.
 Demikianlah bentuk Wilayatul Faqih  sebelum Khomeini di mana seorang Faqih tidaklah terjun secara langsung  dalam politik tetapi kedudukan Faqih itu memang lebih tinggi daripada  Syah itu sendiri. Konsep ini jelas diambil daripada agama Krsitian yang  meletakkan Pope atau Kardinal lebih tinggi daripada Maharaja Perancis  atau Raja England walaupun tidak melaksanakan pemerintahan secara  langsung.
 Wilayatul Faqih Versi Khomeini:
 Khomeini ketika berada di Najaf lagi  dalam usahanya merebut pemerintahan telah melontarkan konsep Wilayatul  Faqih yang lebih kehadapan di mana kali ini Faqih akan menjalankan  urusan politik secara langsung.
 Dalam Perlembagaan Iran No.110 menyatakan:
 “Al-Mursyid (Pemegang Jawatan Wilayatul  Faqih) adalah pemerintah tertinggi bagi kekuatan ketenteraan dan baginya  kekuasaan berikut:
 - Melantik Jawatan Tertinggi Kehakiman
- Melantik dan Memecat Ketua Tentera
- Melantik dan Memecat Ketua Pengawal Revolusi
- Kekuasaan melantik Ahli Pertahanan Kebangsaan
- Melantik Panglima Tentera Udara, Darat, dan Laut
- Berkuasa melancarkan perang atau membuat perdamaian
- Berkuasa menjalankan tugas selaku Presiden
- Memecat Presiden jika keadaan memerlukan
- Memberi keampunan kepada pesalah dalam landasan Islam dan cadangan daripada Mahkamah Tinggi”
Maka kita dapati al-Mursyid atau Ruhbar  bertindak selaku Ketua Negara tidak ubah seperti Yang di-Pertuan Agong  di Malaysia. Kedudukan Wilayatul Faqih seumpama ini tidak pernah berlaku  dalam sejarah Syiah Imamiah sebelum ini.
 Khomeini menyatakan kedudukan Waliyyul  Faqih sebagai berikut setelah mendatangkan beberapa dalil daripada  perkataan Imam mereka berkenaan Wilayatul Faqih:
 “dan pada riwayat ini  menjelaskan seorang Mujtahid itu dianggap sebagai Hakim (Pemerintah) dan  menolak hukum Mujtahid adalah menolak Imam dan menolak Imam itu adalah  menolak Allah dan menolak Allah itu menjadikan pelakunya syirik kepada  Allah”. [Kasyful Asrar, Khomeini, 207,Dar Ammar, Amman, cet pertama].
 Dalam al-Hukumah al-Islamiah dia menyatakan:
 فقهاء الإسلام اليوم  حجة على النّاس كما كان رسول الله – صلّى الله عليه وآله وسلّم – حجة الله،  وجميع الأمور بيده، وكل من تخلف عنه تقام الحجة عليه. فالفقهاء حجة على  النّاس من قبل الإمام – عليه السّلام – وجميع الأمور، وكل مسائل المسلمين  موكولة إليهم. وكل من يتخلف عنهم في أمر الحكومة، وإدارة أمور المسلمين،  وأخذ الواردات العامة وصرفها، فسوف يحتج الله تعالى عليه.
 Maksudnya: “Fuqaha’ Islam  (yakni Ulama Syiah) pada hari ini adalah Hujjah atas manusia seperti  mana Rasulullah s.a.w Hujjah Allah dan semua urusan berada pada tangan  baginda, sesiapa yang menyalahi perintah baginda maka akan didirkan  hujah atasnya (dihukum di akhirat). Demikian juga para Faqih adalah  hujjah atas manusia daripada Imam a.s dan semua urusan dan masalah kaum  muslimin diserahkan kepada mereka dan sesiapa sahaja yang menyalahi  perintah mereka dalam urusan pemerintahan, pentadbiran kaum muslimin,  dan urusan sumber am maka Allah akan menegakkan hujah atasnya (di  akhirat)”. [al-Hukumah al-Islamiah, m.s 125].
 Jelas daripada pernyataan-pernyataan  kufur Khomeini ini, Khomeini telah meletakkan dirinya dan para Ulama  Syiah setaraf dengan Rasulullah s.a.w di mana segala undang-undang yang  mereka laksanakan hendaklah ditaati tanpa dibantah, hak Imam Maksum  Syiah kini menurut Khomeini telah berpindah kepadanya dan  sekutu-sekutunya.
 Pandangan Syiah ini amat bertentangan dengan firman Allah Taala:
 اتَّخَذُوا  أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ  ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا  إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
 Maksudnya: “mereka  menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai  Tuhan-tuhan  selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan)  Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk  menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah)  melainkan Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [al-Taubah: 31]
 Allah Taala menjelaskan bahawa kaum  Nasrani itu menjadi kufur kerana mereka meletakkan para Ulama mereka  setaraf dengan Allah Taala, mereka mengharamkan apa yang diharamkan  Ulama dan menghalalkan apa yang dihalalkan Ulama mereka selain mereka  membesarkan Ulama mereka dengan menjadikan kuburan para Paderi dan Rahib  itu tempat ibadat. [Tafsir al-Saadi, 1/334].
 Demikialah Syiah hari ini, yang  menghalalkan apa sahaja yang ulama mereka halalkan dan haramkan apa  sahaja yang ulama mereka haramkan walaupun tidak ada dalil sama sekali  daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. Antara sebesar-besar maksiat yang  mereka halalkan adalah Nikah Mutaah (Khawin Kontrak) yang merupakan  perzinaan yang jelas dan nyata bahkan dibolehkan pula Mutaah antara bapa  dan anak perempuan hasil Mutaahnya.
 Mereka juga menyeru dan berdoa kepada  Imam-imam mereka dan bertabaruk (mengambil berkat) daripada para Imam  dan Ulama mereka. Sehingga kini tidak pernah lekang para kaum kafir ini  menghantar surat kepada kubur Khomeini untuk dipenuhi hajat mereka.
 Kedudukan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah:
 Ahli Sunnah wal Jamaah tidak pernah  mempertuhankan para Ulama mereka bahkan para Ulama Ahli Sunnah wal  Jamaah melarang kita bertaklid buta kepada mereka.
 Kata Imam Abu Hanifah r.h:
 ” لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ؛ ما لم يعلم من أين أخذناه “
 Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang mengikut pendapat kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mendapatnya”. [Lihat Takhrijnya dalam Asal Sifat Solat al-Albani, 1/24].
 Kata Imam Malik r.h:
 ” ليس أحد – بعد النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – إلا ويؤخذ من قوله ويترك ؛ إلا النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “
 Maksudnya: “Tidak ada seorang pun selepas Nabi s.a.w melainkan diambil dan dibuang pendapatnya kecuali Nabi s.a.w”. [Ibid, 1/27].
 Kata Imam al-Syafii r.h:
 ” إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؛ فقولوا بسنة رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَدَعُوا ما قلت “
 Maksudnya: “Apabila kamu  mendapati dalam kitabku sesuatu yang menyalahi Sunnah Rasulullah s.a.w  maka ikutlah Sunnah Rasulullah s.a.w dan tinggalkan pendapatku”. [Ibid, 29].
 Kata Imam Ahmad r.h:
 ” لا تقلدني ، ولا تقلد مالكاً ، ولا الشافعي ، ولا الأوزاعي ، ولا الثوري ، وخذ من حيث أخذوا “
 Maksudnya: “Janganlah kamu  bertaklid kepadaku, Malik, al-Syafii, al-Auzai, dan al-Sauri, tetapi  ambil lah dari mana mereka mengambil pendapat mereka” [Ibid, 32].
 Demikianlah pendirian Ulama Islam yang  sebenar bahawa kedudukan mereka hanyalah sebagai manusia biasa dan  mereka buknalah Hujah Allah atas sesiapa bahkan mereka sendiri akan  dihujah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
 Sabda Nabi s.a.w:
 أني قد خلفت فيكم ما لن تضلوا بعدهما ما أخذتم بهما أو عملتم بهما كتاب الله وسنتي ولن يفترقا حتى يردا على الحوض
 Maksudnya: “Sesungguhnya aku  telah tinggalkan kepada kamu apa yang tidak akan kamu sesat selama kamu  berpegang pada keduanya: Kitab Allah dan Sunnahku, keduanya tidak akan  terpisah sehingga datang kepada Haud (Kiamat)”. [al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].
 Kesimpulan:
 Akidah bahawa Ulama sahaja yang berhak  menjadi pemimpin adalah akidah Kristian yang diserap oleh Syiah lalu  menjalar dalam sesetengah pemikiran kaum muslimin. Mereka yang berakidah  dengan akidah Wilayatul Faqih (Kepimpinan Ulama) secara total menurut  pandangan dan fahaman Syiah adalah Kafir.
 Umat Islam dalam ghairah mereka  berpolitik dan berjuang menegakkan negara Islam hendaklah pandai menapis  idea-idea dan pemikiran-pemikiran asing yang dapat menjejaskan akidah  kita sebagai seorang muslim. Wallahua’lam.
 Rujukan: 
 1-      Tafsir al-Tabari
 2-      Tafsir Ibn Kasir
 3-      Tafsir al-Saadi
 4-      Al-Hukumah al-Islamiah, Khomeini
 5-      Kasyful Asrar, Khomeini
 6-      Mausuah al-Radd ‘ala al-Rafidah, Maktabah al-Syamilah.