Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Rabu, 19 Mei 2010

MasyaAllah - Jumlah Anak Luar Nikah Semakin Bertambah

17,303 anak luar nikah didaftar 2009

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.

Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.

“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Sumber : Berita Harian 21/03/2010

Puluhan Ribu Anak Luar Nikah Dilahirkan???

Apa dah jadi? Dalam kesibukan para pemimpin Malaysia cuba mempertingkatkan ekonomi negara, bilangan anak luar nikah yang lahir dari rahim- ahim ibu umat Islam juga semakin meningkat. Dari statistik terkini ini, jumlah anak luar nikah yang dilahirkan oleh individu berbangsa Melayu/Islam sejak lima tahun lepas adalah 74,723 orang dengan 17,303 orang direkodkan pada tahun 2009. Mengapa jumlah anak- anak luar nikah ini semakin meningkat saban tahun? Apakah kita inginkan peningkatan peratusan ekonomi semata-mata, tapi dalam masa yang sama akhlak umat Islam semakin runtuh- seruntuhnya? Nauzubillahi min zalik.

Statistik yang dinyatakan merupakan jumlah yang direkodkan sahaja, tidak mustahil jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi. Hakikatnya ini adalah merupakan natijah akibat dari sistem yang mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan berlandaskan sistem pergaulan Islam. Sistem dan gaya hidup Barat yang diamalkan, yang membolehkan lelaki dan wanita bergaul bebas merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan negara sekular seperti Malaysia. Ini diparahkan lagi dengan budaya hedonisme yang semakin bercambah dalam masyarakat dengan media massa sebagai pemangkin utamanya.

Islam telah menggariskan aturan yang khusus dalam mengatur hubungan lelaki dan perempuan. Peraturan yang diturunkan oleh Allah ini bukanlah aturan yang akan menidakkan naluri melestarikan keturuanan (gharizatul nau’) yang telah Allah letakkan pada diri setiap manusia, tetapi ia merupakan peraturan khusus yang mengatur naluri tersebut agar berjalan sesuai dengan tuntutan Islam.

Islam telah menetapkan bahawa hubungan kelamin yang sah di sisi syarak adalah hubungan yang telah diikat dengan ikatan pernikahan. Dengan ikatan inilah, pasangan itu telah sah menjadi suami isteri dan seterusnya, dari mereka akan lahirlah zuriat umat manusia. Melalui ikatan ini, maka banyak hukum- hukum Islam yang berkaitan dengannya seperti nasab, pewarisan (faraid), nafkah, dan lain- lainnya diterapkan. Bukan setakat itu sahaja, sekiranya berlaku perzinaan, maka Islam telah menetapkan agar pelakunya dihukum (sebagai pengajaran) rejam (bagi pasangan yang sudah berkahwin) ataupun sebat sebanyak 100 kali (bagi pasangan yang belum berkahwin).

"Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." [TMQ An-Nur (24 : 2)]

Inilah hukuman yang akan dikenakan kepada pelaku zina sekiranya mereka melakukan perbuatan tersebut. Dengan adanya sistem pergaulan lelaki dan perempuan dan uqubat ke atas pelaku zina, insyaAllah, statistik yang amat menyedihkan ini tidak akan kita dengar lagi. Semoga dengan itu, rahmat Allah akan memayungi segenap penjuru alam.

sumber : http://infoislamterkini.blogspot.com/

Tiada ulasan: