Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Jumaat, 29 April 2011

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah

بسم الله الرحمن الرحيم

Kelihatan pelbagai iklan peraduan atau pesta memancing yang menjanjikan hadiah lumayan, diletakkan ditepi jalan, kita tidak tahu apakah pihak penganjur telah merujuk kepada pejabat Agama di tempat masing-masing sebelum menganjurkan pesta tersebut? Untuk membantu umat Islam memahami isu ini, ana petik di sini Garis Panduan yang dikeluarkan oleh JAKIM, agar umat Islam mendapat ilmu dan maklumat tentang perkara ini;

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

1-TUJUAN

Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah ini disediakan untuk memberi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran sama ada agensi- agensi kerajaan dan swasta, syarikat-syarikat telekomunikasi, media cetak dan elektronik, pengendali konsep peraduan, penaja, orang awam serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam peraduan tersebut.

2- PENDAHULUAN

2.1 Dengan kemajuan arus perdana, urusniaga jual beli telah mula diperluaskan dengan pelbagai teknologi moden termasuklah melalui SMS. Bukan sekadar itu, promosi produk jualan juga semakin berkembang pesat melalui instrumen semasa termasuk penganjuran peraduan kontemporari oleh pelbagai pihak telah menjadi begitu popular dan semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

2.2 Namun begitu, penganjuran peraduan kontemporari ini yang kebiasaannya menawarkan hadiah contohnya peraduan melalui SMS telah menimbulkan pelbagai polemik dan persoalan khususnya daripada aspek hukum syarak. Justeru garis panduan ini diterbitkan untuk merungkai segala permasalahan dan kekeliruan sekaligus memastikan seluruh penganjuran peraduan berasaskan hadiah bertepatan dengan prinsip muamalat Islam yang berasaskan kepada aspek ketelusan dan keadilan.

2.3 Garis Panduan ini adalah berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mesyuarat Panel Kajian Syariah, JAKIM.

3- KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64 yang bersidang pada 27 Julai 2004 telah memutuskan;

Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Dari itu, hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak”.

4- KRITERIA- KRITERIA YANG MESTI DIELAKKAN DALAM PENGANJURAN PERADUAN BERASASKAN HADIAH

4.1.1 Eksploitasi

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “eksploitasi” bermaksud suatu perbuatan atau tindakan mempergunakan sesuatu (orang dll) untuk kepentingan (keuntungan dsb) diri sendiri. (Kamus Dewan)

Eksploitasi bermaksud menuntut (meminta) hasil daripada sesuatu yang dimiliki oleh pemilik. (Mausuah Fiqhiyyah)

Eksploitasi juga bermaksud use selfishly and unfairly for one’s own advantage or profit. (Oxford Dictionary)

Dalam konteks peraduan, peserta mengharapkan hadiah lumayan yang ditawarkan manakala pihak penganjur mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tertentu dan mengaut keuntungan di atas keghairahan orang ramai yang menyertainya. Perbuatan tersebut adalah suatu bentuk eksploitasi yang tidak diharuskan oleh Islam.

4.1.2 Kesamaran.

Dalam konteks peraduan yang menawarkan hadiah juga, maksud “kesamaran” adalah sesuatu perkara yang kurang jelas keadaannya. (Kamus Dewan)

Kesamaran juga telah ditakrifkan sebagai bahaya, tipu helah dan mendedahkan diri kepada kebinasaan diri dan juga hartanya. al- Jurjani pula telah mentakrifkan kesamaran sebagai sesuatu yang tidak diketahui akibatnya samada berlaku atau sebaliknya. (Mausu’ah Fiqhiyyah)

Kesamaran juga dimaksudkan dengan look or sound different from normal; give false appearance. (Oxford Dictionary) Dr. Yusof al-Qardhawi menjelaskan tentang pendirian Islam terhadap perbuatan yang samar- samar atau syubhah. Beliau menyatakan bahawa Islam memberikan satu garis panduan yang disebut sebagai sikap berhati-hati kerana takut terlibat dalam perbuatan haram. Melalui sifat ini seseorang Islam dituntut supaya menjauhkan diri daripada sesuatu masalah yang masih samar-samar, sehingga dengan cara tersebut dia tidak melakukan suatu perbuatan yang haram.

Perbuatan seperti ini termasuk dalam perkara sadduz zara’i’ (menutup pintu daripada melakukan kejahatan). Perkara tersebut juga merupakan salah satu pendidikan untuk orang Islam memandang lebih jauh serta menyelidik terhadap hidup dan manusia itu sendiri. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat), banyak orang yang tidak tahu; apakah dia termasuk dalam perkara yang halal ataukah yang haram? Maka sesiapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan kehormatannya maka dia akan selamat dan sesiapa yang mengerjakan sedikitpun daripadanya hampir-hampir dia akan jatuh ke dalam haram, sebagaimana orang yang menggembala kambing di sekitar daerah larangan, dia hampir-hampir akan jatuh kepadanya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja mempunyai daerah larangan. Ingat pula bahawa daerah larangan Allah itu ialah semua yang diharamkan.”

(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tarmizi dan riwayat ini adalah lafaz al-Tarmizi) (Dr. Yusof al-Qardhawi, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal 37)

Dalam konteks peraduan kontemporari ini, penganjur mengenakan caj bayaran dalam pelbagai istilah seperti wang pertaruhan, wang penyertaan, yuran pertandingan dan sebagainya.

Penganjur juga menyediakan syarat peraduan yang kurang telus, serta mengelirukan. Ini menyebabkan peserta bergantung kepada nasib di samping menyimpan angan-angan untuk memperolehi hadiah yang lumayan. Kesamaran yang berlaku dalam peraduan seumpama ini boleh menyebabkan orang ramai terlibat dalam perbuatan perjudian tanpa mereka sedari.

4.1.3 Pertaruhan

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, “pertaruhan” bermaksud wang dan lain-lain yang dipasang dalam perjudian. (Kamus Dewan)

Pertaruhan juga bermaksud money etc risked or gambled on the unknown result of a future event. (Oxford Dictionary)

Judi daripada sudut bahasa bermaksud pertaruhan yang menggunakan anak panah. Ibn Hajar al- Makki telah mentakrifkan perjudian sebagai al- qimar dalam apa jua bentuk. Manakala al- Muhalli telah menjelaskan bahawa bentuk perjudian ialah sesuatu yang diragukan samada untung atau rugi. (Mausuah Fiqhiyyah)

Peraduan kontemporari contohnya melalui SMS adalah suatu permainan yang melalaikan dan boleh dikategorikan dalam permainan al-nardu (buah dadu -permainan tradisi masyarakat Arab yang mengandungi perjudian dan pertaruhan).

Menurut Dr. Yusof al-Qardhawi (Fatawa al-Mu’asarah jilid 7, hal 465 dan 466) para fuqaha mengharamkan permainan ini berdasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis serta bentuk permainan tersebut yang mengandungi unsur judi yang diharamkan. Mereka merujuk kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. [Surah al-Ma`idah ayat 90]

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa yang bermain permainan al-Nardu (perjudian) sesungguhnya ia telah melakukan maksiat kepada Allah dan rasul-Nya”. [Riwayat Abu Daud]

Dalam konteks peraduan, unsur perjudian yang terdapat di dalamnya adalah kerana ia mengandungi unsur pertaruhan, setiap peserta akan dikenakan caj bayaran melalui pelbagai istilah yang mengabui mata peserta sebagai syarat untuk menyertai peraduan tersebut.Bayaran inilah yang dinamakan pertaruhan.

4.1.4 Nasib

“Nasib” bermaksud melakukan sesuatu dengan harapan untuk mendapat keuntungan; bertaruh (Kamus Dewan).

Nasib juga bermaksud chance, esp though of as force that bring good or bad fortune (Oxford Dictionary)

Perbuatan peserta yang membayar caj peraduan dengan harapan mendapat keuntungan atau habuan hadiah ketika menyertai sebarang peraduan yang dianjurkan perbagai pihak adalah tidak diharuskan oleh Islam. Ia sama dengan perbuatan mempertaruhkan wang lalu bergantung harapan kepada nasib untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak.

Perbuatan bergantung kepada nasib ini bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

‘Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ [Surah al-Ma`idah ayat 90]

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ada segelintir penganjur peraduan meletakkan kaedah penentuan pemenang melalui kriteria peserta yang berjaya menjawab soalan dengan tepat dan paling pantas. Kaedah pemilihan pemenang seumpama ini adalah tidak patuh syariah kerana peserta yang menjawab soalan dengan tepat masih tidak ada jaminan untuk dipilih sebagai pemenang kerana terpaksa bergantung kepada nasib semata- mata untuk menjadi peserta yang terpantas menjawab soalan.

4.1.5 Pembaziran

“Pembaziran” bermaksud perbuatan membazirkan (wang, masa tenaga dsb) (Kamus Dewan).

Perbaziran juga dapatlah diertikan sebagai membahagikan harta di luar tujuan. Sesetengah ahli feqah telah mentakrifkan pembaziran sebagai tiada ihsan dalam pengurusan harta, membelanjakan harta bukan pada tempat yang tidak sepatutnya, membelanjakan harta pada arah kebaikan bukanlah bermaksud pembaziran dan membelanjakan harta dalam urusan makanan tidak termasuk di dalam hal (kategori) pembaziran. (Mausu’ah Fiqhiyyah)

Pembaziran juga dimaksudkan dengan not thinking of the consequences or of danger; rash or impulsive. (Oxford Dictionary)

Islam melarang umatnya melakukan perbuatan mensia-siakan harta atau wang pada tempat yang tidak wajar dan tidak diharuskan oleh Allah S.W.T.. Ini bermakna walaupun sedikit yang kita belanjakan jika bukan pada tempat yang wajar, maka ia tetap dikira sebagai membazir. Tidaklah semestinya banyak atau sedikit semata-mata yang menjadi ukuran kepada perkiraan membazir atau tidaknya dalam sesuatu perbelanjaan. Perbuatan membazir sangat dilarang dalam Islam malah ia dianggap bukan daripada perbuatan seorang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.” [Surah al-Nisaa’ ayat 26-27]

Dalam konteks peraduan berasaskan hadiah, ramai peserta menghabiskan wang mereka semata-mata untuk meraih hadiah yang ditawarkan. Walau bagaimanapun sebilangan kecil sahaja peserta yang akan memperolehi hadiah, manakala sebahagian besar lagi akan mengalami kerugian serta kehilangan wang dalam pertaruhan. Mereka telah membazirkan masa, wang dan tenaga semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang belum pasti diperolehi.

5- PANDUAN KEPADA PESERTA

5.1 Sebelum menyertai sebarang peraduan yang berasaskan hadiah, peserta haruslah meneliti dan memahami perkara-perkara berikut:

i) Bentuk dan operasi peraduan.

ii) Terma dan syarat peraduan dengan jelas.

iii) Memastikan peraduan yang disertai tidak mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum syarak seperti perjudian, pembaziran, eksploitasi, keraguan dan kerugian kepada peserta.

iv) Memastikan caj yang dikenakan terhadap mereka sama seperti caj biasa sebelum peraduan berlangsung jika peraduan tersebut dianjurkan melibatkan perbualan telefon dan kaedah SMS.

v) Peraduan yang disertai bermanfaat dan tidak mengandungi unsur hiburan yang melampau, aktiviti yang melalaikan dan seumpamanya.

vi) Peserta hendaklah merujuk kepada pihak berkuasa yang berautoriti sekiranya terdapat keraguan mengenai sesuatu peraduan terutamanya daripada sudut hukum syarak dan perundangan negara.

vii) Peserta dinasihatkan agar tidak terlalu taksub dan fanatik kepada sesuatu peraduan yang disertai sehingga meninggalkan tugasan wajib.

6- PANDUAN KEPADA PENGANJUR

6.1 YURAN PENDAFTARAN DAN CAJ TAMBAHAN

i) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.

ii) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.

iii) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan SMS daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

6.2 TERMA DAN SYARAT PERADUAN YANG JELAS

i) Penganjur mestilah menyatakan tujuan, syarat- syarat penyertaan, ganjaran hadiah, kaedah pemilihan pemenang, tempoh masa dan seumpamanya dengan tepat, jelas dan terperinci di dalam terma dan syarat peraduan.

ii) Sekiranya peraduan tersebut melibatkan penjualan produk dan seumpamanya maka perkara tersebut perlu diperincikan dengan jelas di dalam terma dan syarat.

iii) Terma dan syarat juga mestilah adil, tidak mengandungi unsur penipuan ataupun helah, serta tidak berat sebelah samada di pihak penganjur mahupun pelanggan dan mestilah tidak bercanggah dengan syarak.

iv) Terma dan syarat mestilah dapat diakses sepenuhnya oleh pelanggan dengan jelas samada melalui iklan di media cetak, media elektronik atau seumpamanya.

v) Terma dan syarat mestilah jelas, mudah difahami serta tidak mengelirukan masyarakat awam.

6.3 PROMOSI DAN IKLAN

i) Maklumat penting di dalam terma dan syarat iaitu syarat- syarat penyertaan, bentuk operasi peraduan, ganjaran hadiah, syarat-syarat pemenang dan seumpamanya mestilah dinyatakan sepenuhnya dengan jelas, mudah difahami oleh masyarakat awam.

ii) Jika peraduan tersebut melibatkan sebarang penjualan barangan atau produk, promosi penjualan barangan atau produk tersebut mestilah lebih difokuskan berbanding promosi peraduan.

iii) Iklan-iklan dan promosi di dalam media cetak dan elektronik mestilah;

a) menggambarkan sepenuhnya promosi peraduan tersebut;

b) tidak mengandungi unsur-unsur eksploitasi seperti mengeksploitasikan wanita dan seumpamanya sebagai satu daya tarikan; dan

c) tidak mengandungi unsur-unsur provokasi, paksaan serta mengelirukan peserta.

6.4 SISTEM PERADUAN YANG JELAS

6.4.1 Matlamat Peraduan

i) Peraduan yang dianjurkan mestilah mempunyai matlamat yang bermanfaat, membina daya intelektual, memupuk sikap positif dan seumpamanya.

ii) Tidak dijadikan sebagai helah untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

iii) Tidak melalaikan sehingga menyebabkan peserta meninggalkan kewajipan seharian.

6.4.2 Bentuk Soalan Peraduan

i) Soalan- soalan peraduan mestilah;

a) bermanfaat, ilmiah dan benar- benar menguji kepintaran;

b) tidak tertumpu kepada perkara- perkara yang tidak membina minda serta melalaikan;

c) tidak mengelirukan; dan

d) tidak bercanggah dengan syariat Islam

6.4.3 Kaedah Pemilihan Pemenang

i) Setiap penyertaan peserta mestilah disemak dan dihakimi dengan adil, telus, amanah dan tidak berat sebelah.

ii) Pemenang peraduan tidak boleh ditentukan dengan kaedah cabutan rambang (lucky draw) yang bersandarkan kepada faktor nasib sahaja contohnya sistem pemilihan pemenang hanya ditentukan melalui kaedah cabutan sahaja tanpa disemak keseluruhan borang jawapan peraduan yang diserahkan peserta terlebih dahulu.

iii) Jika sekiranya terdapat lebih daripada satu penyertaan yang menjawab semua soalan objektif dengan betul dan mempunyai markah/ mata yang sama, maka peserta hendaklah diberi soalan subjektif contohnya menulis cogankata dan seumpamanya. Hakim mestilah mengadili soalan subjektif tersebut dengan adil sebelum menentukan pemenang peraduan.

6.4.4 Tempoh Masa Peraduan

i) Jika peraduan tersebut mempunyai sesuatu tempoh had masa penganjuran dan menjawab soalan, maka ia perlulah dimaklumkan kepada peserta sebelum peraduan bermula.

6.5 GANJARAN/ HADIAH

i) Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.

ii) Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta samada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.

iii) Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang di kenakan untuk sms dan seumpamanya.

iv) Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.

v) Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.

vi) Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas.

7- KESIMPULAN

Garis Panduan yang diterbitkan ini adalah diharap dapat memberikan panduan kepada semua pihak yang terlibat di dalam penganjuran peraduan yang menawarkan hadiah sebagai ganjaran. Semoga usaha ini dapat memastikan keseluruhan operasi peraduan mematuhi prinsip- prinsip syariah.

Rujukan:

1. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 3, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

2. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 4, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

3. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 31, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

4. Al- Mausu’ah al- Fiqhiyyah, Wizarah al- Auqaf wa al- Syu’un al- Islamiyyah, jilid 39, cetakan pertama, 2000, Kuwait.

5. Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Dr.Yusof al-Qardhawi, cetakan ke-15, 1994, al-Maktab al-Islami, Beirut

6. Fatawa Mu’asarah, Dr. Yusof al-Qardhawi, jilid 2, 1991Dar Ula al-Nah, Beirut.

7. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Kuala Lumpur.

8. Oxford Dictionary Advanced Learner’s, A.S Hornby, Fourth Edition,1989, Oxford University Press.

[Sumber: http://www.islam.gov.my/garis-panduan-peraduan-berasaskan-hadiah]

Akhukum,

Abu Anas Madani. 28 April 2011.

Bagaimana mensabitkan kesalahan zina menurut islam . 3

Bersumpah

Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.

Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.

Sumber : Tulisan ini dipetik daripada buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam. HD – 170708

Bagaimana mensabitkan kesalahan zina menurut islam . 2

Syarat-syarat iqrar

1. Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Abu Daud: Kitab al-Hudud):

"Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar."

2. Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Ibn Majah: Kitab al-Talaq):

"Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa."

3. Iqrar (pengakuan) dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.

4. Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma'iz bin Malik.

5. Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusaha supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Menarik Balik Pengakuan

Seseorang yang mengaku melakukan zina dan liwat hendaklah diterima penarikan balik pengakuannya, walaupun sudah memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas, kerana Rasulullah s.a.w. menegur para sahabat baginda dengan keras kerana meneruskan hukuman terhadap Ma'iz bin Malik setelah dia melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Apabila seseorang lelaki mengaku zina dengan seseorang perempuan dan perempuan itu tidak mengaku salah, maka si lelaki sahaja yang dihukum, kerana inilah keputusan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Bagaimana mensabitkan kesalahan zina menurut islam . 1

Mensabitkan Kesalahan Zina Dan Liwat

Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar(pengakuan) atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya.

1) Iqrar (Pengakuan)

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu."

Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansor sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oleh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar (mengaku) berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.

- bersambung

Khamis, 21 April 2011

KITAB KEGEMARAN KU

Intisari Kitab Ringkasan Tazkirah Al-Qurtubi

TAJUK KITAB : Ringkasan Tazkirah Al-Qurtubi
OLEH : Syeikh Imam Abd Wahhab asy-Sya'rani
DITAHKIK OLEH : Ali Muhammad Abu al-Abbas
PENTERJEMAH : Ahmad Solihin | Muhammad Zuhirsyan | Haji Abdurrahman Salleh
TERBITAN : Jasmin Enterprise
MUKA SURAT : 537 muka surat
HARGA : RM 45.00

Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dari Anas bahwa Rasulullah SAW bersabda : "Sering seringlah mengingat kematian, karena sesungguhnya hal itu bisa membersihkan dosa-dosa dan dapat membuat bersikap zuhud terhadap dunia."


Syair : Ingatlah kematian niscaya kamu akan mendapati kenikmatan.

Ingat kematian dapat mematahkan angan-angan yang kosong belaka.


Ad-Daggag berkata : "Barang siapa yang sering ingat kematian, dia akan dimuliakan dengan 3 hal : Yakni lekas bertaubat, hati yang qana'ah (menerima apa adanya) dan semangat dalam beribadah. Dan barang siapa yang lupa kematian, dia akan diberikan saksi dengan 3 hal yakni, lambat bertaubat, tidak puas dengan pemberian Allah dan malas beribadah."


Mengambil pelajaran bagi hati yang keras : (melunakkan hati)

1. Rajin mengaji ke majlis-majlis taklim untuk mendengarkan nasihat, pelajaran, peringatan, cerita orang-orang saleh.

2. Mengingat kematian sebagai suatu peristiwa yang pasti akan melenyapkan semua kenikmatan, memisahkan dari keluarga serta handai taulan dan membuat anak-anak menjadi yatim.

3. Menunggui orang yang lagi kritis, dengan menyaksikan keadaan orang yang sedang sakaratul maut.

4. Ikut menyaksikan pemakaman jenazah di kubur.


Dari Amr Ibnul-Ash menjelang kematian. "Wahai anakku, sungguh saat ini lambungku seperti ada di sebuah bangku. Aku seolah-olah bernafas mengeluarkan jarum beracun. Aku merasa ada sebatang duri yang di tarik dari ujung telapak kakiku sampai ke ujung kepalaku."


Diriwayatkan oleh Muslim dari Jabir bahwa 3 hari sebelum wafat Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah salah seorang kalian meninggal dunia kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah."


At-Tirmidzi dalam kitabnya An-Nawawir, bahwa al Hasan berkata, aku pernah mendengar Rasulullah bersabda,:

"Tuhan-Mu Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung berfirman , Aku tidak menghimpun pada hambaku 2 rasa ketakutan sekaligus, dan tidak menghimpun 2 rasa aman sekaligus. Barang siapa yang takut pada-Ku di dunia, aku akan membuatnya aman di akhirat. Dan barang siapa yang merasa aman dari-Ku di dunia, Aku akan membuatnya takut di akhirat."


Diriwayatkan oleh Hammam bi Salamah, dari Tsabit, dari Anas bin Malik bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah salah seorang kalian meninggal dunia kecuali sedang berbaik sangka kepada Allah, karena berbaik sangka kepada Allah adalah harga surga."


Diriwayatkan oleh Ibnu Umar bahwa ia berkata, "Tiang, target, dan tujuan utama agama ialah berbaik sangka kepada Allah. Barang siapa di antara kalian meninggal dunia sedang dalam berbaik sangka kepada Allah, dia akan masuk syurga dengan perasaan lega."


Dari Abu Nu'aim dari Makhul, dari Ismail bin Ayyasy bin Abu Muadz alias Utbah bin Hunaid, dari Watsilah ibnul Asqa, bahwa nabi bersabda, "Saksikanlah orang-orang yang hendak meninggal dunia diantara kalian, tuntunlah mereka membaca kalimat La illaha illallah, dan berilah mereka khabar gembira dengan surga, sebab orang yang sangat bijaksana sekalipun akan bingung pada suasana menjelang ajal seperti itu. Dan pada saat itu setan sangat dekat dengan manusia. Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, pandangan mata malaikat maut itu lebih dasyat sakitnya daripada seribu kali tebasan pedang. Dan juga demi Allah yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tidaklah keluar nyawa seorang hamba dari dunia sampai ia merasakan sakit pada sekujur tubuhnya."


Menurut para Ulama, sabda Nabi SAW, "Apabila kamu menjenguk orang sakit atau melawat mayat, maka katakanlah yang baik-baik"


Merupakan imbauan keras sekaligus pengajaran tentang apa yang seharusnya dibaca ketika berada di dekat orang yang sakit atau yang sudah menjadi mayat, dan juga pemberitahuan bahwa para malaikat itu mengamini do'a yang diucapkan oleh orang-orang yang berada di sana.


Oleh kerana itulah para ulama menganjurkan untuk mengundang orang-orang soleh pada saat seseorang dalam keadaan kritikal. Mereka di minta untuk mendoakan yang baik-baik baginya berikut keluarga yang akan di tinggal. Doa mereka akan di amini oleh para malaikat, sehingga hal itu bermanfaat bagi si mayat, keluarga yang sedang terkena musibah, dan orang-orang yang ditinggalkan.


Rasulullah SAW bersabda "Apabila kalian menyaksikan orang yang telah meninggal dunia di antara kalian, maka pejamkanlah matanya baru saja mengiringkan nyawa yang melayang. Berkatalah yang baik-baik karena para malaikat akan mengamini apa yang di katakana oleh keluarganya.

Ketika kamu memejamkan mata mayat, bacalah "Bismillah wa ala millati Rasulullah". Setelah membaca tasbih.

Ketika nyawa seseorang akan dicabut, datang berbagai fitnah kepadanya. Iblis memerintahkan kepada anak buahnya untuk menggodanya, mereka mendatangi dengan menjelma sebagai susuk orang-orang yang tercinta yang sangat ia hormati : seperti ayah, ibu, kakak, adik, teman karib, dan lain sebagainya.Mereka menyatakan sebentar lagi kamu akan mati hai Fulan, dan kami telah mendahuluimu. Matilah kamu sebagai orang yang beragama Yahudi, karena ia adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah, jika ia berpaling dan menolak ajakan itu datang lagi anak buah iblis yang lain dan berkata matilah kamu sebagai orang yang memeluk agama Nasrani, karena ia adalah agama Isa Almasih yang menghapus agama Musa."


Diriwayatkan Abu Hamid Al Ghazali dan Abdul Haq " Apabila kamu masuk kuburan bacalah surah Al Fatihah, Al Falaq, An Nas dan Al Ikhlas. Peruntukan pahalanya buat penghuni kubur, karena akan sampai pada mereka."


Hadist di riwayatkan oleh Ibnu Abbas bahwa nabi SAW bersabda, " sebaik baiknya manusia yang berjalan di muka bumi yang baru adalah orang-orang yang mengajar kebaikan, ketika agama itu telah rosak, mereka memperbaharuinya lagi. Berilah mereka sesuatu tapi jangan dianggap upah, kerana murka tentu merasa tidak enak, sesungguhnya apabila seseorang mengajarkan kalimat Bismillahirrohmanirrohim kepada anak kecil, Allah mencatatnya sebagai kebebasan bagi si anak, kebebasan bagi si pengajar, dan kebebasan bagi kedua orang tuanya dari neraka". Demikian di sebutkan oleh Ats-Tsa'labi.


Dari Anas bahwa Rasulullah bersabda, "Barang siapa memasuki kuburan lalu membaca surah Yaa Siin, Allah akan meringankan siksa para penghuninya dan ia mendapat kebajikan sebanyak jumlah mereka".


Abu Darda mengatakan, "Ada 3 orang yang membuat aku tertawa karena lucu dan ada 3 hal yang membuat aku menangis sedih. 3 orang yang membuat aku tertawa kerana lucu ialah orang yang masih mengangan-angankan dunia padahal dia sedang diburu oleh maut, orang yang lalai tidak merasa lalai, dan orang yang tertawa lepas namun ia tidak tahu apakah Allah meredhainya atau murka kepadanya. Sementara 3 hal yang menangis sedih ialah berpisah dengan orang-orang tercinta seperti Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya, menghadapi huru-hara kematian, dan berdiri di hadapan Allah pada hari semua yang tersembunyi akan terungkap dan aku tak tahu nasibku ke sorga atau ke neraka."


Rasulullah SAW bersabda, " Pilihlah kain kapan terbaik untuk orang-orang mati kalian karena sesungguhnya mereka saling bangga dan saling mengunjungi dikuburan mereka".


Sambil mengacungkan jari-jari tangan Rasulullah SAW bersabda, "Allah lalu mendatangkan 99 ekor ular naga, padahal jika seekor saja dari ular-ular itu meniup sebuah tanah, itu tidak akan sanggup menumbuhkan, apa selanjutnya ia digigit oleh ular tersebut dan dibawa naik ke atas awan.


Rasulullah SAW bersabda, " Sesungguhnya kubur itu umpama menjadi sebuah taman di antara taman-taman surga, atau sebuah jurang di antara jurang neraka."


Sehabis memakamkan puterinya, Zainab, Rasulullah SAW duduk di dekat kubur dengan wajah nampak sangat sedih lalu mendadak lenyap. Para sahabatnya bertanya kepada beliau. "Tadi kami lihat wajah anda tampak sangat sedih namun mendadak lenyap, ada apa Rasulullah? Beliau menjawab aku ingat puteriku yang lemah ini, bagaimana ia menghadapi himpitan kubur, aku lalu berdoa kepada Allah, dan Dia berkenan menolongnya. Demi Allah, saat dia dihimpit kubur satu kali saja, suara jeritannya akan terdengar sampai ke hujung barat dan ke hujung Timur jagad raya."


Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah akan menyiksa mayit karena ratapan keluarganya terhadapnya."


Kata Al-Hasan, "Orang yang paling jahat kepada si mayit ialah keluarganya yang menangisinya, tetapi tidak mau membayar hutangnya."


Ibnu Umar mengantarkan jenazah ke kubur ketika jenazah diletakkan di liang lahat, dia membaca doa, "Dengan nama Allah dan semoga ia mati di jalan Allah."


Ketika liang lahat diratakan dengan tanah ia berdoa, "Ya Allah lindungilah dia daripada syaitan dan dari azab kubur".


Ketika meratakan pasirnya pada kubur, ia berdiri di samping kubur seraya berdoa, "Ya Allah renggangkanlah tanah dari lambungnya, naikkan rohnya dan songsonglah dia dengan redha-Mu."


Ketika mayit ditanya, siapa Tuhan-Mu, syaitan menampakkan diri menjelma menjadi susuk manusia, sambil menunjuk ke dirinya sendiri ia berkata, "Akulah Tuhanmu".


Maka itulah Rasulullah SAW berdoa agar di berikan ketegaran, "Ya Allah tegarkanlah lidahnya dalam menghadapi masalah itu dan bukakanlah untuk rohnya pintu-pintu langit".


Apabila selesai mengubur mayat, Rasulullah SAW berdiri di depannya seraya bersabda, "Mohonkanlah ampunan dan keteguhan buat saudara kalian, karena sekarang dia sedang ditanya oleh seorang malaikat".


Rasulullah bersabda, "Huru-hara paling mengerikan yang dihadapi oleh seorang mukmin ialah kubur".


Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-Nya. Ya Allah ia beristirahat kepada-Mu dan Engkau adalah sebaik-baiknya tempat beristirahat. Renggangkanlah bumi dari sepasang lambungnya, bukakanlah pintu-pintu langit untuk rohnya, terimalah ia disisi-Mu dengan penerimaan yang baik. Dan teguhkanlah lidahnya dalam menjawab pertanyaan-pertanyaan malaikat".


Sabda Rasulullah SAW,"Apapun yang kamu tinggalkan, Allah pasti akan memberikanmu pengganti yang lebih baik daripadanya".


Sabda Rasulullah SAW, "Di dalam umat ini selalu ada segolongan orang yang gigih membela urusan Allah. Mereka tidak merasa terkena mudarat sikap acuh orang yang mengacuhkan mereka dan permusuhan orang yang memusuhi mereka."


Rasulullah SAW bersabda, "Apabila salah seorang kalian meninggal dunia, lalu setelah dikuburkan, hendaklah salah seorang kalian berdiri di dekat bahagian kepala kubur si mayit seraya mengatakan: " Wahai Fulan Bin Fulanah, kerana sesungguhnya si mayit mendengar meskipun tidak mampu menjawab. Kemudian hendaklah dia mengatakan untuk yang kedua kalinya , Hai Fulan Bin Fulanah Kerana sesungguhnya si mayit duduk tegak. Kemudian hendaklah dia mengatakan untuk yang ketiga kalinya. Hai Fulan Bin Fulanah kerana sesungguhnya si mayit menjawab, ia telah menunnjukkan kepada kami, semoga Allah merahmatimu: tetapi kalian tidak bias mendengarnya, lalu hendaklah ia mengatakan, ingatlah apa yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu kesaksian bahwa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa Muhamad adalah utusan Allah sesungguhnya kamu redha Allah sebagai Tuhan-Mu Islam sebagai agama-Mu, Muhamad sebagai Nabi, dan Alqur'an sebagai imam. Kerana Malaikat Mungkar dan Nangkir enggan mendekatinya dan menyatakan, Buat apa kita menunggu orang seperti ini yang sudah mengerti hujjahnya. Allahlah yang menjadi hujjah malaikat Mungkar dan Nangkir atas orang itu."


Kata para ulama, sepanjang yang memberi hidayah atau petunjuk adalah Allah, sepanjang sikap istiqamah itu tergantung pada kehendak Allah, sepanjang akibat yang terjadi tidak ada yang sanggup mengetahui selain Allah, dan sepanjang keinginan Allah adalah segalanya, maka kamu jangan terburu-buru mengagumi imanmu, sholatmu, puasamu, amal-amalmu yang lain dan seluruh pengorbananmu, walaupun secara lahiriah itu adalah jerih payahmu. Tetapi pada hakikatnya Tuhan-Mulah yang menciptakannya. Dengan kata lain, kamu bias melakukan semua ini semata-mata adalah kurnia-Nya. Kalau kamu bangga dengan semua itu, kamu tidak ubahnya seperti seorang yang merasa bangga atas milik orang lain, bukan milikmu sendiri. Sangat boleh jadi sewaktu-waktu Allah akan merampasnya darimu, akibatnya hatimu kembali menjadi kosong daro kebajikan seperti perut seekor unta yang sedang kelaparan.


Syarat taubat ada 4 :

1. Menyesal dengan hati

2. Meninggalkan maksiat saat itu juga.

3. Bertekad tidak akan mengulangi perbuatan yang sama

4. Malu serta takut pada Allah, bukan kepada selain Allah


ada yang menyatakan termasuk syarat taubat adalah seperti berikut :

5. Mengaku berdosa

6. Sering membaca istigfar memohon keampunan


Dari Ali taubat itu mengandung 6 makna :

1. Menyesali dosa-dosa yang lalu dan bertekat tidak akan mengulangi lagi

2. Menyelesaikan kezaliman kepada orang-orang yang bersangkutan

3. Membiasakan jiwa untuk taat kepada Allah seperti ia pernah kamu biasakan untuk berbuat maksiat.

4. Menyedarkan jiwa bahawa taat itu sama dengan kepahitan dan maksiat itu sama dengan kemanisan.

5. Hiasilah jiwamu dengan ketaatan kepada Allah seperti kamu pernah menghiasinya dengan durhaka kepadanya.

6. Menangislah sebagai ganti tertawa yang sudah sering kamu lakukan.

BERKABUNG : benarkah dari ajaran islam?



Perkara ini perlu diingatkan. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi banyak negara lain yang ‘berlebihan’ dalam memuja pembesar mereka. Amalan berkabung selama 40 hari dengan pelbagai pantang larang atau pakaian tertentu sempena kematian pembesar negara atau kerabat diraja adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Perkara-perkara berikut perlu dijelaskan;

1. Dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari. Ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Surah al-Baqarah ayat 234: (maksudnya)
“Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu iddah) selama empat bulan, sepuluh hari..”.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berkabung dengan pantang larangnya mempunyai hikmat dan latar sejarah yang tersendiri. Walaupun asalnya amalan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, namun Islam membuang amalan buruk yang ada padanya dan mengekalkan atau menambah nilai-nilai baik yang dapat menjaga dan memelihara nama baik seorang isteri.

2. Hadis Nabi s.a.w:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
menunjukkan bahawa selain isteri, tidak dibolehkan berkabung melainkan keizinan atau kelonggaran kepada wanita yang kematian keluarga, dengan syarat tidak lebih dari tiga hari. Sebab itu dalam riwayat Zainab binti Abi Salamah, dia berkata,
“Aku masuk menemui Ummu Habibah r.ha iaitu isteri Nabi s.a.w ketika sampainya berita kematian ayahnya Abu Sufyan r.a dari negeri Syam. Pada hari ketiga setelah ayahnya (Abu Sufyan) meninggal, Ummu Habibah meminta minyak wangi lalu mengusapkannya pada kedua sisi wajahnya dan kedua pergelangannya. Beliau berkata: “Demi Allah! Aku sebenarnya tidak berkeinginan terhadap wangian, cumanya kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.aw. : “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan sepuluh hari”.
3. Telah wafat Rasulullah s.a.w sedangkan para sahabah baginda yang amat mengasihi baginda tidak melakukan amalan berkabung. Telah wafat para khalifah yang sangat mulia; Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan seluruh para sahabah Nabi s.a.w yang mulia, umat Islam tidak pernah membuat amalan berkabung! Telah meninggal ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz khalifah yang agung, umat Islam tidak berkabung. Padahal mereka lebih layak untuk ditangisi dan berkabung –jika diizinkan.

Generasi mereka lebih faham dan menghayati Islam dibandingkan kita. Telah meninggal ramai ulama yang sangat besar dan berjasa seperti para tabi’in, para imam hadis dan fekah, tidak pula umat Islam berkabung. Apakah ada sesiapa yang lebih mulia dari mereka semua untuk kita berkabung?!

4. Maka amalan berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah s.a.w dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah s.a.w, apakah kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka?! Sama sekali tidak. Kepada Allah kembali segala urusan!