Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Selasa, 25 Februari 2014

Memotret 2 kalimah Syahadah


Daripada Abu Abdirrahman, Abdullah bin Umar Al Khattab, dia berkata:

Aku mendengar Rasulullah saw berkata: “Islam dibangunkan di atas lima asas: (1) Persaksian bahawa tidak ada Ilah yang berhak disembah / diibadahi dengan benar, melainkan hanya Allah Ta’ala dan bahawa sesungguhnya Nabi  Muhammad saw adalah utusan Allah, (2) mendirikan solat, (3) menunaikan zakat, (4) haji ke Baitullah dan (5) berpuasa di bulan Ramadhan”.

(Hadis riwayat Al Bukhari no. 8, Muslim no. 16)


Takhrij Hadis

Hadis ini direkodkan oleh Imam Al Bukhari dan Imam Muslim daripada Ikrimah bin Khalid dari Abdullah bin Umar daripada Rasulullah saw.  Status hadis ini adalah shahih.


Rukun Islam

Dari hadis ini ditetapkan rukun Islam, iaitu syarat seseorang diiktiraf keislamannya. Seseorang dikatakan Islam secara zahir apabila dia melakukan lima perkara ini:

(1)    Mengucapkan syahadah dengan lidah
(2)    Mendirikan solat lima waktu sehari semalam
(3)    Menunaikan zakat yang diwajibkan
(4)    Berhaji di Baitullah
(5)    Berpuasa di Bulan Ramadhan

Apabila seseorang telah melakukan kesemua perkara ini maka dia dikatakan sebagai Muslim, sama ada dia melakukan secara tulus ikhlas atau pura-pura atau terpaksa. Sedangkan urusan hati setiap manusia adalah milik Allah Ta’ala dan kita sebagai manusia hanya menghukum manusia lain secara lahiriah sahaja.

Seseorang yang ingin memeluk Islam perlu mengucapkan dua persaksian (syahadatain) iaitu menetapkan bahawa sesembahan hanya hak milik mutlak Allah Ta’ala dan bahawa Nabi Muhammad saw itu adalah utusan dari Allah Ta’ala.

Sementara seorang yang telah lahir daripada sebuah keluarga Islam, mereka tidak perlu mengucapkan shadahatian ini kerana secara fitrahnya dia telah menjadi Muslim lantaran ayah dan ibunya seorang Muslim.  Tetapi mereka akan mengucapkan syahadatain ini ketika mendirikan solat setiap hari.

Kalimah syahadah merupakan asas kepada empat rukun yang lain, ia ibarat tiang seri yang menampung seluruh tiang yang lain. Maknanya diterima seluruh amal manusia dengan syarat dia mestilah bersyahadah terlebih dahulu, iaitu mengakui tauhid Ibadah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw.

Tentang solat pula, para ulama’ berselisih tentang hukum orang yang meninggalkan solat secara sengaja. Jumhur (kebanyakan ulama) menetapkan bahawa orang tersebut berdosa besar sementara Imam Al Mubarak, Imam Ahmad dan beberapa imam yang lain seperti Ibnu Ishaq dan Al Marwazi menetapkan hukum kafir. Ayyub As Sakhtiyani berkata: “Meninggalkan solat adalah kafir tanpa ada perdebatan di dalamnya” (riwayat Ibnu Rajab dalam Jamiul Ulum wal Hikam)
Mungkin pandangan yang lebih menghampiri kebenaran berada di kalangan jumhur dalam bab ini, walaupun sebenarnya jumhur ulama’  bukanlah penentu kepada kebenaran.

Seorang yang telah mengucapkan syahadatain dan bersolat, dan dia memiliki lebihan harta maka dia perlu untuk mengeluarkan harta tersebut untuk masyarakatnya. Lebihan harta yang wajib diberikan kepada masyarakat disebut sebagai zakat.

Jenis harta yang dikenakan zakat adalah:

(1)    Haiwan peliharaan iaitu unta, lembu dan kambing sahaja
(2)    Perhiasan Emas dan perak sahaja
(3)    Wang simpanan sama ada wang emas / perak atau not kertas seperti zaman sekarang
(4)    Kurma, kismis, gandum, barli dan padi sahaja
(5)    Zakat Rikaz iaitu harta karun yang dijumpai
(6)    Bahan galian yang dilombong seperti timah, besi dan selainnya
(7)    Zakat Fitrah berupa makanan ruji untuk Aidil Fitri

Selain daripada tujuh harta diatas, tidak diwajibkan zakat kepada setiap Muslim, melainkan jika dia ingin mengeluarkannya sebagai sedekah. Perbahasan tentang tahap jumlah harta yang perlu dizakat dan nilai zakat terhadap harta-harta tersebut amat panjang maka ia memerlukan sebuah perbincangan khusus.

Zakat adalah sebuah mekanisma untuk menstabilkan sosio ekonomi umat Islam dan sebagai tanggungjawab golongan kaya keatas golongan miskin. Oleh sebab itu, setiap umat Islam haruslah bercita-cita untuk menjadi kaya sehingga mampu mengeluarkan zakat. Telah dicatit bahawa Rasulullah saw dan para sahabatnya merupakan para jutawan. Begitu juga dengan para ulama silam, dimana mereka adalah orang yang memiliki harta yang banyak dan sering bersedekah.

Dengan harta yang banyak ini juga, mereka mampu untuk menunaikan haji di Baitullah. Setiap Muslim perlu menanam niat untuk menunaikan haji dan berusaha mengumpulkan wang dengan cara menabung. Tidak boleh pula berhutang untuk menunaikan haji seperti ada dilakukan oleh sesetengah orang.

Dalam masalah turutan iaitu apakah haji dahulu atau puasa maka para ulama’ berselisih. Jumhur menetapkan bahawa puasa didahulukan daripada haji. Menurut Imam an Nawawi dalam syarahnya terhadap hadis ini, dia berkata: “Demikianlah, dalam riwayat ini, haji disebutkan lebih dahulu dari puasa. Hal ini sekadar tertib dalam menyebutkan, bukan dalam hal hukumnya, kerana puasa Ramadhan diwajibkan sebelum kewajiban haji. Dalam riwayat lain disebutkan puasa lebih dahulu daripada haji”. (Syarah Muslim)

Terakhir adalah berpuasa sebulan di dalam Ramadhan, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Umat Islam yang berpuasa dilarang untuk makan dan minum serta melakukan hubungan intim antara suami isteri, sehinggalah mereka dibenarkan untuk berbuka tatkala tiba waktu magrib.

Dalam masalah rukun Islam ini, wujud perbahasan tentang seseorang yang tidak melaksanakan salah satu daripada rukun tersebut; apakah dia dikatakan kafir atau tetap dianggap Muslim dengan syarat telah bersyahadah?



Makna Laa Ilaaha Illallaah

Makna dari kalimat laa ilaaha illallaah” adalah laa ma’buda bi haqqin ilallaah” (tidak ada ilah (sesembahan) yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah Ta'ala. Ini membawa makna bahawa segala sesuatu tidak boleh diibadahi walaupun ia adalah malaikat dan nabi serta orang soleh. Mereka semua ini tidak layak untuk diberi pengibadahan, melainkan hanya milik mutlak Allah Ta’ala. Allah berfirman:


“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zhalim” (Yunus : 106)




Pentafsiran Yang Salah Terhadap Kalimah Laa Ilaaha Illallaah

Ada beberapa penafsiran yang salah tentang makna kalimat ‘laa ilaaha illallaah’ seperti di bawah:

- Menafsirkan kalimat laa ilaaha illallaah”  dengan “laa ma’bud illallaah” (tidak ada yang diibadahi kecuali semuanya Allah) yang membawa makna bahawa segala yang disembah itu adalah Allah. Ini membawa kepada faham sesat Wahdatul wujud yang jelas dikafirkan oleh para ulama’ Islam. Tafsiran ini menunjukkan bahawa ketika seorang menyembah batu, maka sebenarnya dia sedang beribadah kepada Alllah melalui ‘wasilah’ atau ‘perantaraan’ iaitu batu. Begitu juga ketika seseorang sedang sujud kepada matahari, dia hanyalah menggunakan makhluk tuhan yang tidak pernah berbuat salah - iaitu matahari – untuk menyampaikan hajatnya kepada Allah.

- Menafsirkan kalimat “laa ilaaha illallaah” dengan laa khaliq illallaah (tidak ada pencipta kecuali Allah); padahal makna ilah bukanlah dimaksudkan dengan khaliq iaitu pencipta. Sedangkan seluruh manusia telah mengetahui bahawa Allah adalah pencipta mereka, tetapi mereka mempersekutukan Allah dalam menyembah. Contohya masyarakat sekeliling kita yang beragama Nasrani, mereka mengetahui bahawa Tuhan Bapa yang menciptakan mereka namun mereka berdoa dan memohon serta berlindung kepada Tuhan Anak. 

- Menafsirkan kalimat “laa ilaaha illallaah” dengan “laa hakimiyyah illallaah” (tidak ada hak untuk menghukumi kecuali hanya bagi Allah) yang banyak dilaungkan oleh jamaah Islam. Pentafsiran ini disebut sebagai Tauhid Hakimiyyah. Para ulama’ Ahlus Sunnah telah membantah jenis pemahaman ini kerana ia diciptakan oleh Kaum Khawarij yang membunuh Ali ra dan memberontak kepada para Khalifah sesudah Khalifah Ar Ryasyidin seperti Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan. Apabila kita menetapkan bahawa segala ibadah hanya perlu disembahkan kepada Allah maka termasuklah secara sekaligus keyakinan bahawa Allah telah menetapkan segala hukum atas manusia.  Justeru Tauhid Hakimiyah telah tercakup dalam Tauhid Ibadah. Sementara mengeluarkan Tauhid Hakimiyah dari Tauhid Ibadah akan menyebabkan fungsi penyembahan akan hilang. Maknanya apabila seseorang itu beriman bahawa dia hanya wajib berdoa kepada Allah maka dia sebenarnya telah mengimani bahawa segala hukum adalah milik Allah, sementara seorang yang mengakui segala hukum adalah milik Allah belum tentu dia akan menyembah Allah.




Rukun Kalimah Syahadah


Jika diperhatikan seluruh rukun Islam yang lain seperti solat, haji, zakat dan puasa; memiliki rukun dan syarat sah. Maka begitu pula dengan kalimah Syahadatain, juga memiliki syarat dan rukun. Kalimah Laa Ilaaha Illallaah memiliki dua rukun iaitu:


(1)    Nafi  (mengingkari). Iiaitu mengingkari (menafikan) semua yang disembah selain Allah
(2)    Isbat (menetapkan). Iaitu menetapkan ibadah hanya kepada Allah Ta'ala saja.

Sementara itu kalimah Muhammad Rasulullah memiliki rukun seperti di bawah:

(3)    Mentaati apa yang Baginda perintahkan
(4)    Membenarkan apa yang Baginda sampaikan
(5)     Meninggalkan apa yang Baginda larangkan
(6)    Beribadah kepada Allah dengan apa yang telah Baginda tunjukkan


Syarat Diterima Kalimah Syahadah


Kalimah syahadah ini hanya boleh diterima dengan tujuh syarat iaitu:


(1)    Ilmu (memiliki pengetahuan tentang kalimah ini)
(2)    Yakin (meyakinin dengan sepenuh hati terhadap kalimah ini)
(3)    Qabul (menerima tanpa paksa terhadap tuntutan kalimah ini)
(4)    Inqiyad (menyerah diri dan patuh kepada segala tuntutan kalimah ini)
(5)    Sidiq (membenarkan kalimah ini tanpa penafian atau kemunafikan)
(6)    Ikhlas (mengucapkan kalimah ini dengan penuh ikhlas bagi mengharapkan kebenaran)
(7)    Mahabbah (mencintai untuk mengucapkan kalimah ini dan mencintai tuntutannya dan orang lain yang mengucapkannya)


Pembatal Keislaman

Ada 10 pembatal Keislaman yang dinukilkan oleh Imam Muhammad At Tamimi dalam kitabnya Nawaqidul Islam iaitu:

  1. Mempersekutukan Allah dalam ibadah
  2. Menjadikan sesuatu sebagai perantara antara dia dengan Allah dalam ibadah seperti orang soleh, para wali, malaikat serta para nabi. Dia berdoa kepada mereka, meminta syafa’at kepada mereka serta bertawakkal (berserah diri) kepada mereka
  3. Tidak menganggap kafir orang musyrik, atau ragu dengan kekafiran mereka, atau menganggap ajaran mereka bagus atau menganggap bahawa agama mereka juga benar
  4. Berkeyakinan bahawa tuntunan selain tuntunan Nabi Muhammad saw  lebih sempurna, atau berkeyakinan bahawa hukum selain dari beliau lebih baik
  5. Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw
  6. Memperolok–olok sesuatu dari ajaran Rasulullah saw, atau memperolok – olok pahala mahupun siksaan yang telah menjadi ketetapan agama Allah
  7. Sihir dan bomoh serta beriman kepada ajarannya
  8. Membantu dan menolong orang musyrik untuk memusuhi kaum muslimin
  9. Berkeyakinan bahawa sebahagian manusia diperbolehkan tidak mengikuti syari’at Nabi Muhammad saw
  10. Berpaling dari agama Allah iaitu murtad

Syeikh Bin Baz menjelaskan keselupuh perkara ini walaupun dilakukan secara main-main, tetap akan jatuh dalam kekufuran:

“Dalam hal- hal yang membatalkan keislaman ini , tidak ada perbezaan hukum antara yang main-main, yang sungguh- sungguh ( yang sengaja melanggar ) ataupun yang takut, kecuali orang yang di paksa. Semua itu merupakan hal- hal yang paling berbahaya dan paling sering terjadi. Maka setiap muslim hendaknya menghindari dan takut darinya. Kita berlindung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dari hal- hal yang mendatangkan kemurkaan Nya dan kepedihan siksaanNya. Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada makhluk Nya yang terbaik, para keluarga dan para sahabat beliau” (lihat Nawaqidul Islam)


Syirik Dan Jenis-Jenisnya

Syirik adalah mempersekutukan Allah Ta’ala. Boleh dipecahkan kepada dua iaitu syirik Akhbar yang mengeluarkan seseorang dari Islam dan Syirik Asghar yang dikatakan sebagai ‘Kufrun Duuna Kufrin’ (Kekufuran di bawah Kekufuran Besar), iaitu syirik yang masih tidak mengeluarkan seseorang dari Islam namun ia tetap dosa besar.

Syirik Akhbar dapat dikelompokkan kepada empat jenis iaitu:

  1.  Syirik Doa, seperti memohon pertolongan, perlindungan, atau menggunakan perantaraan dengan makhluk Allah dalam berdoa kepada Allah.
  2. Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan. Iaitu dia melakukan sesuatu ibadah, lalu meniatkan secara mutlak kepada selain Allah.
  3. Syirik Ketaatan iaitu mentaati para alim agama di dalam melakukan sesuatu hal yang terlarang seperti yang dilakukan oleh kaum Nasrani ketika mereka mentaati para rahib mereka. Golongan yang menjadikan para  alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan itu -dengan cara mentaati mereka di dalam menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah- terbahagi menjadi dua golongan iaitu (1)jika mereka menyakini tindakan alim agama yang mengharamkan hal yang halal dan menghalalkan yang haram dalam mereka sedar itu bertentangan dengan syariat Allah maka mereka kafir dan (2) jika keyakinan mereka terhadap hukum asal sebagaiman di dalam syariat Allah tidak berubah, cuma mereka mentaati pemimpin agama mereka di dalam derhaka kepada Allah seperti seorang Islam yang melakukan maksiat akan tetapi dia menyakini bahawa apa yang dia lakukan ialah maksiat maka dia berdosa.
  4.  Syirik Cinta iaitu orang yang menyembah tandingan tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah sementara orang yang beriman sangat cinta kepada Allah sahaja.


Tidak Berhukum Dengan Syariat Allah


Allah Ta’ala berfirman :

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maaidah : 44)

Hari ini, malah zaman ini, telah banyak fenomena pengkafiran berlaku kepada para pemerintah yang tidak menegakkan Hudud, berdalil dengan firman Allah diatas. Namun mereka sebenarnya lupa atau tidak mengetahui bahawa para sahabat memahami ayat tersebut tidak seperti yang mereka fahami.

Ibnu ‘Abbas ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Sesungguhnya ia bukanlah kekufuran sebagaimana yang mereka (Khawarij) maksudkan. Ia bukanlah kekufuran yang mengeluarkan dari agama (murtad). ‘Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir’; yaitu kekufuran di bawah kekufuran (kufrun duuna kufrin)”. (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi, Said bin Manshuur, Ahmad, Al Marwazi, Ibnu Abi Haatim, Ibnu ‘Abdil Barr, Al-Haakim, shahih)

Oleh sebab itu, seseorang yang tidak menjalankan hidupnya berasaskan syariat Allah, perlu diketahui alasan pelanggaran mereka, sama ada kerana terpaksa, atau nafsu atau sengaja. Hal ini telah lama dijelaskan oleh para ulama Ahlus Sunnah zaman berzaman.

Imam  Ibnu ‘Abdil Barr Al Andalusi berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa kecurangan dalam hukum termasuk dosa besar bagi yang sengaja berbuat demikian dalam keadaan mengetahui akan hal itu. Diriwayatkan atsar-atsar yang banyak dari salaf tentang perkara ini. Allah Ta’ala berfirman : (Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir) , (orang-orang yang zalim), dan (orang-orang yang fasiq) ; ayat ini turun kepada Ahli Kitab. Hudzaifah dan Ibnu ’Abbas telah berkata : “Ayat ini juga umum berlaku bagi kita”. Mereka berkata :  “Bukan kekafiran yang mengeluarkan dari agama apabila seseorang dari umat ini (kaum muslimin) melakukan hal tersebut hingga ia kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan hari akhir. Diriwayatkan makna ini oleh sejumlah ulama ahli tafsir, diantaranya : Ibnu ’Abbas, Thawus, dan ’Atha’”  (lihat At-Tamhiid)

Kemudian Imam berkata lagi: “Dan sungguh telah sesat sekelompok ahlul bida’ dari Khawarij dan Mu’tazillah dalam bab ini. Mereka berhujjah dengan atsar-atsar ini dan yang semisal dengannya untuk mengkafirkan orang-orang yang berbuat dosa. Mereka juga berhujjah dengan ayat-ayat Kitabullah tidak sebagaimana zahirnya seperti firman Allah ’azza wa jalla: ”Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (lihat At-Tamhiid)


Begitu juga dihuraikan oleh Imam Ibnul Jauzi dalam menilai seseorang yang tidak menegakkan hukum Allah:

“Bahawa barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah dalam keadaan mengingkari akan kewajiban (berhukum) dengannya padahal dia mengetahui bahawa Allah-lah yang menurunkannya – seperti orang Yahudi – maka orang ini kafir. Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa-apa yang diturunkan Allah kerana condong pada hawa nafsunya - tanpa adanya pengingkaran – maka dia itu zalim dan fasiq. Dan telah diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas bahawa dia berkata: ‘Barangsiapa yang mengingkari apa-apa yang diturunkan Allah maka dia kafir. Dan barangsiapa yang masih mengikrarkannya tapi tidak berhukum dengannya, maka dia itu zalim dan fasiq" (lihat Zaadul-Masiir)

Umum perlu ketahui bahawa Hukum Allah itu terlalu banyak meliputi pelbagai hal dan cabang. Hukum yang paling agung dan besar sehingga menjadi asas kepada seseorang adalah Hukum Aqidah. Sementara Hukum Hudud adalah sebuah hukum yang terakhir dilaksanakan setelah segala hukum aqidah dan prasarana untuk menegakkan Hudud telah terlaksana. Hudud adalah kemuncak hukum, ia ibarat puncak kepada sebuah pyramid dimana segala sisi dan bahagian telah siap dibina.

1 ulasan:

IBU PUSPITA berkata...

Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIREN dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIREN di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIREN saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIREN karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI.... KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI












Saya ingin berbagi cerita kepada anda bahwa saya ini IBU PUSPITA seorang TKI dari malaysia dan secara tidak sengaja saya buka internet dan saya melihat komentar ibu hayati yg dari honkong tentan MBAH KABOIREN yg telah membantu dia menjadi sukses dan akhirnya juga saya mencoba menghubungi beliau dan alhamdulillah beliau mau membantu saya untuk memberikan nomor toto 6D dan alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus,kini saya sangat berterimakasih banyak kepada MBAH KABOIREN dan jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi MBAH KABOIREN di 085-260-482-111,saya juga tidak lupa mengucap syukur kepada ALLAH karna melalui MBAH KABOIREN saya juga sudah bisa sesukses ini dan jangan mudah percaya kepada MBAH yg lain selain MBAH KABOIREN karna saya juga pernah mengalami yg namanya dibohongin sama para normal yg lain,ini bukan rekayasa dari saya melainkan ini kisah nyata dari seorang TKI.... KLIK _ GHOB _ 2D 3D _ 4D _ 6D _ DISINI