Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Selasa, 24 Jun 2008

MASTIKA HADIS

( kitab ini disalin semula dari kitab asal MASTIKA HADIS jld 1
oleh Ust Mohd Reza Hj Kamaruddin Al-Banjari
tanpa menyunting satu hurufpun untuk memudahkan pembaca yang tidak boleh membaca Jawi )

KITAB MASTIKA HADIS jld 1

Bab Pertama

Sebenar-benar perkataan dan sebaik-baik jalan pimpinan


1. Daripada Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu katanya: pernah Rasulullah SAW apabila berpidato merah menyala matanya,lantang suaranya, dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera ( tentang kedatangan musuh ) dengan katanya : bahawa musuh akan dating menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan ( mungkin ) pada waktu petang ; serta baginda bersabda :” ( masa ) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini”, lalu baginda menyatukan kedua jari tanganya, jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi ; “ ( ketahuilah ) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitabullah, dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad SAW dan ( sebaliknya ) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu ( yang diadalakan dalam Agama ), sedang tiap-tiap perkara baharu ( yang diadakan dalam Agama ) itu adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah itu sesat”. Kemudian baginda bersabda lagi ; “ Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, sesiapa yang meninggalkan hartabendanya maka itu adalah untuk waris-warisnya dann sesiapa yang meninggalkan hutang, atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepada ku menjaganya, dan akulah yang menanggung hutangnya”

Hadis riwayat Muslam dan lain-lainnya.


Hadis yang pertamanya ini mengandungi tentang

i. Gaya Rasulullah SAW semasa berpidato.
ii. Masa baginda diutus oleh Allah SWT dan saat berlakunya qiamat.
iii. Kitab Allah ( Al-Quran ) ialah sebenar-benar perkataan, dan jalan pimpinan Rasulullah SAW ialah sebaik-baik jalan pimpinan.
iv. Perkara-perkara baharu yang diadakan dalam Agama adalah seburuk-buruk perkara.
v. Keadaan Rasulullah SAW dengan orang-orang mukmin.




Huraianya:

Pertama : Gaya Rasulullah Saw semasa berpidato :

Tabligh ( tugas menyampaikan perintah-perintah agama ) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah SAW, manakala pidato adalah salah satu cara bagi baginda menjalankan tugas Tabligh, dengan jalan pidato, Rasulullah SAW menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan, dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.

Semasa berpidato, tergambar pada anggota-angota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikanya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, sepertti berlakunya qiamah. Baginda melafazkanya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan dating menyerbu entah pada waktu pagi atau petang.

Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerak-geri dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesanya kepada mereka.

Kedua : masa baginda diutus dan saat berlakunya qiamat.

Meskipun masa berlakunya hari Qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah SAW telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya Qiamat itu telah hampir.

Baginda membuat bandingan tentang kehampiranya itu, seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa baginda diutus dengan masa berlakunya Qiamat, tidak ada Rasul yang membawa Wahyu yang lain yang menyelanginya; atau bezanya masa berlakunya Qiamat dengan masa Rasulullah SAW diutus adalah seperti beza panjangnya jari tengah dengan jari telunjuk.






Ketiga : Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan.

Benar : bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaanya yang sebenar. Ketepatanya itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakanya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah SWT.

Kitab Allah, kitab suci Al-Quranul Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, samada yang sebelum daripada masa turunya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunya hingga hari qiamat.

Mengenainya perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qurannul Karim telah menceritakanya dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat, dan apa yang telah diceritakanya itu tidak ada sesiapapun yang yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.

Demikian juga, mengenainya perkara-perkara yang akan datang, al-Quran telahpun menceritakanya, dan diantaranya ada yang telah berlakunya menjadi kenyataan sebagaimana yang diceritakanya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.

Ini adalah diantara bukti-bukti yang menunjukan bahawa kisah dan kejadian-kejadian yang tersebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-nahagian yang lain, seperti seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran, dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah adalah meliputi segala-galanya.


Pimpinan Rasulullah SAW

Nabi Muhammad SAW diutus untuk memimpin umat manusia kejalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati, jalan pimpinan baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan Wahyu Malaikat yang diutus oleh Allah Azawajalla pencipta seluruh alam.

Dalam buku-buku karangan mengenai pemimpin-pemimpin dunia yang mashur, terdapat Nabi Muhammad SAW disebut dari jumlah mereka. Ya ! sungguh benar, baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benar ialah pimpinan Rasulullah SAW tidak boleh ditanding dengan pimpinan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Keempat ; perkara-perkara baharu yang diadakan dalam agama.

Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah SAW, Athsar Sahabat dan Ijmak Ulama’.

Perkara-perkara baharu yang demikian, itulah dia BID’AH yang merupakan jalan baharu yang menyelewing dari jalan yang sebenar. Maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagian sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan diakhirat kelak, dan jalan keakhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapa pun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar, dan balasan yang seburuk-buruknya.



Kelima : keadaan Rasulullah SAW dengan orang-orang mukmin.

Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang lain, tetapi Rasulullah SAW berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.

Dengan sifat seorang pemimpin Negara dan pemimpin agama, yang membawa perutusan dari Allah SWT, baginda mencurahkan segala daya upaya, segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat didunia dan diakhirat, jauh sekali baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan, dan tidak sekali-kali baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.

Diantara cara-cara baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung, dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.

Tiada ulasan: