Islamic Widget



Abdullah bin Umar radhiyallohu 'anhu berkata, "Manusia akan senantiasa berada di jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi shalallahu alayhi wasallam". (HR. Baihaqi, Miftahul Jannah no.197)

Rabu, 1 April 2015

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 5.

5.3 ZINA



PENGERTIAN ZINA

Zina ialah persetubuhan haram melalui alat kelamin lelaki dan wanita di luar perkahwinan yang sah, sama ada pasangan itu melakukannya secara suka sama suka, dengan bayaran ataupun tidak, sama ada perkosaan atau tidak, sama ada ia dilakukan oleh seorang dewasa dan pasangannya tidak dewasa, sama ada dilakukan oleh suami, isteri atau tidak, sama ada dilakukan oleh orang yang pernah bersuami atau beristeri atau tidak. Semua hubungan seks di luar perkahwinan yang sah, dinamakan zina.


HUKUM ZINA

Zina adalah satu perbuatan keji yang termasuk dalam kelompok dosa-dosa besar.
Antara dalil-dalil daripada hadith berkaitan pengharaman zina adalah:


Sabda Rasulullah:

“Tidak ada dosa sesudah syirik dengan Allah lebih besar dari benih yang ditumpahkan oleh seorang lelaki dalam kemaluan perempuan yang tidak halal baginya.”
(Hadith riwayat Ibnu Abi Ad-Dunia (dhaif).)

“Barangsiapa yang berzina atau meminum khamar, Allah mencabut iman daripadanya bagaikan orang mancabut baju dari kepalanya.”
(Hadith riwayat Al-Hakim (dhaif).)

JENIS-JENIS ZINA

A. PENZINA MUHSHAN:

Yang dimaksudkan dengan penzina muhshan ialah lelaki 
atau wanita yang telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, sama ada keluar mani atau tidak, sama ada masih dalam ikatan perkahwinan ataupun telah bercerai. Hukuman yang diancam ialah uqubah di dunia dan ‘iqab di akhirat. Di dunia dikenakan hukuman mati iaitu direjam sampai mati.

SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN

1. Berakal waras

Orang gila tidak dikenakan hukuman rejam,hanya dikenakan hukuman Ta’zir sahaja. Orang mabuk yang berzina tidak terlepas dari hukuman rejam kerana ia mabuk atas kerelaannya sendiri dan ia tahu bahawa pemabukan boleh membawa akibat yang berat, kecuali ia dipaksa untuk minum atau tersalah minum lalu mabuk lalu melakukan zina, maka ia terlepas dari hukuman.

2. Orang dewasa

3. Orang merdeka

Hukuman terhadap hamba hanyalah separuh hukuman orang merdeka.

4. Telah menikmati hubungan seks (sanggama) dalam perkahwinan yang sah, walaupun tidak sampai keluar mani.

5. Zina itu dilakukan dengan sukarela. Orang yang dipaksa berzina atau tersalah orang tidak dikenakan hukuman rejam.


Pendapat golongan Asy-Syafie, Maliki dan Hanbali.

Tidak dikenakan hukuman rejam apabila seorang lelaki berzina dengan seorang wanita yang tidur di kamar rumahnya kerana menyangka ia adalah isterinya kerana walaupun ia termasuk dalam kategori zina, tetapi ada mempunyai ciri-ciri subhat, di mana subhat menggugurkan Hudud.

Pendapat golongan Hanafi

Wajib dikenakan hukuman Had kerana tidak mungkin si lelaki tidak kenal isterinya sendiri melalui sentuhan, baunya atau suaranya.

Pendapat Imam Abu Hanifah

Berzina dengan wanita yang diupah tidak dikenakan hukuman hudud kerana upah itu dikira sebagai maharnya. Pendapat beliau ditentang keras oleh para ulama’ termasuklah sahabat-sahabatnya. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang naqli dan akli. Jika menurut pendapat beliau, orang yang berzina dengan pelacur terlepas hukuman had kerana telah membayar upah kepada wanita yang ditiduri itu.

Pendapat Imam Ibnu Hazm

Lanjutan daripada kes Imam Abu Hanifah, beliau pula menyatakan dengan tegas bahawa penzinaan antara lelaki dan perempuan yang diupah lebih hina daripada penzinaan tanpa upah, malahan penzina yang mengambil upah telah melakukan haram yang lain lagi, iaitu memakan harta dengan jalan yang batil.


SABIT KESALAHAN ZINA

1. Pengakuan penzina sendiri.

Pengakuan adalah penghulu segala dalil dan menjadi bukti atas kesalahan yang telah dilakukannya. Pengakuan penzina perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut:


Berakal

Pengakuan mestilah dibuat secara lisan

Dewasa

Dengan sukarela

Bilangan pengakuan


Menurut Asy-Syafie, Maliki, Al-Hasan, Daud, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Thaur, dan Ath-Thabari berpendapat bahawa pengakuan cukup dengan hanya sekali sahaja.



Menarik balik pengakuan

Apabila seorang penzina menarik balik pengakuannya, maka tidaklah ia dikenakan hukuman. Demikianlah pendapat menurut golongan Asy-Syafie, Hanafi, dan Ahmad.


2. Persaksian oleh empat orang saksi


Kesalahan zina menjadi sabit apabila ia disaksikan oleh persaksian yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:


Persaksian dibuat oleh empat orang saksi. Jika persaksian kurang daripada empat orang, ia tidak diterima bahkan mereka dikenakan hukuman lapan puluh kali rotan kerana menuduh tanpa saksi yang cukup.

Semua saksi hendaklah lelaki.

Semua saksi hendaklah beragama Islam

Semua saksi terdiri daripada orang dewasa

Semua saksi berfikiran waras

Tuduhan dengan menggunakan perkataan yang terus-terang, bukan perkataan sindiran.

Melihat kesalahan zina itu dengan terus-terang, secara jelas melihat kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan.

Persaksian keempat-empat hendaklah dibuat dalam satu majlis, bukan di tempat yang berlainan dan masa yang berlainan.


Dari Ibnu Abbas, "Hendaklah engkau bawakan empat orang saksi dalam menuduh zina terhadap seseorang, atau hukuman sebat ke atas belakangmu"
(Hadis riwayat Bukhari)


3. Kerana si wanita mengandung

Menurut pendapat kebanyakan ulama’ wanita yang mengandung tanpa suami, tanpa diketahui siapa bapanya, ia tidaklah dikenakan had semata-mata, tetapi hendaklah dengan pangakuannya atau persaksian oleh empat orang saksi, sebab kandungan itu mungkin kerana hubungan seks dalam perkahwinan fasiq, mungkin kerana dipaksa, atau mungkin kerana hubungan seks yang dilakukan ke atasnya tanpa kesedarannya semasa tidur atau sebab-sebab lain.

UQUBAH KE ATAS PENZINA MUHSHAN

Hukuman had atas penzina muhshan ialah direjam sampai mati. Tidak ada perbezaan pendapat antara ulama’ mengenai hukuman ini.


Dari Sulaiman bin Buwaidah, Maiz bin Malik pernah datang menemui baginda Rasulullah saw, maka dia berkata "Wahai utusan Allah, sucikanlah diriku!". 

Jawab baginda "Kasihan engkau. Pulanglah dan mohon ampun kepada Allah serta taubatlah padanya." Lalu pulanglah Maiz dan tidak lama selepas itu, dia datang kembali dan menyatakan perkara yang sama seperti tadi. 

Peristiwa ini berulang sehinggalah sampai kali keempat, baginda bertanya "Apakah yang aku boleh tolong untuk menyucikan dirimu?". 

Jawab Maiz "Sucikan diriku dari dosa zina!". Maka baginda bertanya kepada semua sahabat yang ada "Adakah Maiz ini ada penyakit gila?" 

Maka mereka menjawab bahawa Maiz tidak berpenyakit gila. Baginda bertanya lagi "Adakah Maiz ini peminum arak?". Maka bangun seorang dari kalangan sahabat lalu cuba menghidu-hidu bau pada Maiz dan tidaklah didapati bau arak padanya. 

Lalu baginda bertanya lagi, "Wahai Maiz, adakah engkau benar-benar telah melakukan zina?" Maka Maiz menjawab, "Ya!". Maka baginda memerintahkan agar Maiz dibawa untuk hukuman rejam.

(Hadis ini mutawwattir, Riwayat Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Ya'ala, Al-Bazzar, at-Tabroni. rujuk juga kitab Jamie' al-Usul (4/279), Nailul Awtar (7/95 & 109), Majma' az-Zawaid (6/266), Nasbur Rayah (3/314), Subulus Salam (4/6), at-Talkhis al-Habir (ms 350))


CARA PELAKSANAAN HUKUMAN REJAM

Hukuman hendaklah dilakukan secara terbuka dan dipersaksikan oleh sekumpulan orang Islam, baik mengenai hukuman rotan mahupun rejam.

Hukuman bagi wanita yang sedang mengandung hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan selesai menyusukan anaknya dalam tempohnya, jika tidak ada orang lain yang akan menyusukan anaknya.

Wanita yang direjam hendaklah direjam sambil duduk, manakala lelaki hendaklah direjam sambil berdiri, begitulah menurut Jumhur ulama’

Pakaian orang yang dikenakan hukuman rejam hendaklah diikat baik-baik supaya tidak terbuka auratnya ketika menggelepar kesakitan semasa direjam.

Menurut Abu Hanifah, orang yang menjadi saksi wajib menjadi orang pertama merejam. Jika wanita itu membuat pengakuan sendiri, maka pemimpin negara atau wakilnya wajib memulakan hukuman itu.
Menggali lubang untuk orang yang direjam.


B. PENZINA BUKAN MUHSHAN

Penzina bukan muhshan ialah lelaki atau wanita yang belum pernah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun telah melakukan hubungan seks itu di luar perkahwinan yang sah.

UQUBAH KE ATAS PENZINA BUKAN MUHSHAN

Hukuman yang wajib ke atas penzina bukan muhshan ialah:

Cambukan rotan seratus kali

Pembuangan negeri (Daerah) selama setahun


SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN HUKUMAN

Syarat-syarat pelaksanaan had, syarat-syarat yang dikenakan ke atas pesalah serupa dengan syarat-syarat yang dikenakan ke atas penzina muhshan. Demikian pula mengenai sabitnya kesalahan, iaitu melalui pengakuan, persaksian, dan kehamilan.


CARA PELAKSANAAN UQUBAH

Wanita yang hamil hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan setelah tempoh penyusuannya tamat.

Penzina yang sedang sakit ditangguh sampai ia sembuh.

Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

Pesalah dirotan sambil ia duduk.

Cambukan rotan boleh dikenakan kepada seluruh anggota badan, kecuali kepala, muka dan kemaluan. Demikian menurut pendapat Asy-Syafie, dan Abu Hanifah.

Rotan yang digunakan adalah rotan yang sederhana besarnya, tidak besar dan tidak pula kecil, dan jika pelepah tamar yang digunakan, maka hendaklah menggunakan pelepah tamar yang separuh kering.

Jika hukuman itu dikenakan atas dasar pengakuan pesalah sendiri, maka hukuman dihentikan atau digugurkan jika pesalah menarik balik pengakuannya.

Pelaksanaan hukuman rotan hendaklah dipersaksikan oleh segolongan orang-orang mukmin.

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 4.

5.0 AL-HUDUD


5.1 RIDDAH

Perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang mukallaf dinamakan riddah dan orang yang melakukannya dinamakan Murtad.

Riddah berlaku kerana salah satu sebab dari tiga sebab yang berikut:

Rosaknya keyakinan hati, atau
Mengucapkan perkataan-perkataan kufur, atau
Melakukan perbuatan-perbuatan kufur.

Perbuatan Riddah dikira sah apabila seseorang tidak memperakui Allah adalah Tuhannya, Rasulullah adalah utusan-Nya, tidak mempercayai kewujudan Hari Kiamat, tidak mempercayai Qada’ dan Qadar, tidak mempercayai kewujudan Malaikat, dan tidak memperakui kesahihan Al-Quran, di mana ia melibatkan keguguran iman seseorang apabila melanggar Rukun Iman. Penafian atau menentang perintah Allah seperti Solat lima waktu, mengerjakan Haji, menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan cara pemujaan atau sembahyang agama lain juga termasuk dalam perbuatan Riddah.


SYARAT-SYARAT RIDDAH

Riddah baru dikira sah apabila mempunyai syarat-syarat yang berikut:

Yang melakukan riddah adalah orang Islam. Tidak dikira murtad orang yang beragama Yahudi memasuki agama Nasrani atau dan lain-lainnya.

Yang melakukan riddah adalah orang dewasa.

Yang melakukan riddah adalah berfikiran waras. 

Kanak-kanak atau orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh kerana itu ia tidak dikenakan hukuman had.

Tetapi kanak-kanak yang murtad wajib dikenakan hukuman ta’zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.

Perbuatan Riddah itu dilakukan dengan sengaja, bukan kerana tersalah atau terlupa dan bukan kerana paksaan. Perbuatan riddah yang tidak sengaja atau terpaksa adalah tidak sah dan orang yang melakukannya tidak bersalah. 


Sebagai contoh kisah ‘Ammar bin Yasir daripada keluarga Yasir yang diseksa oleh golongan Arab Quraisy dikepalai Abu Jahal. ‘Ammar mengaku dengan lidah keluar".


Perbuatan riddah itu meyakinkan dan tidak meragukan sama sekali. Mempunyai bukti-bukti yang terang, dengan pengakuan atau dengan persaksian yang adil saksama. Seseorang tidak boleh dituduh secara melulu.


UQUBAH ATAS ORANG MURTAD

Orang murtad adalah halal darahnya, dan wajiblah dikenakan hukuman mati. Dalilnya ialah:

"Barangsiapa sahaja yang menukar agamanya (keluar dari Islam), maka hendaklah dia dibunuh."(Bukhari (2/280), Abu Daud (4351), At-Tirmizi (145), Nasaie (7/104), Ahmad (1/282)


Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan (muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang.”
(Hadith Muttafaq ‘Alaih, Riwayat Bukhari, Muslim)


*muhshan: orang yang dah menikmati hubungan seks di alam perkahwinan, samada masih berpasangan atau dah bercerai atau kematian pasangan.


Cara membunuh orang murtad ialah dengan memenggal lehernya dengan pedang, berdasarkan hadith berikut:


“Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy’ari di Yaman, tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Mu’az berkata: Apa ini? Abu musa menjawab: Seorang lelaki Yahudi memeluk Islam kemudian ia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali ke dalam Islam semenjak dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya, lalu orang itupun dipenggal lehernya. Berkatalah Mu’az: Allah dan Rasul-Nya memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh akan dia.” (Diriwayatkan Ahmad)


TAUBAT ORANG MURTAD

Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh bertaubat, lalu jika ia bertaubat maka taubatnya diterima dan gugurlah ia dari hukuman mati.


Akan tetapi, jika ia tidak mahu bertaubat, maka ia dikenakan hukuman mati itu. 


Para ulama’ tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh taubat) terhadap orang murtad:

1) Sebahagian besar para fuqaha berpendapat bahawa hukum menyuruh orang murtad bertaubat sebelum dibunuh adalah wajib. Termasuk dalam golongan yang berpendapat demikian ialah mazhab Maliki, Hambali, Asy-Syafi’e, Syi’ah Zaidiah, Ath-Thauri, dan Al-Auza’i.

2) Abu Hanifah dan pendapat lain dari yang di atas berpendapat bahawa istitabah itu hanya sunat.

3) Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa istitabah itu bukanlah kewajipan dan bukanlah satu larangan.

4) Al-Hasan Al-Bashri, Thawus dan lain-lain lagi berpendapat, bahawa orang murtad itu wajib dibunuh segera dan tidak perlu diberi tempoh untuk bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang sah.


Mengenai tempoh taubat pula para ulama’ berselisih pendapat pula. Ada yang mengatakan tiga hari, sebulan dan ada yang mengatakan lebih daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak ada dalil yang sah yang membataskan tempoh itu, semuanya bergantung pada ijtihad hakim.


AKIBAT-AKIBAT RIDDAH

Selain dari uqubah (hukuman mati terhadap golongan murtad) sepertimana yang telah dinyatakan, maka riddah menimbulkan akibat-akibat hukum yang berikut:


1. Hubungan perkahwinan menjadi putus.

Apabila salah seorang suami atau isteri murtad, maka terputuslah perkahwinan antara kedua-duanya. Pemutusan perkahwinan kerana riddah ini dikira sebagai Fasakh.

2. Kehilangan hak perwalian

Orang yang murtad tidak boleh menjadi wali kepada orang Islam dalam apa bidang sekalipun.

3. Kehilangan hak pusaka

Orang murtad menurut hukum kedudukannya adalah lebih rendah daripada kafir biasa, maka ia kehilangan hak untuk menerima pusaka dari keluarganya.

4. Kehilangan hak persaksian

Orang yang hendak menjadi saksi mestilah orang Islam yang adil. Orang Islam yang fasiq tidak diterima sebagai saksi. Orang kafir tidak boleh menjadi saksi walaupun ia kafir Zimmi, kecuali dalam perkara wasiat orang Islam yang hendak meninggal dunia dalam perjalanan apabila tidak ada orang Islam.


5. Kehilangan hak dalam pimpinan dan jawatan

Jika seorang yang murtad itu telah menjadi pemimpin bagi orang Islam, maka secara hukum telah kehilangan peranannya dan sudah tidak berhak lagi untuk memimpin dan mengurus orang Islam.


5.2 PEMABUKAN



PENGERTIAN KHAMAR (ARAK)

Khamar ialah sesuatu yang memabukkan, yang merosakkan akal sama ada cecair yang dinamakan arak atau pepejal yang dinamakan candu. Semua bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan apapun ia dibuat.


MINUM KHAMAR ADALAH DOSA BESAR

Khamar adalah ibu dari segala kejahatan dan kejijikan, meminumnya termasuk salah satu dosa besar, bahkan iman peminumnya diragui.


UQUBAH KE ATAS PEMABUKAN

Tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ mengenai hukuman rotan yang wajib dikenakan atas peminum arak, cuma mereka berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan itu.

1. As-Syafi’e berpendapat, bahawa sebatan itu adalah 40 kali sebatan.

Pendapat ini didasarkan kepada Hadith, Riwayat Muslim, bahawa ‘Ali r.a merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian beliau berkata:

Rasulullah s.a.w. telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).

2. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laith, keluarga Rasul dan satu pendapat lain dari Asy-Syafi’e menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan.


ALAT UNTUK MEROTAN PEMINUM


Tiada sabit dari Rasulullah s.a.w. bahawa beliau menetapkan alat-alat yang tertentu untuk memukul peminum arak. Kadang-kadang beliau memukul dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang dengan rotan dan pelepah tamar, kadang-kadang dengan tangan dan selipar.


SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN

Untuk melaksanakan hukuman (uqubah) atas peminum arak disyaratkan syarat-syarat yang berikut:

Peminum hendaklah berfikiran waras.

Peminumnya hendaklah seorang dewasa. Kanak-kanak tidak dikenakan hukuman had rotan, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir menurut ketentuan hakim.

Dengan sengaja meminum arak.

Peminum mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak.


SABITNYA KESALAHAN


Kesalahan pemabukan ini disabit melalui salah satu dari dua cara:

Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri.

Dengan persaksian oleh dua orang saksi yang adil.

HUKUM BERUBAT DENGAN KHAMAR

Sepakat para ulama’ bahawa arak haram hukumnya dan termasuk salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang bukan Islam, dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.

"Rasulullah saw bersabda, "Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit."
(Sunan Ibnu Majah, no 3392, jilid 3, bab 30)


HUKUM MENCARI REZEKI DENGAN KHAMAR


Setiap orang mukallaf wajib mencari rezeki untuk menyara hidupnya dan keluarganya. Ia termasuk ibadat. Oleh kerana khamar diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan ia pula termasuk dalam dosa besar yang diancam dengan uqubah dan ‘iqab, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu. 

Pengharaman ini meliputi semua pekerja di kilang-kilang khamar, pengangkutan, ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar, pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.


Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi, dan patung-patung berhala.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

HUKUM HUDUD ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 3.

4.0 HUDUD, QISAS, TA’ZIR DAN PERBEZAANNYA



4.1 HUDUD

CIRI-CIRI KHUSUS HUDUD:

Hudud mempunyai sifat-sifatnya yang khusus, iaitu:
Kesalahan-kesalahan Hudud telah ditetapkan Syara’
Hukuman-hukuman Seksanya (Uqubah) telah ditentukan jenis-jenisnya dan berat ringannya oleh ketetapan Syara’, tiada siapa yang boleh mengubah, melebihi atau menguranginya. Ia wajib dilaksanakan seperti adanya.

Kesalahan-kesalahan Hudud boleh dimaafkan sebelum ia dibawa ke depan hakim, tetapi tiada siapa yang dapat memaafkan atau mengurangkan hukuman setelah ia dibawa ke depan pengadilan.

Semua orang yang mencukupi syarat dikenakan hukuman yang sama dan tiada kecualinya.
Taubat tidak menggugurkan uqubah kecuali dalam hal kejahatan perompakan di mana perompak digugurkan dari uqubah jika ia bertaubat sebelum dapat ditangkap, dan orang murtad yang bertaubat sebelum dibawa ke muka pengadilan.

KESALAHAN-KESALAHAN YANG MELIBATKAN HUDUD:

Riddah (Murtad)

Zina

Qazaf Zina

Mabuk (Sakran)

Pencurian (Sariqah)

Perompakan (Muharabah)

Pemberontakan (Baghyu)

Liwat

Hubungan seks dengan haiwan (Ityanul-Bahaaim)

Sihir

Mengenai kesalahan yang disebutkan pada nombor 8, 9, dan 10 para ulama’ tidak sependapat mengenai jenis hukuman yang wajib dikenakan atas pesalah.

4.2 QISAS

Qisas ialah pembalasan yang serupa dengan kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukum qisas itu berlaku dalam jenayah pembunuhan sengaja dan penganiayaan atas anggota dan badan manusia (pemotongan anggota atau melukakan anggota). Hukuman ini dimaksudkan untuk mengajar dan mengawal hak-hak manusia.

CIRI-CIRI QISAS:

Qisas mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri:

Jenis-jenis kesalahan dan hukumannya telah ditetapkan oleh Syara’.
Wali yang terbunuh atau yang teraniaya boleh memilih antara qisas atau diat (denda atau ganti rugi yang berupa harta benda).

Qisas tidak boleh dimaafkan oleh hakim baik sesudah atau sebelum dibawa ke mahkamah, sebab ia adalah hak manusia. Hanya wali yang terbunuh atau yang teraniaya sahaja yang dapat memaafkan penjenayah, baik sebelum ataupun sesudah dibawa ke pengadilan.
Persaksian orang bisu dengan tulisannya atau isyaratnya diterima dalam qisas, tetapi tidak boleh diterima dalam Hudud.

Hakim boleh memutuskan perkara berdasarkan maklumatnya sendiri, tetapi tidak boleh dalam Hudud.

Pengakuan dalam Qisas tidak boleh ditarik balik, sedangkan pengakuan dalam Hudud boleh ditarik balik.

Taubat dalam Qisas tidak menggugurkan hukuman.
Hanya waliul-Amri atau hakim sahaja yang dapat melakukan qisas.
Qisas mestilah melalui pendakwaan sedangkan Hudud selain qazaf tidak mesti melalui pendakwaan.

4.3 TA’ZIR

Ta’zir kadang-kala bermakna mengagungkan dan menolong. Kadang-kala ia bermakna penghinaan. Yang dimaksudkan oleh Syara’ ialah tindakan mendidik atas sesuatu dosa yang tidak mempunyai hukuman Had dan kifarat, yakni ia adalah hukuman seksa yang bersifat mendidik yang ditentukan oleh Hakim atas satu jenayah atau maksiat yang Syara’ tidak menetapkan uqubah, atau telah menetapkan uqubah tetapi tidak mencukupi syarat-syarat pelaksanaannya; seperti melakukan hubungan seks pada selain kemaluan (perempuan), mencuri barang-barang yang tidak dikenakan potong tangan, jenayah yang tidak dikenakan qisas, lesbian, menuduh orang lain melakukan maksiat selain zina, dan sebagainya.

CIRI-CIRI KHAS TA’ZIR:

Hudud berlaku pada semua orang serupa, tidak berbeza, tetapi ta’zir hukumannya boleh berbeza antara orang-orang yang bersalah.

Hukuman Ta’zir belum ditetapkan Allah dan Rasul-Nya mengenai jenis-jenis hukuman, ia diserahkan kepada kebijaksanaan hakim sendiri.

Ta’zir boleh dimaafkan orang yang bersalah, baik sebelum atau sesudah dibawa ke mahkamah.

Orang yang mati kerana hukuman Ta’zir wajib dibayar dhaman (ganti rugi).


KESALAHAN-KESALAHAN TA’ZIR:

Kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam bidang Ta’zir sangat banyak dan di sinilah terletaknya peranan dan kebijaksanaan hakim. Ia meliputi kesalahan-kesalahan yang tidak dikenakan had kerana tidak mempunyai syarat-syarat pelaksanaannya yang cukup, seperti kanak-kanak yang belum dewasa mencuri atau sebagainya, orang mencuri barang yang tidak mencukupi nisabnya, atau barang yang dicuri adalah milik Baitul-Mal dan sebagainya.

Selain itu, Ta’zir termasuk semua maksiat yang tidak termasuk dalam bidang Hudud dan Qisas, seperti lesbian, persaksian bohong, judi, memakan benda-benda haram, meninggalkan kewajipan-kewajipan agama seperti meninggalkan solat fardhu, puasa, haji dan lain-lain.

HUKUM HUDUD SEBENAR ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 2.

1.2 MENGAPA IA PERLU DILAKSANAKAN?


Hudud adalah Hukum yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.,seperti mana yang diteliti terhadap dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah yang sangat terang dan jelas. Jadi sebagai khalifah yang diwajibkan untuk menurut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, kita sepatutnya wajib melaksanakan hukum Hudud ini kerana amat jelas sekali ia adalah tuntutan Allah kepada kita semua apabila menjangkaui hak-hak kita sebagai manusia dan melanggar hak-hak Allah.

2.0 KEDUDUKAN HUDUD DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM

Dalam Undang-undang Jenayah Islam, ia terbahagi kepada tiga hukum utama iaitu Hudud, Qisas, dan Ta’zir di mana pesalah akan dihukum setakat mana perlakuan atau kesalahan yang dilakukan. Keutamaan hukuman yang akan dijatuhkan ke atas pesalah ialah hukuman hudud, namun jika tiada bukti yang sah, atau tidak memenuhi syarat-syarat yang mengesahkan hukuman hudud, atau tidak meliputi perkara yang dikenakan hukuman hudud, maka ia akan dikenakan hukuman Qisas atau jika kesalahannya juga tidak meliputi Qisas, maka ia akan dikenakan hukuman Ta’zir mengikut ketentuan Hakim.

3.0 HUKUM PELAKSANAAN HUDUD MENURUT ISLAM

Islam diturunkan untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia di dunia dan sebagai pedoman hidup yang mutlak bagi umat manusia, khususnya bagi orang-orang Islam. Ajaran-ajaran Islam itu adalah bersifat universal, rasional dan fithri serta sesuai untuk sepanjang zaman, semua tempat dan keaadaan.

Tidak ada hukum Allah dan Rasul-Nya yang sudah lapuk ditelan zaman, bahkan hukum-hukum Allah dan Rasul itulah hukum ultra moden kerana ia dicipta oleh Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui akan sifat hambanya zahir dan batin. Tiada alternatif lain bagi umat Islam selain dari hukum-hukum Allah.

Hukum-hukum Islam itu telah dijalankan sepenuhnya oleh Rasulullah dan Khulafaur-Rasyidin dan Khalifah-khalifah Islam berikutnya sehinggalah zaman kejatuhan Islam. Tiada siapa yang berhak menukar gantikannya atau memansuhkannya. Hukum-hukum tersebut adalah kekal abadi sampai akhir zaman.

Allah telah menurunkan hukum-hukumnya dan kepada kita sebagai hambanya diwajibkan melaksanakan hukum-hukum itu dengan penuh ketaatan “kami dengar dan kami patuh,” bukannya dengan dolak-dalik dan helah seperti kaum Yahudi dan orang-orang munafiq.

Pelaksanaan hukum Hudud dan lain-lain syariat Islam pasti dapat menyelesaikan masalah kerosakan moral dan sahsiah yang sedang mengancam masyarakat manusia dan pasti akan wujud masyarakat yang aman damai dan makmur dalam keredhaan Allah. Demikian jaminan Allah dan Allah tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.-kakaktua.

HUKUM HUDUD SEBENAR ADALAH UNTUK SEMUA,BAIK ISLAM MAHUPUN KAFIR!!! PART 1.




1.1 APA ITU HUDUD?




Hudud adalah salah satu kandungan dalam Hukum Jenayah Islam selain Qisas dan Ta’zir. Masing-masing mempunyai hukum dan sifat-sifatnya yang khusus. Pengertian hudud berdasarkan petikan daripada buku Mengenal Qanun Jenayah Islam yang dikarang oleh Dr. Abdul Ghani Azmi b. Idris, bahawa ;

Berasal daripada kata jamak, mufradnya Haddun: menurut bahasa ia bererti batas atau tegahan. Penjaga pintu dinamakan Haddad. Dan hukum ini dinamakan Hudud atas uqubah-uqubah maksiat kerana ia biasanya dapat mencegah pembuat maksiat mengulangi perbuatan maksiat yang kerananya dikenakan had. Dan pada asalnya perkataan had ialah sesuatu yang memisahkan antara dua perkara dan digunakan atas sesuatu yang membezakan sesuatu yang lain.

Menurut istilah Syara’, Hudud ialah uqubah (hukuman seksa dunia) yang telah ditetapkan untuk menjaga hak Allah s.w.t. Oleh kerana itu tidak termasuk Ta’zir kerana Ta’zir tidak ada ketentuan hukumannya dan tidak termasuk pula qisas kerana qisas adalah hak anak Adam.

Kesalahan dalam jenayah Hudud dianggap sebagai kesalahan terhadap hak Allah, kerana perbuatan itu menyentuh kepentingan masyarakat umum iaitu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan orang ramai dan hukumannya pula memberi kebaikan kepada mereka. Kesalahan ini tidak boleh diampunkan oleh manusia sama ada mangsa jenayah itu sendiri, warisnya ataupun masyarakat umum.

Kesalahan Hudud ialah kesalahan-kesalahan yang bersangkutan dengan pelanggaran-pelanggaran terhadap hak-hak Allah. Kesalahan-kesalahan tersebut ialah :

1. Riddah
Murtad – keluar daripada agama Islam.

2. Zina
Persetubuhan atau hubungan kelamin yang tidak sah antara lelaki dan
wanita yang bukan mahram.

3. Qazaf
Tuduhan zina.

4. Pencurian (Sariqah)


5. Perompakan (Muharabah)


6. Liwat
Hubungan antara lelaki dengan lelaki atau lelaki dengan perempuan yang
melibatkan jalan belakang (dubur) atau hubungan homoseksual iaitu hubungan sejenis tanpa melibatkan jalan belakang.

7. Pemberontakan (Baghyu)
Penentangan terhadap pemerintah yang adil.

8. Hubungan Seks dengan Haiwan (Ityanul-Bahaaim)


9. Mabuk (Sakran)
Minum arak, khamar dan segala yang memabukkan.

10. Sihir

by kakaktua.